Dua kumpulan yang berlainan genre bakal di satukan di atas sebuah pentas menerusi konsert “Metal Legends Live In Concert” yang akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pukul 8.30 malam pada 3 Februari depan.
Pastinya sebuah konsert yang di nantikan oleh peminat genre thrash metal dan rock apatah lagi ianya dibarisi oleh jentera yang cukup berpengalaman dalam memacu muzik yang dibawa. Cromok dan XPDC seakan sudah memaku peminat setia mereka untuk memenuhi dan melayari ritma serta melodi yang bakal di persembahkan nanti.
Menariknya, konsert berskala besar ini bakal memberikan impak kepada peminat yang hadir apabila pihak penganjur akan menggunakan sistem bunyi yang cukup canggih malah ianya di import khas untuk konsert itu nanti. Pastinya ianya bakal meninggalkan nostalgia buat peminat kedua-dua kumpulan itu nanti.
Penggunaan sistem bunyi berkuasa tinggi yang cukup mantap dengan sejumlah 64 sub bass dijangka mampu memberi kepuasan kepada peminat di samping dapat menampung situasi lokasi penganjuran konsert.
Usia penubuhan Cromok yang kini memasuki tangga 31 tahun mengukuhkan kredibiliti mereka untuk sentiasa dirindukan peminat. Band yang di tubuhkan secara rasmi di Australia ini kini dibarisi oleh Sam selaku pemain bass dan vokal, Karl (gitar) serta Miji (dram), Cromok cukup dikenali melalui lagu-lagu seperti Another You, Journey, Misty dan Memories.
Sementara itu, kumpulan XPDC yang sudah beraksi selama 28 tahun dalam industri seni tempatan cukup teruja untuk beraksi bersama dengan Cromok. Biarpun berhadapan kemelut perbalahan antara vokalis XPDC, Mael dan bekas ahli mereka.
Selain Mael, XPDC yang juga dikenali dengan gelaran ‘Raja Funfair’ turut dianggotai oleh Zuar selaku bassis, Jeff (gitar) dan Amy (dram).
Tiket konsert kini dijual menerusi www.ilassoticket.com dengan harga bermula RM68 (Thrash Zone), RM120 (Hardcore Zone) dan RM250 (VIP & Backstage Zone).
Tiket-tiket juga dijual di kaunter XPDC Kita Peng Yu Shop di Uptown Kota Damansara dan XPDC Bundle & Alteration Jeans (Kajang).