Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Tiga Penjuru UNITAR-UPNM-PRIHATIN

Universiti Antarabangsa UNITAR (“UNITAR”), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (“UPNM”) dan Yayasan Prihatin Nasional (“PRIHATIN”) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman tiga penjuru bertujuan untuk membangun, menyokong dan memperkayakan pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi pemacuan pertumbuhan negara.

Sempena majlis tersebut yang telah di adakan di kampus induk UNITAR di Kelana Jaya, dan sebagai sebahagian daripada aktiviti Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (“JPKM”), turut diadakan acara penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (“MAIWP”) kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang termasuk komputer riba, wang tunai dan keperluan kelengkapan diri.

YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan turut menghadiri dan menyempurnakan program majlis dengan menyaksikan majlis menandatangani MemorandumPersefahaman (MoU) tersebut.

Menurut Naib Canselor UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Bin Abu Bakar, UNITAR, yang meraikan sambutan jubli peraknya yang ke-25 tahun ini, adalah universiti maya pertama di Asia Tenggara yang mampu mewujudkan inisiatif dan aktiviti berasaskan teknologi, seperti pembelajaran dalam talian yang telah menjadi nadi dan kepakaran UNITAR yang telah diiktiraf ramai dalam industri pendidikan.

Tambah beliau, UNITAR kini mempunyai Sekolah Pengajian Siswazah, yang menempatkan segala program akademik dan inisiatif berkaitan pasca siswazah dengan lebih daripada 50 profesor adjung, yang terdiri daripada para pemimpin industri berkepakaran, berpengalaman dan berkaliber. Beliau yakin bahawa pengetahuan mereka yang mendalam berserta pengalaman yang luas di dalam industri akan memberikan nilai tambah kepada segala bentuk kerjasama antara UNITAR, UPNM dan PRIHATIN.

Menurut Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya bin Abdullah, pihak UPNM beraspirasi dan sentiasa percaya bahawa setiap ahli masyarakat, khususnya anak-anak muda yang berasal dari keluarga berkeperluan, mesti diberikan sokongan yang sewajarnya dan peluang untuk mendapat akses pendidikan terbaik. Dalam merealisasikan hasrat ini, UPNM berasa bahawa UNITAR dan PRIHATIN dalah rakan-rakan strategik yang sesuai untuk sama-sama berkongsi wadah sepunya untuk membina upaya mahasiswa sebagai bakal pemimpin masa hadapan.

Beliau menambah bahawa sebagai antara Universiti Swasta terawal ditubuhkan di Malaysia, UNITAR amat terkenal dan disegani dengan prestij serta kehebatannya dalam penawaran pelbagai program pengajian, manakala ekosistem PdP dalam talian bertaraf global yang menerima penarafan QS 5- Bintang adalah pencapaian yang menjadi bukti kerja keras warganya. Sesungguhnya, beliau berasa bahawa peningkatan kapasiti UNITAR yang begitu luar biasa, menjadi inspirasi dan contoh terbaik dalam amalan tadbir urus kepada universiti lain termasuk UPNM. Justeru, beliau percaya kerjasama UPNM dengan UNITAR akan membuahkan hasil yang baik untuk memacu perkembangan positif dalam penyelidikan dan pendidikan tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin bin Mohd Ghazali, matlamat mereka sebagai rakan strategik adalah bagi mengangkat martabat serta menjayakan program-program berteraskan Pendidikan untuk membantu anak-anak Keluarga Malaysia mendapatkan ilmu pengetahuan dan mendapat peluang meneruskan pengajian ke peringkat Menara Gading.

Tambah beliau, MAIWP turut menjadi rakan strategik PRIHATIN sejak penubuhan yang telah banyak menyumbangkan dana bagi memastikan program-program PRIHATIN terlaksana, seperti penyerahan komputer riba bagi Bantuan Pendidikan JPKM hasil sumbangan dana daripada MAIWP kepada anakanak Wilayah Persekutuan yang layak pada majlis hari ini.

Beliau berharap agar PRIHATIN dapat memeteraikan perjanjian dan bekerjasama dengan lebih banyak Institusi Pengajian Awam mahupun Swasta serta agensi kerajaan bagi membantu dan meringankan beban lebih ramai anak-anak Keluarga Malaysia, masyarakat dan rakyat Malaysia yang terkesan dan tidak bernasib baik di samping kita juga dapat menyahut seruan kerajaan yang menekankan prinsip ‘Keluarga Malaysia’.

Beliau turut merasakan bahawa melalui kerjasama Prihatin bersama UNITAR dan UNPM, pelbagai aktiviti dan program dapat dirancang dan dilaksanakan bersama dalam pembangunan pelajar yang berdaya saing ke arah melahirkan modal insan dalam kalangan graduan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

 

Check Also

Kahf Malaysia Ungguli Kategori Pelancaran Produk di Anugerah FMCG Asia 2024

Kahf Malaysia, jenama penjagaan diri lelaki yang sedang berkembang pesat, telah mencapai kejayaan membanggakan apabila …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *