MIG Tampil Dengan Filem Seram Terbarunya ‘Flat 3A’

Selaku salah satu kuasa besar industri seni tanah air, Metrowealth Pictures (MIG) tampil sekali lagi menerusi filem terbarunya Flat 3A. Filem ini telah mula ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara pada 14 Julai 2011. Pelbagai kelainan serta elemen terbaru ditonjolkan oleh pihak MIG dalam setiap filem keluarannya demi memenuhi selera para peminat filem tempatan dan ingin memberi impak yang lebih segar.

Flat 3A merupakan filem terbitan MIG yang ke-51 hasil garapan pengarah terkenal iaitu Azahari Zain. Filem bergenre seram ini adalah filem yang ke-6 arahan beliau bersama MIG. Kepercayaan yang diberi oleh pihak MIG kepada beliau ternyata tidak dipersiakan malah beliau mampu memberi kelainan di dalam setiap filem arahannya. Beliau turut tersenarai di dalam “Skim 10 Pengarah Muda MIG”. Walaupun Flat 3A bergenre seram, beliau bijak menyelitkan sedikit kesedaran tentang masalah pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi dewasa ini dalam membina nilai-nilai moral dan memberi kesedaran kepada penonton khusunya remaja.

Gambar Di Sebalik Tabir Flat 3A

Flat 3A menampilkan pelakon-pelakon berbakat besar masa kini iaitu Intan Ladyana (Fiqah) yang bergandingan dengan pelakon baru iaitu Adey Syafrien (Anas), Ery Zukhairi (Wahyu), Shasha Zurazie (Ratna), Syazana Firas (Adik Fatin) dan ramai lagi. Gandingan baru ini turut dimantapkan melalui penampilan para pelakon seperti Khaty Azean (Ibu Fatin), Zaidi Omar (Kang Suman) dan Zila Bakarin (Jiran). Penggambaran filem ini dilakukan di sekitar Petaling Jaya dan menelan kos sebanyak RM1.7 juta.

Filem ini mengisahkan Fiqah seorang pekerja kilang yang telah mengandung akibat keterlanjuran bersama kekasihnya Anas. Anas memaksa Fiqah menggugurkan kandungannya walaupun Fiqah tidak rela. Akibatnya Fiqah dipukul dan Anas memberi ubat untuk menggugurkan kandungan Fiqah. Demi cintanya terhadap Anas, Fiqah menggugurkan juga kandungannya itu. Sejak itu Fiqah mula dihantui perasaan bersalah dan fobia. Konflik kisah ini bermula apabila Fiqah bersama kawan baiknya Ratna berpindah ke sebuah flat berdekatan tempat kerja mereka. Tanpa diketahui Fiqah, rumah yang didudukinya itu adalah rumah seorang dukun bernama Kang Suman yang dipercayai telah menculik dan membunuh Fatin, seorang kanak-kanak yang tinggal berhampiran kawasan flat tersebut. Di rumah tersebut , Fiqah kerap diganggu. Fiqah menyangka perasaan yang menyelubungi dirinya itu akibat trauma terhadap pengguguran yang dilakukannya. Namun setelah beberapa lama barulah Fiqah sedar bahawa dia telah diganggu oleh roh kanak-kanak yang bernama Fatin.

Apakah kaitan antara Fiqah dan Fatin? Siapakah Ratna sebenarnya? Apakah misteri yang bakal diungkai? Jom kita ke pawagam untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Check Also

HONOR Malaysia Bakal Lancar Empat Produk Baharu Pada 22 April

HONOR Malaysia akan memperkenalkan empat peranti baharu di acara MAGICal Ria Raya pada 22 April …