Seri Kembangan, 26 Mac 2026 – KULIT WAYANG CULTURAL FESTIVAL 2025 dan acara komponennya MALIKA MUSIC FESTIVAL 2025 telah diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media yang berlangsung di Grotto Hall @ Confetti KL, Mines 2, pagi tadi.
Festival dua hari ini akan diadakan di The Landing @ KL Base, Sungai Besi pada 12 & 13 April 2025. Ia menggabungkan pelancaran filem dan tayangan treler, larian riang selebriti sejauh 3km, festival kebudayaan yang meriah dan Malika Music Festival (yang akan berlangsung pada 12 April 2025), sebagai sebahagian daripada kempen promosi unik untuk filem seram akan datang berjudul “Kulit Wayang”.

Sebagai penerbit bersama bagi filem KULIT WAYANG dan penganjur festival, EMT Ventures Sdn Bhd yakin filem ini mampu menyentuh jiwa penonton Malaysia.
“Kami percaya pelancaran filem tidak seharusnya hanya tertumpu kepada media sahaja. Oleh itu, kami ubah suai acara ini menjadi sambutan besar-besaran bersama orang ramai. Festival dua hari ini membuka peluang sinergi jenama dan penglibatan budaya yang unik,” kata Pengarah EMT Ventures, Penny Chan, dalam ucapan alu-aluannya.
“Dengan pengalaman luas dalam pengurusan acara berskala besar serta rekod kejayaan yang kukuh, kami yakin mampu menganjurkan acara yang memberi impak tinggi dan berkesan. Filem ini turut mendapat sokongan daripada FINAS dan MOTAC,” tambah beliau.

Festival ini menyasarkan penglibatan komuniti dengan mengetengahkan warisan budaya Malaysia menerusi persembahan tradisional, pameran budaya, serta juadah tempatan. Ia turut menampilkan MALIKA MUSIC FESTIVAL 2025 dengan barisan artis popular tempatan dan Indonesia seperti Fattah Amin, Nidji, Bunkface, OAG, Krusty, Steeltoe Solutions dan Conflict Crisis.
Antara acara istimewa ialah “RUN WITH THE ARTISTS!”, iaitu larian riang bersama pelakon filem KULIT WAYANG. Peserta boleh memilih larian 3km atau jarak lebih panjang sambil berseronok, cergas dan berpeluang bertemu artis.
Filem KULIT WAYANG ialah sebuah filem seram misteri Malaysia (PG13) mengenai Wayang Kulit, tradisi Kelantan yang pernah diharamkan selama 28 tahun. Filem ini bakal ditayangkan di lebih 50 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 1 Mei 2025.

Diarahkan oleh Dain Said, pengarah tersohor filem seperti DUKUN, BUNOHAN, HARUM MALAM dan INTERCHANGE, filem ini dibintangi Fattah Amin, Pekin Ibrahim, pelakon Indonesia Reynavenzka Retno Ayu, dan pelakon kanak-kanak Jennaira Kamaratih Jiwa.
Antara pengisian menarik festival di THE HANGAR STAGE dengan skrin LED setinggi 40 kaki termasuk:
• Persembahan muzik tradisional seperti GAMELAN & DIKIR BARAT
• Tarian tradisional seperti INANG & ZAPIN
• Bengkel interaktif seperti MELUKIS BATIK & MEMBUAT WAU
• Permainan tradisional seperti CONGKAK, BATU SEREMBAN & GASING
• Persembahan WAYANG KULIT bersama Fattah Amin & Pekin Ibrahim
• Lebih 100 gerai jualan serta makanan tradisional Melayu seperti NASI LEMAK, SATAY, RENDANG dan banyak lagi
• Pertandingan melukis dan seni terbuka kepada pelajar sekolah rendah & menengah dengan kerjasama JABATAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Festival ini dijangka menarik kehadiran hingga 13,000 orang termasuk 5,000 peserta larian pelbagai peringkat umur dari KL & Selangor.
KULIT WAYANG CULTURAL RUN & FESTIVAL bukan sekadar acara, ia adalah gabungan unik antara sambutan budaya, aktiviti fizikal dan promosi filem yang bakal menghidupkan semangat komuniti dan warisan budaya negara.
HARGA TIKET:
• Larian riang 3KM: RM41.00
• Larian 10KM: RM49.00
(Kedua-duanya termasuk akses ke festival)
• Hari kedua KULIT WAYANG CULTURAL FESTIVAL: RM9.90
Tiket: ticketmelon.com/emt/kulitwayangculturalrunfestival2025
• MALIKA MUSIC FESTIVAL:
Tiket Am – RM99.00
VIP – RM159.00