Single Terbaru : Berhenti Menantimu – Kris Patt

Minat yang mendalam dalam bidang seni membawa Mary Cris Pateno Faustino, 27, ke negara ini untuk mengembangkan  kerjaya seninya di sini. Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama pentasnya, Kris Patt, berasal dari Filipina.

Kris mula menyanyi secara tidak formal ketika dia berusia tujuh tahun dan  semakin serius untuk menjadi penyanyi setahun selepas itu. Oleh kerana desakan hidup, Kris yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik hanya bersekolah sehingga peringkat sekolah tinggi saja.”Saya  tidak dapat menyambung pelajaran kerana ibu tidak mampu untuk membiayai pengajian lalu saya terus mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian untuk membantu ibu menyara keluarga kami. Demi mencari pengalaman dan peluang yang lebih baik saya datang ke Kuala Lumpur dan berpeluang menyanyi di beberapa hotel terkenal di negara ini.”

Selepas menimba banyak pengalaman di negara ini dan melihatkan perkembangan dunia hiburan tanah air yang kian rancak, Kris berhasrat untuk menghasilkan album. Impian Kris itu tercapai selepas pihak Melodi United yang menyaksikan persembahan Kris di sebuah hotel terkemuka di ibu kota tertarik dengan nyanyian dan persembahannya.Selepas berbincang mereka menawarkan Kris untuk menghasilkan single pertamanya dan lebih istimewa lagu pertamanya itu dicipta oleh Tam Spider dan liriknya pula diilhamkan oleh penyanyi terkenal Indonesia, Yuka Kharisma.Kriss Patt 02

Gabungan tiga negara – Malaysia, Indonesia dan Filipina, diharap akan melonjakkan nama Kris di persada muzik tanah air. “Saya lihat industri hiburan Malaysia terbuka menerima kehadiran bakat daripada luar dan ini menguatkan lagi keyakinan yang saya akan diterima oleh penggemar muzik di sini. Disebabkan itu juga saya memilih untuk merakamkan single pertama saya dalam bahasa Melayu kerana sepanjang menyanyi di hotel selain suka menyanyikan lagu Melayu, ramai pengunjung hotel terdiri daripada kalangan  orang Melayu.

Saya boleh faham bahasa Melayu sedikit-sedikit kerana ada perkataan dan makna bahasa itu yang hampir sama dengan bahasa ibunda saya di Filipina. Oleh itu tidaklah begitu sukar  apabila saya mahu merakamkan lagu Melayu.  Sebab lain saya mahu merakamkan lagu Melayu kerana saya mahu berbeza daripada penyanyi lain.Paling penting  saya percaya serta yakin boleh menyanyikan lagu dalam bahasa itu dengan baik. Ketika rakaman  Tam Spider banyak membantu saya untuk menghayati setiap bait lirik lagu itu agar dapat disampaikan dengan sepenuh penghayatan,” katanya.

Kris berhadap peminat muzik di negara ini akan memberi sokongan kepadanya agar dia dapat melakar namanya di sini.Semangat dan keberanian Kris ingin mencuba nasib di negara ini amatlah dipuji. Meminati penyanyi Dayang Nurfaizah dan Hazami,  Kris berazam untuk berusaha dan bekerja keras demi memberikan yang terbaik kepada pendengar dan peminat seni suara di negara ini.

Melihatkan kesungguhan Kris mengembangkan bakat nyanyiannya itu dan tidak pernah berputus asa untuk mengejar cita-citanya dalam bidang seni, Melodi United merancang mahu mengadakan kerjasama dengan Kris dalam pelbagai cabang seni yang lain agar kedua-dua pihak dapat membina satu empayar perniagaan dalam dunia hiburan tempatan dan luar negara.

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *