Ruh Dewa 19 Terus Bernadi

Meskipun tanpa kelibat pengasas Dewa 19 Ahmad Dhani Prasetyo,  Konsert Dewa 19 Reunion – Live In Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Febuari lalu tetap meriah.  Setiap detik yang berlalu bagaikan ditemani ‘ruh’ yang sudah cukup menghidupkan suasana konsert sehingga ke detik terakhir.

Konsert Reunion Dewa 19 yang di bawakan oleh Nizra Production telah berjaya menghimpunkan lebih 7,000 Baladewa dan Baladewi.  Meskipun ini adalah persembahan mereka yang ke empat di Malaysia, ianya di lihat bagaikan sebuah konsert reunion bukan sahaja untuk setiap ahli kumpulan Dewa 19 tetapi peminat setia mereka di sini.

Selain Once dan Ari Lasso Dewa 19 turut dibarisi oleh Andra (gitar), Yuke (bass), Agung (dram) dan Tyo Nugros (dram) serta Abdul Qodir Jaelani atau Dul yang bertindak selaku kibordis yang menggalas tugas ayahnya Ahmad Dhani yang kini sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan setelah didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.

Tepat jam 8.45 malam, penonton terlebih dahulu di hiburkan dengan rantaian lagu-lagu daripada Andra and The Backbone.  Ternyata mereka juga mampu untuk memaku peminat dengan lagu-lagu yang cukup untuk mengajak penonton untuk turut bernyanyi.  Antaranya adalah Musnah, Sempurna dan Hitamku.

Tepat jam 9.40 Malam Dewa 19 dengan penampilan Ari Lasso mengambil alih pentas dengan intro yang sudah cukup untuk meniup semangat Baladewa dan Baladewi yang sedari awal sudah memenuhi ruang Baladewa yang terletak di bahagian hadapan pentas. Beliau telah menyampaikan beberapa buah lagu antaranya Restoe Bumi, Manusia Biasa, Aku Di Sini, Satu Hati, Cukup Siti, Takkan Ada Cinta dan Persembahan Dari Surga.

Dul Jaelani yang juga anak kepada Ahmad Dhani, tidak dapat menahan sebak ketika Ari Lasso menyanyikan dua lagu, Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali. Suasana konsert  pada mulanya gamat bertukar pilu saat kamera memfokuskan kepada wajah Dul yang sedang bermain kibod sambil menitiskan air mata.

Sebahagian penonton turut terkesan dan dilihat mengesat air mata, berkongsi kesedihan dirasakan anak muda itu. Kepiluan tambah dirasa apabila nyanyian Ari Lasso disulami dengan paparan gambar Ahmad Dhani bersama keluarga dan rakan seperjuangannya dalam kumpulan itu di skrin gergasi.

Ari Lasso kemudiannya meninggalkan pentas dengan Kirana dan Elang sebelum menyerahkan mic kepada Once yang bertindak sebagai vokalis di dalam album kelima, Bintang Lima yang turut dinobatkan sebagai album terlaris di Indonesia pada tahun 2000.

Sebanyak 12 buah lagu telah dipersembahkan oleh Once antaranya ialah Pangeran Cinta, Sayap Patah, Dua Sejoli, Kosong, Angin, Hidup Adalah Perjuangan, Dewi, Cemburu, Risalah Hati, Perempuan, Pupus dan Arjuna.

Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman turut mencemar duli hadir menonton konsert tersebut disamping Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.Masa terus berlalu, kedinginan malam seakan tidak terasa tanpa di duga gabungan duo vokalis ini kembali menghangatkan pentas dengan lagu Roman Picisan, Kangen dan Separuh Nafas yang di temani oleh dua pemain dram yang beraksi sama di posisi instrumen masing-masing.

Foto & Video diambil dengan #LumixGH5

 

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *