Tag Archives: Ahirine Ahirudin

Ahirine Bertapa Di Kampung Selama Sebulan Untuk Kuasai Dialek Negeri Sembilan

Meskipun berstatus anak kepada pengamal media berpengaruh yang juga Pengarah Eksekutif Petra News, Datuk Ahirudin Attan, pendatang baharu Ahirine Ahirudin, 26, mengakui bapa tidak pernah menghalang minatnya untuk terjun dalam dunia lakonan.

Bapanya juga sentiasa menyokong apa sahaja minatnya sama ada dalam dunia seni, bidang penyiaran mahupun kewartawanan.

“Sebelum ini, saya pernah bertugas sebagai wartawan penyiaran dan pengacara program televisyen (TV).

“Selepas menceburi bidang lakonan, saya masih menulis secara sambilan, tetapi dalam portal automotif,” katanya.

Kata Ahirine, bapa mencadangkannya tinggal di kampung selama sebulan bagi menguasai dialek Negeri Sembilan dalam filem Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor yang berpengalaman mengarahkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan itu.

Dalam filem genre komedi romantik, pemegang Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bergandingan dengan barisan pelakon otai iaitu Datuk Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud.

“Saya boleh memahami dan bertutur sedikit dialek Negeri Sembilan kerana abah berasal dari Lubok Cina, Melaka. Sudah tentu ahli keluarga banyak bertutur dialek Negeri Sembilan.

“Kampung abah hanya bersebelahan Kampung Lonek, Negeri Sembilan yang menjadi lokasi penggambaran filem ini.

“Namun, saya tidak boleh tinggal lama di kampung kerana ada komitmen kerja lain,” katanya.

Filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studios Sdn Bhd turut menampilkan anak Hattan, Adam E dan Nizam Laksamana.

Menariknya, filem berteraskan dialek Malaysia itu memberi tumpuan pada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.

Mengulas watak Jijah dalam filem, kata Ahirine, ia mempunyai persamaan dengan dirinya yang menyukai aktiviti lasak dan sukan permotoran.

Katanya, watak Jijah, gadis yang berasal dari kampung dan bersifat lemah lembut, tetapi meminati sukan lasak.

“Jijah adalah gadis yang bertugas sebagai pegawai tentera dan pulang ke kampung untuk menjaga neneknya.

“Saya tidak perlu bertutur dialek Negeri Sembilan pekat sangat kerana Jijah bekerja di bandar.

“Selain dibantu Hattan dan pelakon kelahiran Negeri Sembilan, ada guru lakonan memberi bimbingan dari segi dialek dan sebagainya,” katanya.

Ditanya babak mencabar, Ahirine berkata, dia mengalami sakit badan lebih seminggu ketika merealisasikan babak pertarungan dengan penjahat.

“Selain dibantu koreografer aksi, saya memang ada asas dalam seni mempertahankan diri iaitu Muay Thai dan Krav Maga.

“Masih banyak aspek lakonan yang perlu diperbaiki terutama ekspresi muka. Ini kerana sebelum ini saya banyak berada di belakang tabir untuk babak aksi dan lagak ngeri dalam filem,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Hattan, kata Ahirine, dia mudah mendapatkan keserasian dengannya.

“Pada mulanya, saya risau untuk bekerja dengan artis otai seperti Hattan.

“Maklumlah, watak Jijah banyak dengan Atan (Hattan) termasuk babak romantik.

“Bagaimanapun, selepas saya bawa Hattan naik motosikal pusing bendang dan ronda keliling kampung, perasaan risau hilang, malah sering ketawa dengan telatah lucunya,” katanya.

Bukan sahaja Hattan, kata Ahirine, dia juga tiada masalah bekerjasama dengan Khir dan Joey.

“Saya tidak kekok bergandingan dengan Khir dan Joey kerana pernah menemubual mereka ketika menjadi wartawan penyiaran.

“Mereka adalah pelakon profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan di lokasi penggambaran. Begitu juga dengan pengarah, CL Hor,” katanya.

https://youtu.be/LIzBpxPCU1w

Kata Ahirine lagi, filem Gadis Jolobu The Movie turut menyerlahkan sisi komedi dalam dirinya.

