MRF TEGAS PERTAHANKAN REPUTASI, SEDIA AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP FITNAH

Kuala Lumpur, 15 Mac 2025 – YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba bersama pihak MRF Consultant (M) Sdn Bhd hari ini tampil melalui kenyataan media rasmi bagi menjelaskan beberapa isu penting yang telah menjadi perhatian umum kebelakangan ini. Kenyataan ini disampaikan oleh jurucakap rasmi, Jaspal Singh yang juga merupakan peguam YM Dato’ Sri.

Mengambil sempena bulan Ramadan yang mulia ini, pihak MRF turut merakamkan penghargaan dan ucapan selamat menunaikan ibadah kepada seluruh umat Islam di Malaysia, serta mendoakan agar negara terus dikurniakan kesejahteraan dan kedamaian.

MRF menegaskan bahawa Pengasasnya, YM Dato’ Sri, tidak pernah disabitkan atas sebarang kesalahan jenayah dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang prosiding mahkamah dijalankan. Berdasarkan dokumen pengesahan yang telah dikemukakan kepada pihak berwajib, YM Dato’ Sri telah dibersihkan daripada sebarang pertuduhan. Pihak syarikat percaya bahawa beberapa keputusan positif lagi bakal diperolehi melalui sistem perundangan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, pihak MRF menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan tidak bertanggungjawab daripada segelintir pihak yang masih menyebarkan fitnah, penghinaan serta tohmahan di media sosial, khususnya yang mengaitkan YM Dato’ Sri dan keluarga beliau. MRF memberi amaran agar semua bentuk penyebaran palsu, gambar, kenyataan serta kandungan berniat jahat dihentikan serta-merta. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil.

Terdahulu, pada 11 Januari 2024, pihak MRF telah mengeluarkan kenyataan media rasmi sebagai peluang kepada individu-individu tertentu untuk tampil memohon maaf secara terbuka. Namun, tiada sebarang maklum balas diterima. Maka, dengan ini, MRF tidak teragak-agak untuk memulakan tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang gagal memadamkan kandungan yang berkaitan.

Dalam masa yang sama, MRF turut menuntut permohonan maaf terbuka daripada mana-mana pihak yang berpengaruh dan sebelum ini pernah membuat kenyataan yang menjejaskan reputasi syarikat serta YM Dato’ Sri. Tindakan ini penting untuk memulihkan kembali imej dan nama baik yang telah terjejas, termasuk reputasi projek tanggungjawab sosial seperti Rumahku Syurgaku (RKSK), senarai calon umrah serta penerima manfaat MRF yang lain.

Pihak MRF juga mengumumkan bahawa projek RKSK akan dilaksanakan semula mengikut garis panduan baharu serta pemantauan rapat pihak berkuasa. Proses perlaksanaan hanya akan bermula setelah semua dokumen dan kelulusan berkaitan diperoleh sepenuhnya.

MRF turut memaklumkan bahawa sumber kewangan syarikat telah disahkan sah melalui siasatan pihak berkuasa berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA 2001). Perintah pembatalan penyitaan di bawah Seksyen 50(1) Akta 613 telah pun diperolehi.

Dalam isu penggunaan nama individu atau pertubuhan lain, MRF menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mana-mana pihak luar tanpa kebenaran. Sekiranya terdapat mana-mana nama yang dikaitkan, pihak berkenaan diminta tampil segera kepada pengurusan tertinggi MRF untuk membuktikan kesahihan dakwaan tersebut. Jika sebaliknya, tindakan undang-undang akan diambil.

MRF juga menyeru agar institusi perbankan yang berurusan dengan syarikat memberikan kerjasama sewajarnya bagi melancarkan urusan pengeluaran dana. Jika masih terdapat halangan, satu sidang media khas akan diadakan untuk mengemukakan dokumen berkaitan kepada umum.

Sebagai inisiatif membantu komuniti, MRF turut membuka peluang kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan dana tanpa faedah untuk mengemukakan cadangan atau kertas kerja rasmi bagi tujuan penilaian. Permohonan ini akan dibuka secara rasmi bermula Mei 2025.

Dalam perkembangan lain, YM Dato’ Sri turut menafikan segala tuduhan yang dilemparkan oleh bekas suami dan keluarganya. Beliau akan menuntut semula hak penjagaan anak kandungnya dan menegaskan agar tidak lagi diganggu oleh pihak tersebut.

Akhir sekali, MRF menegaskan komitmen untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang masih menyebarkan fitnah dan maklumat palsu, demi menjaga maruah syarikat dan pengasasnya. Permohonan maaf secara terbuka dari pihak-pihak terlibat juga dituntut bagi membersihkan kembali nama baik MRF.

Check Also

PENDEDAHAN PENIPUAN “THE HIGH TABLE” & “UNBOXING” : PENJUALAN BARANGAN TIRUAN DAN UGUTAN TERHADAP PENGGUNA

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan perkembangan pesat e-dagang secara langsung (live streaming) dan e-dagang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *