Ratu Hip Hop Negara Lancar Album Terbaharu Tentang Swacinta (Self-Love) & Pemerkasaan Wanita Melalui Track ‘Jaga Diri’ & ‘Glow’

Setelah hampir 2 tahun menyepi, penyanyi rap-penggubah lagu wanita terkenal Malaysia, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen atau lebih dikenali hanya sebagai ‘Zamaera’ kembali dengan album, Mixtape ‘Heart Break To Heal’.

Menariknya, album yang mengandungi 11 track kesemuanya dengan 6 buah lagu dalam Bahasa Inggeris, 4 buah lagu dalam Bahasa Melayu, dan sebuah ‘Interlude’ ini didatangkan dalam bentuk peranti USB yang menyerupai sebuah kaset klasik. Selain itu, pembeli juga akan menerima sebuah photobook 65-halaman yang mengandungi lirik tulisan tangan dengan visual yang menarik.

“Alhamduillah semenjak menjadi artis indie, saya merasa bebas tanpa mana-mana ‘ikatan’. Pandemik COVID-19 banyak membuka mata tentang apa yang saya mahukan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

“Mixtape Heart Break To Heal ini merungkai kisah hidup saya dalam sebuah album yang menceritakan tentang cinta, kehilangan, pemulihan dan penemuan semula diri saya,” katanya.

Salah satu track yang terkandung dalam Mixtape tersebut yang berjudul ‘Jaga Diri’ menceritakan tentang kisah percintaan Zamaera sendiri, menurut beliau, “Saya akhirnya belajar untuk lepaskan apa yang sudah berakhir. Saya telah melalui fasa derita, sedih dan pada ketika itu saya tidak merasa marah pada bekas kekasih lagi, dan secara jujurnya saya hanya mahukan yang terbaik buat dia. Apa yang penting sekarang adalah Jaga Diri dan hanya menyayangi dari kejauhan.

“Lagu Glow pula saya tulis kerana sifat percaya diri dan mahukan perubahan, ibarat seekor ulat beluncas dalam kepompongnya yang bertukar menjadi rama-rama yang terbang bebas. Lagu ini berkisar tentang keluarga dan kerjaya, bagaimana saya bangkit dari permasalahan tersebut.

Zamaera mengambil masa selama 8 bulan untuk menyempurnakan Mixtape tersebut agar ia betul-betul kena dengan citarasa dirinya yang sebenar.

“Semuanya bermula pada bulan April lalu, saya memperuntukkan masa selama 5 bulan untuk menulis kesemua lagu, proses rakaman pula berlangsung selama sebulan di Studio Mass Music bersama produser muzik yang hebat iaitu saudara Ming-A-Ling aka Ming. Manakala, proses adunan dan mastering pula mengambil masa selama sebulan.

“Seronok rasanya dapat berkarya sebebas-bebasnya kerana segala yang lahir adalah ilham saya sendiri. Ming faham etika bekerja saya dan kami sangat serasi di dalam studio kerana beliau sendiri mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang muzik,” katanya lagi.

Dalam dunia moden serba digital sekarang, pelbagai akses boleh diperolehi secara atas talian, Zamaera menggunakan peluang ini sebaik mungkin, terangnya, “Mixtape Heart Break To Heal sememangnya sebuah projek yang unik kerana buat pertama kalinya kesemua beats (rentak) diperolehi melalui pasaran produksi digital, Beatstars.

“Ketika itu, pandemik masih lagi berlaku dan cara terbaik untuk mengumpul material adalah secara atas talian. 9 daripada 11 lagu yang terkandung dalam Mixtape adalah ciptaan produser muzik antarabangsa, LouXtwo, yang pernah menghasilkan ciptaan buat artis terkenal antarabangsa seperti Chris Brown, Bad Bunny, Tory Lanez, Russ & Wale, dan ramai lagi.

Mixtape Heart Break To Heal punyai cerita tersendiri, malah perkataan ‘heartbreak’ dijarakkan menjadi ‘heart break’ kerana bukan sahaja hati Zamaera perlu pulih, tetapi perlukan masa juga untuk pulih.

“Kesemua lagu yang terkandung dalam Mixtape disusun mengikut aturan kronologi hidup saya kecuali ‘Distance’ dan ‘Syukur’ yang saya letakkan ketika segalanya bermula dengan kekecewaan, kehilangan dan penderitaan yang kemudiannya perlahan-lahan menuju refleksi diri, penerimaan dan penemuan.

Kalau pendengar amati track pertama iaitu Interlude, ada bunyi tangisan saya yang kemudiannya berubah tenang sambil berkata kepada diri sendiri semuanya akan beransur okay.

Sebagai artis rap wanita di Malaysia, pelbagai rintangan yang terpaksa Zamaera tempuhi, namun katanya, “Ramai beranggapan, sebagai rapper wanita anda perlu menjadi yang terbaik, cuma ada satu dan seakan berada dalam perlumbaan siapa nombor satu. Kini, setelah lebih matang dan berpengalaman, saya rasakan setiap wanita yang saya temui menjadi saudara, guru atau teman yang pernah melalui kekecewaan dalam hidup.

“Mungkin satu hari saya dapat bekerjasama dengan lebih ramai rapper wanita Malaysia yang hebat seperti Sophia Liana, Yunohoo, Kayda atau Bunga, dan tak sabar apa keajaiban yang bakal berlaku!

Kerja keras yang dipamerkan Zamaera sememangnya tiada tolok bandingnya, mahukan tidak, kesemua yang berlaku dalam Mixtape ciptaan beliau adalah hasil titik peluh sendiri.

“Disiplin itu penting, dan jika anda mahu jadi seorang artis yang ‘bagus’, and perlu ‘bagus’ dalam proses pembikinan dan persembahan. Tetapi jika anda mahu jadi yang ‘terbaik’, anda perlu ada disiplin yang banyak, disiplin mengikut rutin, perlu rajin bersenam bagi menambah stamina, latihan vokal yang berterusan, serta aturan makanan yang sihat, dan juga rehat yang secukupnya.

“Bahkan anda perlu ada sedikit ilmu perniagaan yang merangkumi aspek perundingan, merangka pemasaran, memilih team yang dapat membantu dalam pembangunan kerjaya dan sebagainya. Oleh kerana itu saya memilih untuk berkarya secara bebas dan lebih senang sebegini.

Sifat memperkasa wanita ternyata tebal di dada Zamaera dan ada yang melabelkannya ‘feminis’, gelaran itu disandang bangga oleh beliau kerana katanya, “Sebagai pencinta buku, ada seorang penulis bernama Elizabeth Nyamayaro berkata ‘saya adalah kerana kita, dan kerana kita, kamulah’. Kata-kata azimat ini menjadi pemangkin buat saya bangun semula dan sembuh dari luka lama melalui muzik yang saya hasilkan.

“Semoga Mixtape Heartbreak To Heal diterima ramai dan mendapat sambutan daripada semua.

Album Mixtape ‘Heart Break To Heal’ boleh mula dibeli di laman web rasmi officialzamaera.com pada harga pada harga RM69.00 seunit beserta photobook istimewa 65 halaman.

 

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *