NABILA RAZALI KEMBALI CERIAKAN AIDILFITRI DENGAN ‘RAYA MANA’ VERSI KELANTAN BERSAMA DEN MANJO

Kuala Lumpur, 26 Mac 2025 – Penyanyi popular tanah air, Nabila Razali, kembali mencuri tumpuan menjelang Syawal dengan pelancaran lagu raya versi terbaharu berjudul Raya Mana dalam loghat Kelantan, menampilkan kolaborasi istimewa bersama penyanyi tempatan, Den Manjo.

Versi istimewa ini dihasilkan sebagai penghargaan kepada permintaan para peminat, khususnya dari Pantai Timur, yang ingin menikmati Raya Mana dalam nuansa loghat negeri Cik Siti Wan Kembang. Lagu ini bukan sekadar hiburan semata, malah menjadi simbol keakraban budaya serta kepelbagaian bahasa yang menyatukan rakyat Malaysia ketika meraikan lebaran.

Menurut Nabila, walaupun sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan suami yang berasal dari Kelantan, dia masih merasa gementar untuk menyampaikan lagu dalam loghat tersebut kerana belum begitu fasih bertutur dalam dialek tempatan itu.

“Bagi siapa yang menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama Den Manjo, permintaan anda sudah saya tunaikan. Sejujurnya saya agak gementar untuk menyanyikan lagu ini kerana loghat Kelantan bukanlah bahasa pertama saya,” ujar Nabila ketika ditemui di sesi rakaman Gempak Jam Session Raya yang berlangsung di Sora Studio baru-baru ini.

Tambahnya lagi, meskipun sudah menimang cahaya mata, dia masih belum fasih berbahasa Kelantan, namun tetap berusaha memperbaikinya demi menyampaikan lagu ini sebaik mungkin. “Tapi tak mengapa, mula-mula menyanyi dahulu, lepas itu mana tahu boleh fasih,” katanya berseloroh.

Bagi memastikan mutu sebutan dan penyampaiannya tepat, Nabila mendapatkan bimbingan langsung daripada Den Manjo mengenai cara percakapan masyarakat Kelantan agar lagu tersebut kedengaran lebih asli dan tidak janggal.

“Saya tanya sama ada sebutan saya ini betul atau tidak sebab takut salah. Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan. Insya-Allah, saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut,” tambah Nabila lagi dengan nada rendah hati.

Lagu Raya Mana pernah mencipta fenomena pada musim perayaan lalu apabila menjadi antara lagu raya paling tular di media sosial. Persembahan Nabila dalam bahasa isyarat juga menerima pujian ramai, menjadikan karya tersebut lebih inklusif dan menyentuh hati semua lapisan masyarakat.

Pelancaran versi Kelantan ini bukan sahaja menyambung kejayaan terdahulu, tetapi turut menambah warna-warni kepada suasana sambutan Aidilfitri tahun ini. Dengan sentuhan unik dan keikhlasan yang ditampilkan, Raya Mana versi Kelantan dijangka terus mengukir senyuman di wajah para pendengar di seluruh negara.

Check Also

FESTIVAL MUZIK NEON 2025 BERSAMA HARDWELL, ARTBAT DAN RAMAI LAGI

KUALA LUMPUR – Kira detik sudah bermula! Penganjur NEON Music Festival (NMF), NEON Projects Sdn. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *