Cakap salah, tak cakap pun salah. Ingatkan bila sudah mengaku, orang akan berhenti bertanya. Namun selepas membuat pendedahan secara eksklusif mengenai kontroversi bayi lelaki yang dilahirkannya di sebuah akhbar baru-baru ini, dramatis terkenal Norish Karman menerima pelbagai respon dari masyarakat sekeliling.
Namun begitu, tidak sedikit pun timbul rasa menyesal dalam dirinya kerana membuka mulut mengenai isu tersebut. Sebaliknya bekas pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) yang mesra dengan panggilan NK ni memberitahu dia langsung tidak terkesan dengan cemuhan mahupun pandangan negatif yang dilemparkan terhadapnya. Malah menganggap itu semua dugaan dari Yang Maha Esa.
“Saya tak ada masalah dengan kehidupan saya sekarang. Malah kini lebih tenang dan gembira. Tak ada kesan langsung selepas saya dedahkan mengenai kelahiran anak keempat saya. Ramai peminat menyokong serta memberi kata-kata perangsang kepada saya. Mereka sayang saya juga sayangkan anak saya. Ada juga yang mahu jadi ibu angkat, ayah angkat kepadanya dan ibu bapa saya juga sayangkan anak saya itu. Anak-anak saya yang lain juga sayangkan adik mereka,” ujar NK ketika ditemui pada majlis rumah terbuka WHI TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
Ditanya apakah yang membuatkan beliau berani untuk membuka mulut sekarang di mana sebelum ini beliau lebih selesa mendiamkan diri, Nk berkata, “Ini bukan soal buka mulut atau tutup mulut. Saya memang nak beritahu kepada semua. Sebab saya merancang untuk mengadakan majlis hari jadi sempena umurnya genap setahun, tak lama lagi. Saya memang nak jemput semua. Cuma mungkin ada sesetengah pihak sengaja mengeruhkan lagi keadaan. Apa sekalipun, saya tak pernah kesal selepas membuat pendedahan ini.
“Bagi saya, kalau ini ketentuan Allah, saya terima. Apa yang berlaku kepada saya, saya anggap ini dugaan dari-NYA. Saya tak perlu takut atau khuatir dengan benda lain kerana ini semua datang dari Allah. Bila kita rancang plan A, tapi plan B yang pula yang datang, maka kita terima sajalah ” ujarnya sekaligus memberitahu dia tidak kisah dengan cemuhan masyarakat.
“Bagi saya, mereka tidak ada hak untuk mengata tentang orang lain. Jika tak tahu apa-apa cerita jangan sesekali buka mulut. Jagalah diri sendiri dan keluarga sebab takut nanti berlaku kepada diri dan juga anak sendiri pula. Jadi kalau tak nak kebaikan berlaku dalam kehidupan kita jangan ganggu hal orang.
“Apa-apapun, saya percaya hidup ini banyak dugaan. Terpulang pada individu nak pandang negatif kepada saya. Saya tak kisah kerana banyak lagi kerja yang saya nak buat dari melayan perangai orang sebegini,” ujarnya yang turut memberitahu dia tidak berminat untuk mengambil tindakan undang-udang terhadap pihak yang menfitnahnya.
Dalam pada itu, NK dengan riak wajah gembira turut Berkongsi mengenai pengalaman membesarkan anak keempatnya yang diberi nama Muhammad Haq Lutfie Alexander yang dilahirkan melalui pembedahan pada 24 September tahun lalu.
“Alhamdulillah, kehidupan saya kini sangat menakjubkan. Haq seorang anak yang tak pernah memberi masalah dan semua orang sayang dengannya. Sekarang saya menjadi seorang ibu yang paling gembira”, katanya yang kini sibuk dengan lakonan, perancangan mempromosikan album terbarunya dan satu lagi bidang baru yang diceburi iaitu memberi ceramah motivasi kepada masyarakat.
*credit to mD