Bertemu dengan wanita yang pernah diangkat sebagai Pelakon Terbaik Anugerah Asia Pasifik ni, Maya yang sekarang sedang mempersiapkan diri,untuk menjiwai watak tersebut memberitahu dia teruja dan tidak sabar untuk melakonkan ‘watak giler’ itu.
“Saya ada idea saya macam mana nak bentuk karakter Jwanita. Saya tak suka nak buat rujukan mana-mana filem kerana takut terikut-ikut. Dan saya ada cakap dengan abang Osman yang saya tak nak jadi hantu lagi. Cukup lah pontianak. Saya mahu ikut naluri saya dan cuba terjemahkan Jwanita mengikut kefahaman saya. Tak sabar nak bawa watak ‘giler’ tu”, kata Maya menceritakan karakternya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Jwanita, di Solaris Dutamas, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, kata Maya dia juga sudah bersedia untuk ‘merasai’ kesengsaraan Jwanita. Malah dia tidak kisah seandainya selepas ini dia sinonim sebagai perempuan psiko pula sepertimana yang pernah dicipta fenomena menerusi Pontianak Harum Sudal Malam, sebelum ini.
“Sekarang saya sedang mempersiapkan diri membawa kesakitan mental Jwanita tu dan saya hanya harus hentikannya, masa saya tinggalkan set. Watak ni ada banyak babak yang sangat fizikal, kena banyak menjerit dan ada bahagian yang senyap. Paling penting saya nak tunjukkan pada penonton mainan halus. Misalnya dengan hanya satu jelingan saja pun orang dah tahu apa yang dia (Jwanita) fikirkan”.
“Kalau lepas ni saya dikenali sebagai perempuan psiko. Saya tak tahu lah nak gembira ker ataupun menangis. Pertama mungkin saya gembira sebab lakonan berjaya. Kedua mungkin lepas ni boyfriend sume lari daripada saya. Tak nak dekat dengan saya. Tapi saya tak kisah semua tu”, katanya sambil tergelak.