PADI REBORN EXCLUSIVE LIVE IN KL

Ia seperti sesuatu yang tertunda, namun kini umpama armada membelah samudera, Padi, kumpulan yang cukup dipuja banyak penggemar baik di Indonesia atau Malaysia dan Singapura, kembali mengemudi arah mereka dengan jelas.Mengguna pakai nama Padi Reborn, sesuai dengan ‘siri vakum’ tujuh tahun mereka dan kini aktif mengganas semula, kumpulan yang masih tetap pada formasi yang sama iaitu Piyu (Gitar), Fadly (Vokal utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) mahu ‘memeriksa’ adrenalin para Sobat Padi di Malaysia adakah masih antusias terhadap mereka atau sebaliknya.

Mereka seperti terlahir semula. Maka dengan itu, buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Padi sejak tahun 1997 kumpulan tersebut akan mengadakan konsert perdana mereka Padi Reborn Exclusive Live In KL yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun 2018.Ia ternyata bukan sesuatu yang asing untuk mereka kembali menguasai pentas dan menghiburkan dahaga Sobat Padi, namun berdiri semula diatas nama Padi Reborn, dengan usia yang sudah menuai manis matang, kumpulan yang berasal dari Surabaya itu menjanjikan nikmat yang tidak sedikit untuk diraikan.

Deretan hit klasik seperti Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah atau Kasih Tak Sampai pasti akan diperdengarkan. Tidak sekadar itu, Padi Reborn menjanjikan hal yang lebih luar biasa buat Sobat Padi.

“Kami berasa cukup terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo kami akan dipersembahkan. Persembahan di Malaysia ini juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi vakum dan kini kembali. Kami berharap Sobat Padi Malaysia akan senang dan bergembira bersama menyanyikan lagu-lagu Padi” ujar Piyu.

Dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd, Pengarah Urusan syarikat tersebut, Iqbal, lebih berbesar hati kerana lamarannya untuk membawa Padi Reborn masuk ke Malaysia menerima kata sepakat yang baik daripada kumpulan tersebut. Sementelah, ini merupakan konsert sulung dan solo Padi Reborn yang begitu ‘mahal’ dan eksklusif sejak penubuhannya untuk beraksi di Malaysia.

Menurut Iqbal, sesuai dengan rangka promosi semula Padi Reborn sendiri di Indonesia, beliau mengambil kesempatan dan berasa adalah amat sesuai dan ‘cantik’ sekiranya Padi Reborn singgah beraksi di Malaysia juga.

“Kami amat maklum sejak Padi Reborn kembali aktif sekitar Februari lalu, adalah sesuatu yang menarik sekiranya kumpulan ini dapat beraksi di Malaysia.

“Selain begitu sukses dan popular dalam belantika muzik Indonesia, saya percaya Padi Reborn mempunyai pengikut atau Sobat Padi yang setia dan terlalu merindukan aksi pentas secara langsung mereka di sini. Maka, Qew Comm dengan bangganya membawa Padi Reborn Exclusive Live In KL khusus buat anda semua,” ujar Iqbal penuh teruja.

Sementara itu, kumpulan Pitahati akan menjadi band undangan yang pastinya bakal memberi sebuah persembahan tidak kalah hebatnya. Mengaku membesar bersama karya Padi, Pitahati yang masih ligat mempromosi karya terbaharu mereka, Selamat Datang Ke Panggung Suara memberitahu adalah satu penghormatan apabila diberi peluang menjadi band pembuka Padi Reborn yang sudah hampir 10 tahun tidak beraksi di Malaysia.

Pada konsert tersebut, Pitahati yang terdiri daripada Ilham, Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat bakal membuat peminat khayal dengan untaian genre nusantara rock-avant garde mereka. Sebagai informasi, Padi mempunyai lima studio album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007). Kumpulan ini juga mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles yang dipasarkan pada tahun 2011.

Tidak sekadar mempunyai lima buah studio album yang kukuh dan membariskan hit yang luar biasa, kewujudan Padi tidak sekadar sebuah kumpulan  muzik yang ‘kosong’ apabila menerima banyak pengiktirafan termasuk Best Favourite Group from Indonesia pada MTV Asia 2001,  Kumpulan Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2001 selain menerusi album Sesuatu Yang Tertunda, Padi memperoleh Triple Platinum dari Sony Music Malaysia dan pada tahun 2004, album Save My Soul dinobatkan sebagai Album terbaik pada Anugerah Planet Muzik dan Duo/Kumpulan Terbaik dalam anugerah yang sama.

Terdahulu, Padi pernah bergabung dengan beberapa kumpulan tenar dari Indonesia yang lain termasuk Dewa 19 dan Gigi dalam konsert Pesta Malam Indonesia 3.

Tiket-tiket untuk menikmati untaian indah Padi Reborn Exclusive Live In KL pada 30 Jun depan sudah mula dijual dengan harga early bird RM149 atau RM179 untuk standard (Platinum) dan sesi meet and greet pula bagi early birds (RM249) atau RM290 untuk standard.

Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my.

PADI REBORN EXCLUSIVE LIVE IN KL dianjurkan oleh Qew Communications Sdn Bhd

INFO

Tarikh:                     30 Jun 2018, Sabtu

Masa:                       8 malam

Lokasi:                     KL Live Kuala Lumpur

Harga tiket:          Meet & Greet  RM290 (early bird RM249)- untuk 100 pax

Platinum RM179 (early bird RM149)

Tiket:     www.buytickets.com.my

Platform social media-  IG: @padireborn_liveinKL

FB: Padi Reborn Exclusive Live In KL

YouTube: Padi Reborn Exclusive Live in KL

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *