Lebih kurang dua bulan lalu bagaikan terdengar gema muzik dan tepukan serta sorak sorai di ruang udara Kuala Lumpur. Ada yang mungkin tertanya-tanya di manakah agaknya bunyi yang bagaikan konsert di siang hari. Sekilas pandang memang tidak tahu di mana asal usul bunyi yang kedengaran. Namun, bagi mereka yang benar-benar mengikuti perkembangan Saluran Ceria Anda mahupun membaca media cetak dan media sosial pasti boleh mengagak tentang rancangan berkonsep baru – Rooftop – sebuah siri muzik intimasi terbaru yang bakal dikeudarakan di ntv7. Siri muzik yang bakal menampilkan barisan artis penyanyi tempatan popular di puncak bumbung itu baru sahaja habis penggambarannya dan kini bersedia untuk dikongsikan bersama penonton bagi meraikan seni muzik ke sebuah lagi aras baru telah pun bermula pada 6 September, setiap hari Khamis, jam 8.30 malam.
Selain membariskan penyanyi hebat seperti Estranged, Projek Pistol, Aizat, Bunkface, Drama Band, Liyana Fizi, Diandra Arjunaidi, Najwa Latif, Akim, Nawhki & Clan, Adira, Awi Rafael, Hafiz dan Azlan Typewriter, rancangan ini juga memilih set berlatarbelakangkan keindahan panorama dan bangunan pencakar langit di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur bagi memberikan impak kepada para penonton di rumah.
Menurut penerbitnya, Khairul Anuar yang lebih mesra dengan panggilan Susu, konsep sebegini merupakan pertama kalinya direalisasikan di Malaysia.“Konsep nyanyian di atas bumbung sememangnya berbeza kerana kami cuba mewujudkan suasana unik buat para penyanyi dengan peminat khas mereka yang dijemput ke lokasi penggambaran. Keserasian serta gabungan elemen yang betul pastinya menjadikan siri muzik ini sebagai pengalaman muzik baru yang juga bakal dirasakan penonton di rumah,” kata Susu.
Tambah menarik lagi, rancangan selama 30 minit bagi setiap 13 episod itu turut memasukkan sisipan video menarik mengenai artis terlibat bagi memberi lebih informasi kepada setiap peminat dan penonton mereka selain dirakamkan secara Iive.
Yakin dengan kehadiran rancangan baru ini mampu menarik ramai penonton, Emilya Ab Rahim, Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama ntv7, Komunikasi Jenama, Projek Khas dan Acara ntv7, percaya bahawa suntingan yang minimal serta pilihan muzik hits menjanjikan penonton untuk merasakan sentuhan peribadi artis dalam persembahan mereka.“Malah kehadiran rancangan muzik ini bakal menjadikan Saluran Ceria Anda, ntv7 lebih ceria dan semestinya mampu memenuhi citarasa para penonton,” tambah Emilya.
Turut bekerja keras dalam menghasilkan ole-ole terbaru dari ntv7 ini adalah Encik Kamarul Zamli Ramly, Pengurus Besar Produksi Hiburan Studio Primeworks yang mendapat inspirasi konsep nyanyian di puncak bumbung tatkala mengimbas kembali zaman kegemilangan The Beatles di mana mereka pernah membuat persembahan sedemikian.