SELANGOR FUTURE CUP 2024/2025: LAHIRNYA LAGENDA – PLATFORM PEMERKASAAN BELIA MELALUI ESUKAN DAN PENDIDIKAN

Majlis Sukan Negeri Selangor dan Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, dengan kerjasama Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK, telah berjaya menganjurkan Selangor Future Cup 2024/2025: Lahirnya Lagenda – Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Antara Sekolah Negeri Selangor yang julung kali diadakan.

Kejohanan berprestij ini bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan inisiatif strategik untuk mengenal pasti bakat baharu dalam arena esukan di kalangan pelajar sekolah, sambil memberi mereka pendedahan kepada persekitaran pertandingan berskala profesional.

Program yang berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Februari 2025 di AEON Mall Shah Alam telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, diiringi YB Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor.

PEMBANGUNAN BAKAT MUDA DALAM EKOSISTEM ESUKAN

Sebanyak 64 sekolah dari seluruh negeri Selangor telah menyertai kejohanan ini, melibatkan 384 pelajar yang mempamerkan kemahiran dan bakat mereka dalam suasana yang kompetitif. Platform ini turut menjadi medan untuk mengenal pasti bakat-bakat berbakat yang berpotensi diserap ke dalam program pembangunan atlet esukan bagi misi SUKMA akan datang.

Timbalan Presiden TODAK, En Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri berkata, “Kejohanan ini merupakan sejarah buat TODAK kerana buat pertama kali kami dapat menyumbang pendidikan buat industri esukan selain terlibat secara langsung dalam penganjuran. Ini selari dengan objektif kami dalam memberi keseimbangan antara sukan dan pendidikan terutama bagi pelajar-pelajar sekolah.”

“Sepanjang dua hari kejohanan ini berlangsung, kami dapat lihat ramai peserta yang mempunyai potensi besar. Saya percaya dengan bimbingan yang betul melalui program pembangunan atlet di TODAK dan SRG, kita mampu melahirkan lebih ramai atlet profesional di masa hadapan,” tambahnya.

HADIAH BERNILAI TINGGI BAGI PEMENANG

SMK Kota Kemuning telah dinobatkan sebagai juara sulung Kejohanan Selangor Future Cup, membawa pulang hadiah yang mengesankan:

  • Biasiswa penuh bagi program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) bernilai RM160,000 tajaan TODAK Academy
  • Pembangunan hab esukan di sekolah bernilai RM30,000
  • Wang tunai RM5,000
  • 20,000 MLBB diamonds
  • Trofi, pingat, dan cenderamata

Tempat kedua dimenangi oleh SMK Saujana Utama, diikuti dengan SMK Seksyen 19 di tempat ketiga dan SMK Bandar Sunway di tempat keempat.

SOKONGAN INDUSTRI

Kejohanan ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk TODAK Academy sebagai penaja utama biasiswa Diploma Kemahiran Malaysia dan AEON Mall Shah Alam sebagai penaja lokasi. Moonton Student Leaders (MSL) turut menyumbang dalam bentuk in-app diamonds, mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan industri esukan di Malaysia dan pembangunan bakat muda.

KOMITMEN TERHADAP PENDIDIKAN

Selangor Future Cup 2024/2025 memberikan tumpuan khusus kepada keseimbangan antara esukan dan pendidikan, dengan setiap peserta menerima peluang untuk memperoleh biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (Tahap 4) di TODAK Academy. Inisiatif ini menggambarkan komitmen penganjur untuk memastikan para pelajar tidak mengabaikan pendidikan formal sambil meneruskan minat dalam bidang esukan.

“Kami mendapat banyak maklum balas positif dari pihak sekolah, guru-guru serta ibu bapa sepanjang kejohanan berlangsung. Saya percaya platform ini dapat diperluaskan lagi dengan lebih banyak penyertaan dari sekolah-sekolah seluruh negeri Selangor di tahun hadapan. Terima kasih kepada semua sekolah yang terlibat dan juga kepada guru-guru yang memberi sokongan sepanjang penganjuran kali ini,” kata En Mohd Ikmal.

#LahirnyaLagenda

Kejohanan ini merupakan permulaan kepada usaha lebih besar untuk membina ekosistem esukan yang mapan di peringkat sekolah, selaras dengan visi Selangor untuk menjadi peneraju dalam pembangunan industri esukan di Malaysia.

Check Also

Gastro Groove Fest: Harmoni Muzik, Kuliner, dan Budaya Kedah di Pentas Pertama Seumpamanya

Buat pertama kalinya, Alor Setar menyambut Gastro Groove Fest, sebuah festival inovatif yang menyatukan tiga elemen …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *