MASDO KEJUTKAN PEMINAT DENGAN PENGUMUMAN KONSERT ULANG TAHUN KE-10 SECARA EKSKLUSIF

KUALA LUMPUR, 1 MEI 2025 – Kugiran MASDO, yang terkenal dengan irama pop yeh yeh moden, kembali mencuri perhatian ramai apabila meraikan satu dekad dalam arena muzik tanah air dengan cara yang cukup luar biasa. Bertempat di Saloma, Kuala Lumpur, malam istimewa bertajuk “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat serta pengamal media apabila ianya dijadikan platform untuk mengumumkan konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-10 mereka.

Acara yang berlangsung penuh rahsia ini mula menimbulkan tanda tanya beberapa hari sebelumnya apabila ahli kumpulan memuat naik gambar dan kapsyen penuh teka-teki di laman Instagram masing-masing. Ramai peminat mula berspekulasi akan sesuatu yang besar, dan ternyata telahan mereka tepat apabila MASDO membuat pengumuman eksklusif tentang konsert yang bakal menggegarkan pentas pada hujung Ogos ini.

Suasana malam tersebut menjadi lebih hangat apabila MASDO mempersembahkan beberapa lagu ikonik mereka secara langsung sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang hadir. Dengan iringan nostalgia lagu-lagu seperti “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga” dan “Berchanda di Malam Indah”, hadirin seolah-olah dibawa mengimbau perjalanan seni kumpulan ini sejak awal kemunculan mereka.

Kemuncak acara menyaksikan detik paling dinanti apabila kain gergasi yang menutupi bangunan MATIC ditarik turun, mendedahkan poster rasmi konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ diiringi letupan bunga api. Konsert ini dijadual berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, menjadikan MASDO sebagai artis pertama yang bakal membuat persembahan di lokasi konsert baharu ini yang mampu menampung sehingga 7,000 penonton.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket dengan harga promosi boleh membuat pra-daftar pada 30 April hingga 1 Mei bagi mendapatkan harga Rockzone Early Bird pada RM128. Manakala harga tiket untuk jualan umum bermula dari RM148 untuk kawasan berdiri dan RM198 untuk tempat duduk.

Hitman Solutions selaku penganjur utama membawa pengalaman lebih 15 tahun dalam industri acara langsung, memastikan konsert ulang tahun MASDO ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan. Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, menyatakan bahawa penglibatan mereka adalah simbol sokongan kepada bakat tempatan dan berharap sambutan peminat akan terus mekar.

Konsert ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan rasmi seperti Warner Music, Kugiran Masdo Empire, Saloma Kuala Lumpur, ERA, Sinar, Gegar dan Astro Gempak yang menjadikan projek ini lebih kukuh dari segi penganjuran serta publisiti.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan konsert dan pembelian tiket, orang ramai disarankan mengikuti akaun rasmi MASDO dan Hitman Solutions di media sosial.

Check Also

YUNDI LI BAKAL MENGGEGAR DEWAN FILHARMONIK PETRONAS DENGAN KONSERT MOZART WORLD TOUR

Kuala Lumpur , 24 April 2025 – Kuala Lumpur bakal menyaksikan sebuah malam yang memukau …

LEGENDA POP KRU KEMBALI DENGAN “KASET” – GABUNGAN NOSTALGIA DAN TEKNOLOGI AI

Kumpulan pop legenda Malaysia, KRU, baru sahaja melancarkan album terbaru mereka yang ke-15 bertajuk “KASET” …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *