Selepas mencipta fenomena dalam industri muzik Malaysia, Kidd Santhe dan Saixse muncul dengan lagu terbaru mereka, “Mantap Cuy”. Gabungan ini turut menampilkan YouTuber popular Indonesia, Atta Halilintar (yang kini tersenarai di antara Top 3 Asia).
“‘Mantap Cuy’ meraikan bukan sahaja kemenangan besar, tetapi juga kemenangan kecil dalam hidup. Walaupun berdepan dengan sebarang halangan, lagu ini memberi inspirasi untuk kami belajar mengambil cabaran itu dengan positif,” jelas Kidd Santhe, yang merupakan penerbit lagu itu.
“Mantap Cuy” adalah gabungan slang Malaysia dan Indonesia untuk menangkap semangat dan keterujaan tentang sesuatu, sama seperti menyebut “cool, dude” atau “awesome, bro” dalam Bahasa Inggeris.
“Saya sudah lama minat budaya hip-hop Malaysia, terutamanya karya Kidd dan lagu viral Saixse, ‘Malampagi’ (yang juga trending di Indonesia!) – jadi apabila Kidd mencadangkan kerjasama ini, saya tidak teragak-agak langsung,” jelas Atta Halilintar. “Saya sangat teruja untuk peluang menyertai dan menyumbang kepada dunia hiburan Malaysia, di samping dua yang terbaik dalam industri.”
Kidd Santhe dan Saixse bukan sahaja menggubah “Mantap Cuy” bersama, malah mereka turut berkolaborasi menghasilkan lirik bersama Atta Halilintar. Projek ini juga menandakan kerjasama antara syarikat Kidd Santhe, Kidd Next Door Productions dan syarikat Saixse, Bando Rahsia Legacy.
Penggambaran video muzik ini pula telah dilaksanakan di Indonesia oleh pihak Simbion, manakala Take Five Studio telah menjalankan penggambaran akhir di Malaysia.
“Pengalaman penggambaran video muzik di Indonesia sangatlah mengujakan dan ia merupakan pengalaman yang luar biasa bagi saya. Kreativiti, kecekapan dan sokongan mereka sungguh luar biasa dan mengagumkan, walaupun dengan tempoh garis masa yang singkat,” kata Saixse, menandakan kali pertamanya menggadakan penggambaran video muzik di luar negara.
“Mantap Cuy” bakal diedarkan oleh Sony Music Malaysia, dan boleh didengar di semua platform strim digital utama bermula 26 April 2024. Video muzik rasmi pula akan dilancarkan pada 30 April 2024 secara eksklusif di halaman YouTube Kidd Santhe.