Maharaja Lawak Mega

Kejayaan program Raja Lawak dan Maharaja Lawak yang lalu ternyata telah mencipta fenomena tersendiri sekaligus berjaya mengangkat martabat bidang komedi dan lawak jenaka ke peringkat yang lebih tinggi. Melihat kepada kejayaan ini, pihak Astro Warna membawakan pula sebuah lagi program istimewa untuk mencari yang terbaik di kalangan yang terhebat di rantau Asia Tenggara berjudul Maharaja Lawak Mega yang bakal bersiaran secara langsung pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam bermula 28 Oktober 2011 menerusi Astro Warna (saluran 132) dalam Pakej Mustika.

Pertandingan Maharaja Lawak Mega yang dihoskan oleh pengacara AC Mizal ini bakal menyaksikan persaingan sengit di kalangan pelawak-pelawak dan pelakon komedi profesional terbaik dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tambah hebat, setiap pelawak yang bertanding mempunyai portfolio seni yang mengagumkan dalam bidang ini.

Menggunakan konsep dan format yang hampir sama seperti Raja Lawak Astro dan Maharaja Lawak, nasib para peserta akan diadili dengan gabungan sistem pemarkahan  juri tetap dan undian penonton. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Pun begitu, peserta yang telah melakukan persembahan yang hebat tetapi tersingkir masih berpeluang untuk kekal dalam persaingan Maharaja Lawak Mega dengan kuasa imuniti yang diperoleh daripada persetujuan ketiga-tiga juri. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa di saluran Astro Warna.

Peserta-peserta Maharaja Lawak Mega adalah terdiri daripada kumpulan PIMAI (Sathiya, Imuda dan Mat Over), HIRO (Hamdan, Ilya dan Ropie Cecupak), BOBOI (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), ANJE (Achong Sweet Child dan Joey Daud), OSBON (Mr Os dan Abon), BP – Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri), RAP (Aziz Kota, Pak Lah Cecupak dan Rama Jangan Ketawa), COMEL (Radhi Khalid dan Bell Ngasri) dan 3G (Yassin, Didie Alis dan Enot) manakala Adlin Aman Ramli dan Jalil Hamid mengambil langkah berani dengan tampil sebagai peserta solo.

Para peserta turut diberi kebebasan untuk mewujudkan koloborasi antara dua negara seperti yang dilakukan oleh kumpulan SYOK yang dianggotai Suhaimi, Ifa Raziah dan Arif Sudin. Kumpulan GEBU yang dianggotai Hani dan Azian juga pastinya akan menonjolkan keunikan komedi wanita Singapura. Maharaja Lawak Mega juga mengalu-alukan penyertaan peserta dari Indonesia iaitu kumpulan LANUN (Jegan, Elyas dan Salman Al-Farisi), BAWEL (Dodon Jambul, Amin Bawel dan Dadang Ragas), kumpulan SAEHU (Eko, Bocil dan Vicha) dan kumpulan CAER (Adetao, Mister Ibo dan Lugiana).

Menurut Pengurus Pakej Mustika; Encik Nizam Sani berkata, “Sebagai satu-satunya saluran komedi di Malaysia, kami di Astro Warna sentiasa berusaha meneroka ruang yang ada bagi memastikan setiap program yang dibariskan mempunyai pengisian yang padat dan bermutu tinggi agar berbaloi dengan pakej yang telah dilanggan.

Mengambil inisiatif yang julung kalinya diadakan, pihak Astro Warna dengan berbesar hati membawakan sebuah program realiti lawak terhebat yang menghimpunkan 17 peserta terhebat daripada tiga buah negara untuk beraksi di sebuah pentas yang berprestij. Lebih menarik, ada antara mereka pertama kali bergabung sebagai sebuah kumpulan. Ini sememangnya suatu pengalaman baru kepada penonton saluran ini.

Mencari yang terhebat di kalangan yang terbaik di rantau ini, kami amat percaya program Maharaja Lawak Mega bakal mendapat sambutan hangat dan paling ditunggu-tunggu. Rancangan ini juga akan memaparkan pelbagai kelainan menerusi penyampaian dan cara yang bakal ditonjolkan oleh setiap peserta. Hinggalah pada penghujung rancangan ini nanti, kita bakal menemukan juara yang akan bergelar “Otai Segala Otai”.

Peserta paling menyerlah yang berjaya memikat hati juri dan para penonton bakal dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM350, 000.

Istimewanya dalam Maharaja Lawak Mega, tiga orang juri tetap dan seorang juri jemputan setiap minggu yang kesemuanya terdiri daripada selebriti yang bukan berlatarbelakang pelawak atau pelakon komedi akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Mereka bakal menilai para peserta berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti serta bakat dan kemahiran lakonan yang paling menyerlah daripada perspektif mereka sendiri.

Nizam turut menambah, ”Kami juga hanya akan mengumumkan barisan juri tetap dan juri jemputan sewaktu minggu pertama Maharaja Lawak Mega pada 28 Oktober kelak. Siapakah yang bakal menggalas tanggungjawab selaku barisan juri untuk program realiti bagi mencari pelawak terhebat di antara yang terbaik di rantau ini? Nantikan sahaja.”

Untuk keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi kami di www.astro.com.my/maharajalawakmega atau laman Facebook di www.facebook.com/MaharajaLawak juga dengan menekan butang merah ”R” yang terdapat di alat kawalan jauh Astro.

 

Check Also

Ratusan Pelabur Menjadi Mangsa Penipuan Skim Pelaburan oleh Seorang “Datuk Wira”

Seorang pelabur British yang ditipu melebihi RM60 juta oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bergelar “Datuk …