“Rock Revival” Satukan Melissa, CRK dan Crash

Nuansa rock sememangnya tidak pernah ada penghujungnya, apatah lagi genre itu seakan-akan terus bernyawa sehingga kini.  Malah wirama itu kembali menular di kalangan generasi masakini.  Walau apa pun tanggapannya satu ketika dahulu ianya terus bernadi seolah-olah tiada noktahnya.

Tidak hairanlah mengapa lagu-lagu yang berpaksikan muzik rock masih lagi mendapat tempat di corong-corong radio dan semestinya sentiasa malar segar.  Bertitik tolak dari situlah maka timbulnya idea untuk memberi ruang dan peluang kepada kumpulan-kumpulan rock yang satu ketika dahulu pernah mewarnai industri seni kembali memeriahkan pentas yang semakin sepi dengan lontaran vokal yang bertenaga, hentakan drum serta jalinan jemari yang merungkai gitar dan bass.

Ruh “Rock Revival” bakal di tiup di pentas The House, G-Tower, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur bermula pada 23 Disember ini. CRK, Melissa dan Crash terlebih dahulu dipertanggunjawabkan untuk merialisasikan segmen sulung sebelum ianya berkesinambungan.

“CRK, Melissa dan Crash dipilih berdasarkan kepada kekuatan lagu yang mereka miliki.  Selain komitmen yang cukup jitu ketika saya mengenali mereka satu waktu dahulu”, ujar Mike Cubinar selaku penganjur.

“Mungkin ramai di kalangan peminat di luar sana yang beranggapan bahawa kumpulan-kumpulan ini sudah kekurangan pengikutnya namun saya percaya, jika anda adalah penggemar rock sejati tidak kira siapa pun yang beraksi asalkan ianya membawakan rentak rock sudah pasti anda akan hadir menyaksikan persembahan mereka”, ujarnya lagi ketika sidang media mengenai showcase tersebut di The House G-Tower baru-baru ini.

Cristal atau lebih sinonim dengan CRK masih lagi aktif malah mereka juga bakal tampil dengan anggota asal seperti Kamal, Eddie, Syamrani, Sham dan Ujang.  Band yang pernah hadir dengan 2 buah album studio, “Anugerah” dan “Airmata Cinta” ini cukup popular dengan lagu Cita dan Air Mata, Air Mata Cinta dan lain-lain.

“InshaALLAH kami akan cuba memberikan yang terbaik buat peminat yang dahagakan persembahan kami.  Kami berharap agar peminat sudi hadir sebagai tanda sokongan agar kami dapat melangkah serta melahirkan sebuah lagi album sebagai tanda terima kasih”, ujar Kamal selaku vokalis kumpulan CRK.

Berlainan pula dengan kumpulan yang cukup popular melalui lagu Cinta Untuk Nabila, Lambaian Sayonara, Kesan Cinta dan sebagainya.  Mereka hanya mempertaruhkan Kef sebagai anggota asal Melissa serta dibantu oleh beberapa jentera yang tidak kurang hebat malah mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang masing-masing.

“Saya amanahkan tugas vokalis kepada Arip Kilauan Emas, begitu juga di posisi bass yang sebelum ini di isi oleh Ajak dan posisi drum sebelum ini di galas oleh Ozy”, ujar Kefli Ramli selaku gitaris.

Mungkin ramai di kalangan rockers yang membesar dengan alunan rock pada tahun 90an mengenali kumpulan Crash.  Mereka pernah tampil dengan 2 buah album iaitu “Bantai” dan “Layar Nakhoda” serta beberapa buah single.  Antara lagu yang mendapat tempat di hati peminat ketika itu adalah Mahsuri, Abadikan Salam, Tiang Seri, Rantai Serigala, Peluru, Bantai dan Sentuhan Syahira.

“Sebenarnya Crash sudah lama tutup buku, tapi mengenangkan Mike yang bersungguh-sungguh meminta kami untuk beraksi selain ada di kalangan peminat yang tidak pernah menyaksikan persembahan kami, maka jawapannya adalah akur”, ujar Amar selaku vokalis Crash.

Pihak Karyawan menyokong penuh acara “Rock Revival” ini, malah ianya di lihat sebagai platform untuk kumpulan-kumpulan rock dahulu kembali semula ke dalam industri hiburan.

“Saya melihat ianya sebagai produk terkini apabila  lagu-lagu yang satu ketika dahulu pernah menjadi siulan kembali meniti dari bibir ke bibir di antara generasi dahulu dengan sekarang.  Mungkin juga ada di antara lagu-lagu tersebut cukup popular namun siapa penyampainya tidak ada orang yang kenal.  Jadi inilah platform terbaik untuk peminat dan pendengar”, ujar Dato Freddie Fernandez.

“Mungkin untuk masa-masa akan datang, pihak Karyawan akan membantu penganjur-penganjur merialisasikan acara rock ini dalam skala yang lebih besar.  Apa yang saya harapkan agar peminat hadir untuk menghidupkan Rock Revival ini”, ujar beliau lagi.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan hebat daripada Melissa, CRK dan Crash ini boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 (termasuk minuman ringan).  Tiket-tiket sudah dijual mulai 7 Disember lalu.  Sebarang pertanyaan boleh mengubungi 019-6888739 atau 012-6502352.

 

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *