Lapan Pemain Komedi Popular Kemudi Program ‘Konsert Komedi’

Selepas Maharaja Lawak Mega musim ini melabuhkan tirainya, keriuhan dan gelak tawa yang bergema pada setiap Jumaat malam akan terus dihidupkan dengan sebuah program variasi hiburan komedi baharu, ‘Konsert Komedi’. ‘Konsert Komedi’ yang memperlihatkan penglibatan lapan pemain komedi popular tanah air ini akan mula menggeletek hati penonton mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand.

Program Konsert Komedi bakal menyaksikan persembahan nyanyian eksklusif yang diselangi dengan sketsa oleh pemain komedi baik solo mahupun berkumpulan bersama selebriti undangan mereka selama satu jam. Berdurasi sebanyak lapan episod, program ini akan bersiaran secara langsung bagi episod pertama dan kedua manakala episod selebihnya merupakan episod rakaman yang dibuat di Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Istimewanya program ini, setiap pemain komedi diberi kebebasan penuh untuk mencorak sendiri persembahan nyanyian dan sketsa yang dipentaskan mengikut daya kreatif serta cara mereka sendiri. Setiap persembahan pula akan diiiringi oleh live band iringan Pengarah Muzik tersohor, Datuk Ramli MS.

Lapan pemain komedi yang akan mengemudi program ini terdiri daripada Hans Isaac, Afdlin Shauki dan Awie yang bergabung di bawah nama kumpulan ‘Baik Punya Cilok’, ‘Shiro’, ‘Zero’, ‘Bocey’, ‘Nabil’, ‘Sepahtu’, ‘Dato’ AC Mizal’ dan kemunculan semula kumpulan lawak otai yang dirindui semua peminat tegar komedi di Malaysia iaitu ‘Senario’ yang dianggotai oleh Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yasin, Ilya dan Hamdan.

Setiap daripada mereka turut mengundang selebriti pilihan mereka sendiri bagi memeriahkan lagi episod masing-masing. Antara selebriti undangan yang memeriahkan program ini adalah Erra Fazira, Ella, Stacy, Siti Nordiana, Indah Ruhaila, Misha Omar dan ramai lagi. Beberapa nama yang sudah lama berada dalam industri seni turut turun padang menyokong program ini seperti kumpulan yang popular dengan lagu Fiona; 4U2C, Datuk Zainal Abidin, Datuk Chef Wan dan Ramlah Ram.

Ayuh kita saksikan program hiburan komedi terbaharu, ‘Konsert Komedi’ yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand. Selamat menonton!

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *