Nelydia Senrose Cintai Pemuda Mualaf

SONY DSC

Perbezaan agama dan bangsa tidak pernah membataskan rasa cinta dan sayang yang diciptakan Allah untuk hambaNya. Meskipun terhalang dek keluarga jika sudah jodoh tetap bertemu biar pun jarak memisahkan.

Menggandingkan pelakon Nelydia Senrose dan Mah Kit Wai, drama bertajuk “Sesuci Cintamu” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot Panggung 1 pada 3 Mac depan, pukul 2.00 petang di TV1 turut dibintangi oleh Abdul Razak, Safura Yaacob, Mandy Chong, Amar Bahrin, Syawal dan Shakila Koriri.

Drama arahan Harris Fadzillah ini bermula di mana Aishah, seorang penuntut tahun akhir universiti yang mempunyai latarbelakang keluarga yang begitu prihatin tentang pengisian Islam telah menerima undangan makan daripada rakan seuniversiti iaitu Jason Chong yang telah lama meminatinya.

SONY DSC

Aishah tanpa pengetahuan ibubapanya telah menerima undangan keluar makan bersama Chong dengan syarat ia ditemani oleh sepupunya yang juga kawan rapatnya di universiti yang sama. Perjumpaan tersebut telah membibitkan perasaan yang lebih mendalam di antara mereka tambahan pula Chong merasakan keunikan keperibadian Aisyah berbanding dengan remaja wanita lain yang pernah ditemuinya.Jason yang dahulunya berperangai agak kasar dan tidak berapa memperdulikan pengajiannya sebelum itu telah banyak berubah dan mula melihat kepada masa depannya. Ibu Jason, seorang ibu tunggal yang dahulunya selalu bimbang dengan masa depan Jason yang tidak prihatin kepada pelajarannya juga dapat melihat perubahan pada diri Jason.

Namun ibu Jason mula bimbang apabila mendapat tahu yang Jason kini sedang dilamun cinta dengan seorang gadis yang bukan sahaja berlainan bangsa dan agama bahkan pula seorang yang berpegang kuat kepada agama. Dia takut sekiranya Jason akan mengalami kekecewaan dan kelak akan berubah kembali. Dia cuba menasihati Jason namun Jason sebaliknya memberikan kepastian kepada ibunya yang dia telah pun menemui sinar yang hanya akan membawanya ke jalan yang lebih sempurna dan bukan sebaliknya.

SONY DSC

Chong dan Aisyah sering berhubung melalui internet. Aisyah walau pun dalam diam amat tertarik dengan Chong cuba sedaya upaya untuk tidak menampilkan perasaan tersebut kerana tahu hubungan mereka tidak akan dipersetujui ibu bapanya terutama sekali bapanya, Tuan Hj Shafie. Tn Hj Shafie juga sebenarnya telah berura-ura untuk menjodohkannya dengan Azman, anak kepada saudara jauh mereka, Hj Misnin.

Tidak lama selepas itu, bapa Aisyah telah mendapat tahu tentang hubungan mereka. Dia begitu marah bercampur malu kerana tidak menyangka Aisyah yang dididiknya tentang ilmu agama secukupnya sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang telah diterapkan kepadanya sejak dari kecil lagi. Setelah dipujuk oleh ibu Aisyah, bapanya cuba untuk memujuk Aisyah dengan pendekatan yang lebih positif dan menyatakan kepada Aisyah betapa pentingnya pilihan suami yang akan membentuk kehidupannya kemudian. Aisyah katanya memerlukan Imam yang benar-benar boleh membimbingnya dan anak-anak ke arah kehidupan Islam yang sejahtera. Dan sudah pastinya Chong yang beragama lain tidak dapat memberikan semua itu.

SONY DSC

Untuk memastikan Chong keluar dari hidup anaknya, Hj Shafie sendiri telah pergi berjumpa Chong dan menyatakan perkara yang sama. Walau pun pada mulanya Tn Hj Shafie yang berprasangka buruk terhadap Chong agak terkedu apabila melihat keperibadiannya yang baik dan sikapnya yang akur menerima permintaan bapanya dan memahami maksud di sebalik permintaannya untuk melupakan Aisyah.

Dalam pada itu, Bapa Aisyah mengaturkan perjumpaan keluarganya dengan keluarga Azman dengan harapan Aisyah dan Azman dapat berkenalan dengan lebih rapat. Chong pula telah ditawarkan melanjutkan pelajaran di luar negara. Ibu Chong yang pada mulanya tidak merestui perhubungan Chong dengan Aisyah bersimpati dengan kekecewaan hati Chong. Ibunya juga terkejut walaupun Chong terpaksa terpaksa melupakan Aisyah sebagai teman hidupnya, Chong menerima keputusan itu dengan begitu matang sekali dan bertekad untuk memperbaiki dirinya seta menerima tawaran belajar ke luar negara.

Aisyah yang tidak tahu tentang perjumpaan bapanya dengan Chong pula merasakan seperti Chong telah meninggalkannya dalam dilema dan tidak sanggup menyahut cabaran cinta mereka.

Malang tidak berbau, tidak lama selepas itu, Aisyah telah menemui kemalangan yang agak serius dan akibatnya sebahagian dari urat sarafnya yang terluka di bahagaian trakea, Asyah tidak boleh lagi bersuara dan doktor juga tidak dapat memberi kepastian samada keadaanya akan beransur pulih atau tidak.

Kehidupan Aisyah ternyata berubah selepas itu. Dia tidak dapat menerima takdir yang telah menimpanya. Email dari Chong juga tidak lagi dibalasnya. Aisyah merasakan kehidupannya sudah tidak bererti lagi. Dia menganggap dirinya sudah tidak sempurna lagi. Dia tidak mahu bercampur dengan masyarakat dan untuk belajar berkomunikasi, guru untuk mengajar bahasa isyarat juga terpaksa dijemput ke rumah untuk mengajarnya. Ibu bapa Aisyah menjadi buntu dan tidak dapat mengubah keadaan Aisyah, lebih teruk lagi apabila Azman dan keluarganya juga semakin hari menjauhkan diri.

Hampir dua tahun telah berlalu, Aisyah walau pun telah beransur menerima kenyataan, masih tidak boleh bersuara lagi. Ibunya telah memberitahunya yang Chong telah kembali ke tanah air tetapi Aisyah hanya menangis apabila mendengar berita tersebut. Satu pagi yang indah, loceng rumah Aisyah berbunyi. Ibunya tergesa-gesa membuka pintu dan alangkah terkejutnya Aisyah apabila Chong muncul bersama ibunya dan berjalan perlahan-lahan ke arahnya. Lalu masihkah ada jodoh di antara mereka?

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *