MODENAS MENCIPTA FENOMENA DI MOTOGP 2024

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS), anak syarikat DRB-Hicom Berhad, telah mencipta impak yang besar di MotoGP 2024 tahun ini dengan pelbagai pengumuman dan aktiviti menarik. Acara ini menampilkan pelancaran Modenas Eliminator serta pengumuman harga dan pra-tempahan bagi model yang dinanti-nantikan iaitu Kawasaki Ninja ZX-6R. Kedua-dua model ini dipasangkan di kilang MODENAS, Gurun Kedah, menunjukkan komitmen MODENAS untuk memenuhi pelbagai citarasa dan bajet bagi pasaran Malaysia.

Modenas Eliminator membuka lembaran baharu bagi pencinta motosikal di Malaysia, di mana ia mempunyai gaya dan kuasa untuk penunggang yang menginginkan lebih daripada sekadar jentera yang biasa di luar sana. Model ini menggabungkan siluet crusier klasik dengan enjin Ninja 500, serta memberikan gabungan keselesaan crusier dan prestasi motosikal sukan. Dengan ketinggian tempat duduk yang mudah dicapai pada 735mm, ia memberikan keyakinan dengan pilihan untuk merendahkan tempat duduk bagi keselesaan tambahan. Enjin yang lancar, pendikit yang lancar dan klac tangan yang ringan menjadikannya sesuai untuk tunggangan santai dan lasak. Motosikal ini boleh didapati di semua bilik pameran Kawasaki All-Star mulai 3 November 2024 dengan harga jualan yang disyorkan RM30,100 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan).

MODENAS turut melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R yang ditunggu-tunggu, yang direka bagi menghubungkan jurang antara motosikal sukan peringkat permulaan dan motosikal berkapasiti besar. Diilhamkan daripada ZX-10R, model ini menampilkan corak hadapan dan sisi yang diperbaharui, skrin yang disemak semula, lampu LED baharu, dan penutup enjin berwarna hitam. ZX-6R dilengkapi dengan paparan TFT berwarna penuh 4.3 inci dengan mod tunggangan yang berbeza (Sukan, Jalan, dan Hujan), serta tetapan kawalan cengkaman dan kuasa yang boleh disesuaikan. Model ini ditawarkan pada harga RM59,900 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan) dalam dua pilihan warna: Metallic Flat Spark Black / Ebony dan Lime Green / Ebony.

Bagi mematuhi piawaian pelepasan Euro 5, ZX-6R telah direka bentuk dengan paip pengepala baharu dan profil sesondol yang diperbaharui, meningkatkan prestasi pada tahap rendah. Model ini boleh ditempah awal di semua bilik pameran Kawasaki All-Star mulai 1 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025 dengan wang pendahuluan RM500. Lima puluh pemilik pertama akan menikmati acara penyerahan ekslusif di Sepang pada Februari 2025.

Selain pelancaran produk, MODENAS menganjurkan konvoi MotoGP terbesar ke Litar Antarabangsa Sepang dengan penyertaan seramai 400 orang pemilik Kawasaki. Konvoi ini bermula di Glenmarie pada pukul 8.30 pagi dan dieskot oleh pihak Polis bagi tujuan keselamatan. Para peserta konvoi akan menerima satu tiket K1 Grandstand, baucar makanan dan T-Shirt eksklusif konvoi MotoGP 2025 daripada Kawasaki.

Roslan Roskan, CEO MODENAS, berkata, “Kami berbangga melancarkan Modenas Eliminator dan Kawasaki ZX-6R di acara berprestij seperti MotoGP 2024. Model-model ini mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kualiti, direka untuk memenuhi keperluan semua pencinta motosikal. Kami percaya bahawa Eliminator akan menarik penunggang baharu yang mencari motor permulaan yang unik, manakala ZX-6R menawarkan prestasi dan keseronokan yang diinginkan oleh penunggang yang berpengalaman. Kami berbangga untuk menyokong komuniti motosikal Malaysia dan berharap dapat terus meningkatkan penawaran produk kami.”

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi MODENAS dan Kawasaki Malaysia atau menghubungi Talian Tol Percuma 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.

Check Also

Az Zuha Group Travel & Tours Dilantik Semula untuk Musim Haji 1446H/2025M

Az Zuha Group Travel & Tours dengan penuh rasa syukur mengumumkan pelantikan semula mereka sebagai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *