SIRIM BERHAD DAN ENSU LIFESCIENCES SDN BHD MEMETERAI KERJASAMA MELALUI PERJANJIAN PELESENAN TEKNOLOGI

SHAH ALAM – SIRIM Berhad terus memacu inovasi dengan memeterai kerjasama strategik bersama Ensu Lifesciences Sdn Bhd (ELSB) menerusi Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA). Perjanjian ini menandakan satu pencapaian penting dalam pemindahan teknologi dan pengkomersialan Teknologi Penjagaan Kulit Kawalan Jerawat & Cela, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dipacu oleh inovasi.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung hari ini menegaskan komitmen SIRIM dalam memperkukuhkan keupayaan dan kapasiti industri merentas pelbagai bidang teknologi. Melalui perjanjian ini, SIRIM memindahkan kepakaran saintifik canggih dalam penyelesaian rawatan jerawat, mengukuhkan peranan mereka sebagai pemain utama dalam sektor kosmetik dan penjagaan diri di Malaysia.

Teknologi ini berkesan dalam mengatasi masalah jerawat serta mengurangkan pembentukan parut melalui sifat antioksidan yang kuat. Formula ini selamat, tidak beracun, dan bebas daripada bahan kimia berbahaya. Sasaran utama pasaran bagi penyelesaian rawatan jerawat ini termasuk remaja, golongan dewasa yang mengalami jerawat berpanjangan atau hormon, serta klinik dermatologi dan penjagaan kulit.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Ir. Ts. Dr. Muhammad Izzal Ismail, Ketua Pegawai Teknologi Penyelidikan Industri SIRIM dan Nur Farzana Suhana @ Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Ensu Lifesciences Sdn Bhd. Majlis ini turut disaksikan oleh Dr. Fazilah Fazan, Pengarah Kanan Pusat Sains Hayat, Penyelidikan Industri SIRIM dan Puan Nur Faizureen Suhana @ Husin, Pengarah Ensu Lifesciences Sdn Bhd.

Dalam ucapannya, Ir. Ts. Dr. Muhammad Izzal Ismail menegaskan bahawa sebagai sebuah agensi yang diberi mandat oleh kerajaan, SIRIM komited dalam memajukan penyelidikan industri, meningkatkan proses teknikal serta menggalakkan penggunaan produk, teknologi, dan perkhidmatan yang dibangunkan di Malaysia.

“Kerjasama ini adalah bukti peranan utama SIRIM dalam pengkomersialan teknologi. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Ensu Lifesciences Sdn Bhd ketika mereka melangkah ke peringkat pertumbuhan perniagaan seterusnya. Perjanjian ini bukan sahaja menyokong inovator tempatan, tetapi juga merapatkan jurang antara industri dengan penyelesaian teknologi yang canggih.”

Kerjasama antara SIRIM Berhad dan Ensu Lifesciences Sdn Bhd ini merupakan contoh terbaik bagaimana kolaborasi dapat memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut menyerlahkan peranan SIRIM dalam membangun, memudah cara, dan mengekalkan ekosistem teknologi di Malaysia agar negara terus berdaya saing di peringkat global.

Dr. Suhana @ Husin, Pengerusi Eksekutif Ensu Lifesciences Sdn Bhd dalam ucapannya menekankan bahawa, “Perkongsian kami dengan SIRIM Berhad mencerminkan komitmen bersama terhadap inovasi dan kelestarian. Teknologi yang dilesenkan ini, yang mengandungi bahan semula jadi seperti limau purut, kayu manis, dan enzim bromelain, adalah bukti dedikasi kami dalam menyediakan penyelesaian penjagaan kulit berkualiti tinggi yang terbukti secara saintifik dan memenuhi keperluan sebenar pengguna.”

Check Also

iQOO 13: Monster Inside, Dilancarkan di Malaysia

iQOO Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran iQOO 13, telefon pintar baharu yang menetapkan standard prestasi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *