“Pejuang Abata” diangkat sebagai runut bunyi filem Syahadan 2

“Idea tercetusnya penghasilan runut bunyi lagu “Pejuang Abata” ini adalah untuk menghebahkan tentang kesinambungan dari filem Syahadan 1 yang dihasilkan pada tahun 2022. Kali ini filem Syahadan 2 akan melibatkan kolaborasi persilatan dari 2 negara iaitu Malaysia dan Indonesia dimana ianya melibatkan selebriti persilatan Indonesia yang pernah terlibat dengan koreografi lagak ngeri untuk Marvel Shang-Chi.” bicara Datuk Fairus Hussain pada petang 11 Mei 2024 bertempat di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS sempena Majlis Pelancaran Single dan Muzik Video rasmi nyanyian Amy Zakri.

Filem dan lagu produksi Trilion Marketing Sdn Bhd ini dijangka akan memulakan penggambaran pada tahun 2025 diikuti dengan tayangan pada tahun berikutnya. Lagu berentak Etnik Rock berjudul “Pejuang Abata” ini diangkat sebagai runut bunyi bagi filem Syahadan 2 arahan sutradara bersama iaitu Datuk Fairus Hussain dan Halim Hassan. Lagu yang pada awalnya berkonsepkan Nasyid adalah ciptaan sepenuhnya oleh Panglima, sememangnya diciptakan khas untuk filem yang bertemakan persilatan.

“Saya cipta lagu ini setelah menonton filem Syahadan 1 yang pada ketika itu tiada original soundtrack. Jadi saya fikir kalaulah ada filem ini boleh jadi lebih mantap. Berdasarkan pengalaman dalam dunia nasyid dan silat, saya buat kombinasi lagu dan lirik lebih ke arah itu.” cerita Panglima yang lengkap berbusana dan bertanjak serba hitam pada petang itu. “Saya cipta melodi nasyid ke arah memupuk semangat, saya beri pada Datuk Fairus dan dia bersetuju untuk guna lagu saya ni.”

Stuktur muzik dan lagu telah disusun semula oleh Alan Monosterio sepenuhnya dan telah dirakamkan di studio rakaman Asia Empire Production, dimiliki sepenuhnya oleh En Haniff Khan Mohd Khan atau lebih dikenali dengan nama Anep Monosterio. Proses adunan dan mastering juga dilakukan oleh Anep Monosterio. Apabila lagu nasyid tersebut sampai ke tangan Alan dan Anep, kedua-duanya telah sepakat menaik-taraf lagu tersebut ke tempo upbeat yang lebih rancak dan bersemangat disamping mengekalkan beberapa instrument asli seperti seruling dan gendang.

Tidak mengambi masa yang lama, Alan dan Anep berjaya menjadikan lagu catchy dan bernafas segar nyanyian Amy Zakri itu telah diolah menjadi lebih ke arah genre Etnik Rock, sangat bersesuaian dan serasi dengan tone suara Amy Zakri yang serak-serak basah. Hanya dengan sekali dengar lagu itu telah berjaya membuatkan ianya lekat di minda dan lirik yang simple berulang-ulang menjadikannya mudah dihafal untuk sing-along. Semakin dengar semakin sedap. Meskipun kedengaran agak moden, elemen muzik melayu tetap terkesan.

Membangkitkan semangat juang yang tinggi, vokal husky bersatu dengan riff gitar padu memberi ‘nyawa’ kepada lagu “Pejuang Abata” ini. Amy Zakri merupakan seorang penyanyi yang pernah muncul dengan single “Lafaz Seorang Pecinta” pada tahun 2019, mengorak langkah dengan beberapa lagi lagu seperti “Haluanku”, “Pendusta” dan “Sejahtera Merdeka”. Tidak tampil berseorangan, Amy Zakri ditampilkan bersama sebuah band yang berpakaian silat mengiringi persembahannya menjadikan karya lengkap untuk muzik video arahan Halim Hassan ini.

Bersesuaian dengan jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan melalui filem Syahadan 2 ini, mengisahkan tentang karektor utama bernama Omar menjejaki penceroboh yang cuba membunuh bapanya dengan senjata yang tercicir sehingga membawanya ke sebuah Kampung Alor Pulai. Ketika Omar sedang menjalankan siasatannya, secara tidak langsung Omar telah terjebak dengan satu sindiket modus operandi kanak-kanak hilang dan penjualan organ didalangi oleh satu kumpulan kongsi gelap antarabangsa. Bermula di situlah konflik yang akan dipaparkan oleh Syahadan 2 dengan segala ilmu persilatan 2 benua Indonesia dan Malaysia.

Pesilat Negara yang juga Juara Dunia, Al-Jufferi Jamari masih mengekalkan watak hero dalam filem Syahadan 1 disamping beberapa cadangan yang diberikan untuk memberi aura baru dalam filem kesinambungan itu nanti. Antara nama yang dicadangkan adalah Beto Khusairy, namun beliau masih dalam perbincangan dan belum khatam meneliti skrip yang diberikan. Selain itu, turut menampilkan bintang persilatan dari Indonesia iaitu Chintya Chandranaya dan Master Agus Setiawan Jaya, serta Anuar Rahman dan ramai lagi.

Asia Empire Records Malaysia turut bertindak sebagai syarikat rakaman serta pengedar rasmi diseluruh platfom digital. Muzik video rasmi “Pejuang Abata” ditayangkan kepada umum bermula 12 Mei 2024 manakala single ini sudah berada di semua platfom digital rasmi mulai 11 Mei 2024. Berdasarkan liriknya, perjuangan Alif Ba Ta yang membawa maksud ‘Agama, Bangsa dan Tanahair’ ini tentunya memberi semangat juang yang tinggi pada setiap yang mendengar dengan jiwa raga.

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *