Mawar Rashid kini bergelar tunang Raf Yaakob

Pelakon drama Suamiku Paling Sweet, Mawar Rashid, 22, selamat melangsungkan pertunangan dengan Raden Ahmad Faizal Datuk Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob dalam sebuah majlis tertutup yang juga bersempena Jamuan Santai Aidilfitri SukaSucre Creatives di Roof Garden @ Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara jam 4.14 petang di sini hari ini.
Terdahulu, Raf, 32, yang merupakan adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Dato’ Fazley itu telah menghantar rombongan merisik bersama keluarganya untuk pihak Mawar pada 7 Mei lalu sebelum Raf berangkat ke London untuk bermain bola di Old Trafford di bawah Kelab Peminat Manchester United selaku Presiden My Man Malaysia.
Dan bertarikh 7 Jun lalu, Raf telah melamar Mawar. Sementara itu, majlis pertunangan pada 7 Julai juga diadakan sebagai memperingati tarikh ulang tahun kelahiran arwah bapa Raf, Datuk Yaakob Mohammad.Turut hadir ialah ibu Raf, Datin Umi Kalsom Abd. Latib, isteri Fazley, Datin Azrene Ahmad dan ibu Mawar, Datin Marinee Abdullah.Mawar yang mula dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja 2014/15  itu kelihatan anggun menyarung persalinan rekaan Cosry pada majlis petang itu.
Majlis tersebut dihadiri sekitar 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat kedua belah pihak.Menceritakan detik perkenalan mereka, Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu menjelaskan, dia dan Raf diperkenalkan oleh pelakon, Emma Maembong pada Januari lalu.
“Saya mengenali Raf di sebuah restauran yang turut ditemani oleh Emma dan rakan lain. Ketika itu, Emma menyuarakan hasrat untuk menemukan kami kerana Raf sudah dianggap seperti abang angkat olehnya. Manakala Mawar, Emma dan adik-beradik Emma juga sebenarnya adalah kawan rapat sejak di bangku sekolah sehingga sekarang. Justeru, keakraban kami seperti adik beradik berlainan ibu bapa.
“Sejujurnya, saya tidak pernah percaya dengan istilah jatuh cinta pada pandangan pertama. Hakikatnya, saya ternyata salah. Kali pertama saya bertemu Raf, dia berjaya menambat hati saya sehingga hati menjadi berdebar tidak seperti kebiasaan. Saya dapat merasakan aura unik dalam diri Raf. Barangkali, ini disebabkan cara pembawaan dirinya yang agak berbeza berbanding orang lain,” akui Mawar yang bakal meneruskan kerjaya seni atas kecintaan mendalam biarpun selepas bergelar tunang orang sekali bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.
Menceritakan lebih lanjut mengenai tunangnya, Mawar memberitahu, Raf merupakan seorang lelaki yang sangat penyayang, bertanggungjawab, berkarisma tinggi, berpendidikan, rendah diri, sopan tutur kata, menyukai keluarga dan boleh membimbingnya di dunia dan akhirat.
“Saya berasa kagum dengan pengetahuan agama Raf apatah lagi selepas melihat dia dan abangnya (Fazley) membaca talkin berdua ketika arwah bapa mereka meninggal dunia.”
Memasuki usia enam bulan perkenalan, Raf yang juga merupakan usahawan, pelakon, hos televisyen dan model itu melamar Mawar dalam suasana romantis dengan masing-masing memuatnaik gambar sama di laman Instagram mereka.
“Memang sudah lama saya ingin melamar seseorang dengan cara sebegitu (kelopak bunga ros merah bersama lilin yang tertulis ayat, Will U Marry Me?). Sejak kecil lagi, saya terbiasa menonton filem-filem yang melamar wanita dengan cara romantis. Dan ini kali pertama saya melamar seseorang (Mawar) dengan cara tersebut,” jelas Raf.
Majlis pernikahan dan persandingan pasangan dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini.
“Cuma tarikh sebenar majlis ini belum diputuskan kerana masing-masing (Mawar dan Raf) terikat dengan jadual penggambaran yang sedang dalam perbincangan bersama pihak produksi,” akhiri Raf.
Sementara itu, Fazley berkongsi cerita mengenai Jamuan Santai Aidilfitri ini menjelaskan, memandangkan majlis pertunangan Raf dan Mawar diadakan dalam bulan Syawal, maka beliau mengambil keputusan untuk mengadakan serentak rumah terbuka Hari Raya bersama keluarga, rakan-rakan baik dan artis-artis di bawah naungan SukaSucre Creatives yang dianggap sebagai keluarga sendiri.
Antara barisan artis SukaSucre Creatives yang hadir pada majlis itu ialah Imran Ajmain, Dr. Ezani Monoto, Imelda Harris, Sazrin Aizul, Amir Gani, Rhys William dan Firwan Johan.
Selain bertindak sebagai syarikat pengurusan artis/bakat, SukaSucre Creatives yang terletak di Jalan 2/90, Taman Pertama, Cheras di sini ini turut menjalankan servis fotografi, videografi, rekaan grafik dan pengendalian media sosial.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai agensi ini, boleh mengikuti laman sosial; Facebook/SukaSucreCreatives, Instagram (@SS_Creatives) dan Twitter (@SS_Creatives).
Credit gambar :Shahrul Izzat Abdullah, SukaSucre Creatives

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *