Filem aksi Blood Brothers arahan Syafiq Yusof dan Abhilash menyimpan pelbagai kisah menarik di sebalik tabir yang tidak diketahui penonton. Di sebalik babak penuh adrenalin yang mendebarkan, tersembunyi cerita-cerita yang mencuit hati dan mencabar kesabaran seluruh kru dan pelakon.
Salah satu momen paling ikonik dalam filem adalah dialog spontan yang tidak dirancang. Ketika Jaki (Syazwan Zulkifli) mengambil masa terlalu lama untuk membuka pintu sementara Arif (Syafiq Kyle) bertarung dengan beberapa pengawal, Syafiq melontarkan dialog “Dah belum, anjing?!” secara spontan. Jaki pula membalas dengan menyalak “Woof, woof, woof!” yang benar-benar tidak dijangka. Improvisasi ini akhirnya menjadi antara detik paling diingati dalam filem berkat chemistry pelakon yang mantap dan timing yang tepat.

Babak aksi yang kelihatan mudah di lokasi trafik sesak pula bertukar menjadi penggambaran paling mencabar. Melibatkan lebih 40 buah kereta dan tiga babak pergaduhan berbeza dengan pelakon terkenal seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Malik, Irfan Zaini dan Razib Saliman, penggambaran yang dirancang siap dalam dua hari akhirnya memakan masa lima hari. Selepas dua hari penggambaran, pasukan produksi menyedari hasilnya belum mencapai standard yang diinginkan, lalu mereka bersetuju untuk mengulangi segalanya dari awal demi menghasilkan visual yang betul-betul mantap.
Syazwan Zulkifli yang memegang watak Jaki pula terkenal sebagai “raja tidur” di lokasi penggambaran. Dia sering tidur nyenyak semasa rehat, tetapi sebaik sahaja namanya dipanggil, dia terus bangkit dan memberikan lakonan yang natural dan penuh karakter tanpa perlu pemanasan. Ramai bergurau mengatakan ilhamnya datang dalam mimpi kerana setiap kali bangun, dia terus memberikan persembahan yang padu sebagai seorang pelakon bakat semulajadi.

Cabaran cuaca dan lokasi turut menguji kesabaran semua. Penggambaran di bangunan lama yang belum siap sepenuhnya menjadi lebih sukar apabila hujan turun. Lantai menjadi licin, pergerakan terbatas dan penggambaran pun menjadi lebih perlahan. Namun, pasukan Blood Brothers tidak mudah mengalah dan sentiasa bersemangat meneruskan penggambaran tanpa mengira rintangan.
Di sebalik filem sehebat Blood Brothers, tersembunyi sebuah pasukan yang lebih hebat dari pelakon, kru, hingga pengarah yang tidak kenal erti putus asa. Babak aksi gempak hanyalah permukaan; di belakangnya, ada kerjasama luar biasa, lakonan spontan yang menjadi ikonik dan semangat kental yang menjadikan setiap cabaran satu karya seni.

Filem Blood Brothers akan ditayangkan di pawagam bermula 10 April 2025. Peminat filem Malaysia dijemput untuk menyokong karya tempatan dengan menonton dan berkongsi di media sosial menggunakan tanda pagar #BloodBrothers #BaraNaga #SapotLokal #SapotBloodBrothers.