Pertempuran FTG dan Sil Khannaz Di Medan Rockstage VI

Impian peminat muzik berat tempatan khususnya pasti akan terus dirialisasikan oleh Rockstage Entertainment.  Fasa pandemic covid 19 yang membelenggu ketika itu merencatkan aktiviti muzik, tidak kira muzik ekstrim mahupun mainstream.

Era peralihan endemik seolah-olah memberi ruang kepada khalayak untuk terus melakukan segala aktiviti yang telah sekian lama membungkam jiwa.  Edisi ke VI Rockstage yang bertemakan Metal Tempur telah mempertaruhkan FTG dan Sil Khannaz sebagai jentera pemusnah selain menggerakkan jentera dominan seperti Langsuir, Farasu, SOG (Sekumpulan Orang Gila), Massacre Conspiracy dan Naratu.

Tema Metal Tempur bakal berlangsung di Chin Woo Stadium, Kuala Lumpur pada 25 Februari nanti.  Konsert yang akan bermula sekitar jam 2 petang itu pastinya menjanjikan kelainan buat penggemar muzik berat.

“Kami pernah mengadakan konsert sebegini di Stadium Chin Woo, lantaran segala fasiliti yang diperlukan menepati kriteria yang diperlukan maka sekali lagi kami memilih untuk mengadakannya di sini.  Selain itu ianya cukup strategik selain mempunyai kawasan parking yang luas”, ujar Talib Othman.

“Siapa tidak kenal FTG dan Sil Khannaz? Rata-rata pencinta genre metal cukup mengenali kedua-dua band berpengaruh ini yang sarat dengan lagu-lagu bertenaga, keras dan padu.  Sememangnya, FTG dan Sil Khannaz mempunyai pengaruh yang besar dalam persada seni muzik tanahair, lebih-lebih lagi keduanya mampu menerobos pasaran mainstream”, tambahnya

Pengarah Urusan Rockstage Entertainment, turut menjelaskan bahawa konsert tersebut turut menjadi saksi pelancaran abum terbaru FTG yang berjudul “Army Of God” dan Sil Khannaz,The  Madness Of Fear.

“Mungkin ramai yang telah sedia maklum, bermula daripada album Kau Jangan Kurang Ajar FTG telah bersama-sama dengan Rockstage.  Kini tibalah giliran Sil Khannaz untuk bernaung di bawah jenama Rockstage”, ujarnya ketika ditemui sewaktu sidang media bersempena konsert tersebut di Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu.

Aksi dua ikon metal ini yang ‘lama berehat’ dan kini kembali beraksi di pentas konsert dilihat mengundang keinginan pecinta muzik berat untuk ikut ‘headbanging’ bersama.  Khususnya pada era penghujung 90-an dan awal milennium apabila pasaran muzik mainstream seolah-olah dikejutkan dengan ‘amukan’ muzik-muzik underground.

“Kami turut berterima kasih kepada Rockstage Entertainment kerana masih mahu bekerjasama dengan FTG meskipun pelbagai karenah ‘orang tua’ yang terpaksa beliau hadapi”, ujar Tajul selaku vokalis

“InshaAllah kami akan memberikan 100 peratus komitmen demi menjayakan konsert itu nanti.  Persediaan fizikal dan mental serta pemilihan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan turut menjadi agenda utama FTG.  Sekiranya anda fan tegar FTG, hadirlah berikan sokongan kepada kami”, tambah Azmi Ibrahim selaku bassis FTG.

Berlainan pula dengan Sil Khannaz yang menyifatkan bahawa pentas Metal Tempur seakan menguji kewibaan mereka sebagai band metal lama yang akan menyuntik jiwa remaja kerana sebahagian lagu-lagu yang bakal dipersembahkan di petik daripada album terbaharu mereka nanti.

“Sudah pasti Sil Khannaz tidak mahu (kalah awal) dalam battle itu nanti, kehandalan ‘line-up’ Sil Khannaz ‘bermain’ dengan instrumen masing-masing, pasti akan menjanjikan memori manis untuk dikenang para penonton ketika konsert itu nanti”, ujar Abdul Ramzee selaku vokalis Sil Khannaz.

“Buat peminat yang dahagakan ‘buah tangan’ dari Sil Khannaz, anda boleh menikmati album terbaru, The Madness Of Fear yang saya boleh janjikan ianya adalah antara hasil terbaik yang pernah kami rakamkan selain menyaksikan ‘air tangan’ Sendat seorang Sound Engineer yang tidak asing lagi di kalangan penggemar muzik bawah tanah”, tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai album tersebut, Hashim Pestilence selaku bassis Sil Khannaz mengatakan bahawa album tersebut akan dikeluarkan dalam 4 format berbeza iaitu kaset, Cd, LP dan juga Digipack.  Pembeli juga bakal mendapat Poster dan poskad yang cukup terhad pengeluarannya.

“Kita berharap peminat muzik metal baru dan lama tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert ini.  Setiap band akan beraksi selama satu jam 45 minit di sebelah siang dan 1 jam pada sebelah malam” tambah Talib.

Tiket berharga RM95 (pembelian awal sah laku sehingga 7 Feb) dan RM110 yang boleh didapati menerusi ubertickets atau di lokasi konsert berlangsung.

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *