Tag Archives: 3D

Pelancaran KARTUN STUDIOS

image012

Dengan objektif memperluaskan pasaran diperingkat domestik dan antarabangsa khususnya penerbitan produk-produk animasi 2D dan 3D bagi kanak-kanak; Kumpulan Syarikat KRU mengumumkan penubuhan Kartun Studios Sdn Bhd, anak syarikat ke sebelasnya yang dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi & Multimedia Malaysia.

“Untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan berterusan dan bersepadu sektor Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur adalah amat penting. Oleh yang demikian pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk rebat penerbitan 30% yang ditawarkan oleh FINAS bagi menggalakkan pelaburan penerbitan kandungan tempatan dan antarabangsa, penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi, penyediaan rangkaian televisyen digital menjelang 2015 dan pelbagai insiatif yang lain. Saya gembira melihat usaha Kumpulan Syarikat KRU yang bukan saja mempunyai pelan strategik bagi pemasaran produk-produk terbitan mereka diperingkat tempatan dan antarabangsa melalui penubuhan Kartun Studios, tetapi turut juga melatih anak-anak tempatan sebagai modal insan berkemahiran tinggi di KRU Academy” ujar Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

image005

Menurut Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU; penubuhan Kartun Studios bukan saja bertujuan untuk mengkhususkan inisiatif penjenamaan bagi filem-filem serta kandungan siri animasi terbitannya tetapi adalah strategi korporat dan persediaan awal untuk menarik pelabur diperingkat tempatan dan antarabangsa sekaligus memperkasakan kedudukan Kartun Studios didalam tempoh 3 hingga 5 tahun yang akan datang.

“Produk-produk animasi 2D dan 3D memberi prospek terbaik bagi studio-studio tempatan untuk menjadi pemain global. Contohnya, filem Ribbit (filem animasi pertama terbitan KRU) telah mendapat tempahan lebih 80 buah negara dan telah menerima jemputan untuk ditayangkan sebagai World Premiere di Niagara Integrated Film Festival, Canada pada 21hb Jun 2014. Kartun Studios akan menghasilkan sekurang-kurangnya 3 buah filem animasi, 130 siri animasi 3D dan 130 siri animasi 2D didalam tempoh 5 tahun yang akan datang” ujar Norman.

image009

Kartun Studios juga mensasar menyediakan sejumlah 1,000 peluang pekerjaan baru bagi penerbitan animasi 2D dan 3D menjelang tahun 2020. Kini di KRU Academy, seramai 200 pelajar sedang mengikuti program Diploma Kemahiran Malaysia yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. KRU Academy bakal menerima sekitar 300 pelajar baru didalam tempoh 1 tahun yang akan datang dan menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran yang dinamakan sebagai “Kreatif X Press” di sekolah-sekolah menengah bagi memberi pendedahan kepada murid serta ibubapa tentang peluang-peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan didalam Industri Kreatif.

Untuk maklumat lanjut, sila emel ke hr@kartunstudios.com bagi peluang-peluang pekerjaan di Kartun Studios dan enquiries@kruacademy.edu.my bagi menyertai kursus-kursus peringkat diploma dan sijil di KRU Academy.

Filem RIBBIT Bakal Ditayangkan September Ini

image025

KRU Studios cukup dikenali dengan genre filem bertemakan aksi, fantasi, muzikal dan pengembaraan sarat dengan kesan khas visual (CGI). Selepas penghasilan filem antarabangsa pertama terbitannya berjudul “Vikingdom”, kini KRU bakal mengeluarkan filem animasi 3D berjudul “Ribbit” menerusi anak syarikatnya Kartun Studios.

Ribbit mengisahkan seekor katak yang mengalami krisis identiti mengembara di hutan dalam pencarian halatuju hidupnya yang sebenar. Didalam pengembaraannya dia ditemani rakan karibnya iaitu seekor tupai, bertemu dengan pelbagai binatang yang bercakap dalam dialek-dialek berbeza; sebagai metafora seseorang yang mengelilingi dunia (versi Bahasa Inggeris) dan mengelilingi Malaysia (versi Bahasa Malaysia) untuk mendapatkan jawapan yang dicari.

image008

Filem Ribbit diarahkan oleh Chuck Powers yang menggunakan suara-suara artis terkenal Hollywood seperti Sean Astin (Lord of the Rings), Tim Curry (The Hunt for Red October) dan pelawak antarabangsa Russell Peters (Fast Food Nation). Filem ini juga telah diadaptasikan ke dalam Bahasa Malaysia diarahkan oleh pengarah filem tempatan Mamat Khalid dan menampilkan suara-suara artis tempatan seperti Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Hj Nawawi, Izzue Islam dan ramai lagi.

Ribbit kini sudah mendapat tempahan melebihi 80 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Rusia, Jerman, Jepun, China, Korea Selatan dan kebanyakkan negara tersebut akan mengalih bahasa ke bahasa tempatan mereka.

image020

Meneruskan tradisi KRU Studios dengan lagu-lagu tema filem, Ribbit menampilkan “Magical Moment” yang menggandingkan Jaclyn Victor bersama kumpulan R&B terkenal dari Amerika Syarikat Az Yet dan “Destiny” oleh DJ Motiv8 iaitu bekas DJ yang sentiasa mengiringi persembahan kumpulan Black Eyed Peas. Manakala bagi versi Bahasa Malaysia “Dikau Saja” dijadikan lagu tema yang dinyanyikan oleh kumpulan Forteen.

Filem ini bakal menemui penonton pada 4hb September 2014 dan juga bakal diedarkan dalam format Stereoscopic 3D. Tarikh pengedaran di luar negara adalah tertakluk kepada pengedar-pengedar yang dilesen di negara masing-masing. Pada hari ini, KRU Studios mengeluarkan treler rasmi versi Bahasa Malaysia di Youtube. Sila rujuk ke pautan  http://www.youtube.com/watch?v=ZNtTGpMUOdI&list=PLA9FB0A14CF1E50B8