“Saya sebenarnya suka buat orang ketawa kerana tidak mahu berasa tekanan di lokasi.

“Khir dan Joey juga suka buat lawak. Jadi, saya memang ketawa dan terhibur dengan telatah mereka,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di YouTube.

Filem ini akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara bermula 4 Ogos depan. Malah, turut ditayangkan di platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY pada masa akan datang.

Saya Tidak Kisah Di Gelar Pelawak – Datuk Hattan

Di sebalik kelantangannya, ada sisi komedi dalam diri penyanyi otai, Datuk Hattan.Penyanyi lagu Biso Bonar itu tidak kisah jika digelar pelawak selepas membintangi filem genre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor.

Bagi pemilik nama Mohd Shukri Shahabudin, 57, itu, watak komedi dalam filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd itu sekadar lakonan, tidak terjejas prinsip yang lantang bersuara mengenai pelbagai topik di media sosial.

“Saya tak kisah orang nak cakap apapun kerana lakonan tetap lakonan.

“Di luar penggambaran, saya memang seorang yang serius dan lantang bersuara memperjuangkan mengenai topik semasa.

“Sebelum ini, menerusi filem Selubung pun saya bawa watak komedi.

“Kali ini, filem Gadis Jolobu The Movie juga bergenre komedi ringan untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Selain Hattan, Gadis Jolubu The Movie yang juga karya berteraskan dialek Malaysia yang memberi tumpuan kepada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan itu menggandingkannya dengan Khir Rahman dan Joey Daud.Ia turut dibintangi anak sulung Hattan, Adam E dan Nizam Laksamana, selain memperkenalkan bakat baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Bercerita mengenai lakonannya, Hattan berkata, dia tiada masalah mendapatkan keserasian bersama dua lagi teraju utama, Khir dan Joey.

“Amat mudah bekerjasama dengan Khir dan Joey walaupun mereka bukan berasal dari Negeri Sembilan. Mereka adalah pelakon profesional.

“Hanya watak saya sahaja yang pekat bertutur dengan dialek Negeri Sembilan, namun, Khir dan Joey pula mengikut tuntutan skrip kerana mereka digambarkan membesar di luar dan baru pulang ke kampung halaman,” katanya.

Hattan berkata, banyak insiden melucukan berlaku di lokasi penggambaran filem berkenaan.

“Joey suka buat lawak spontan, tetapi masih tidak lari daripada dikehendaki skrip filem.

“Bagaimanapun, cabaran tetap ada. Kami berdepan dengan cabaran dari segi cuaca tidak menentu.

“Ketika penggambaran cuaca panas terik, tetapi tiba-tiba hujan dengan lebat hingga penggambaran terpaksa dihentikan,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan CL Hor, kata Hattan, dia juga selesa bekerjasama dengan pengarah yang berpengalaman menghasilkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan itu.

https://youtu.be/LIzBpxPCU1w

“Walaupun CL Hor pengarah bukan Melayu, tetapi tidak sukar memahami kehendaknya.

“CL Hor bukan sahaja menjaga aspek lakonan dan lakon layar, namun, masih memberi kebebasan kepada pelakon untuk menjiwai watak,” katanya.

Ditanya harapannya, Hattan yakin filem Gadis Jolobu The Movie mendapat sambutan di pawagam.

“Insya-Allah, saya yakin filem ini akan mendapat sambutan. Semuanya dengan izin Allah SWT.

“Saya bersyukur penonton kembali ke pawagam dengan sambutan terhadap filem tempatan selepas dua tahun berdepan era pandemik, katanya.

Namun, Hattan berharap penonton sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika di luar.

“Saya tak berani nak cakap dalam fasa peralihan ke endemik kerana kes COVID-19 kembali naik semula ketika ini.

“Saya berharap peminat menghormati permintaan artis untuk tidak membuka pelitup muka ketika bergambar kerana kita tidak mahu dijangkiti COVID-19 dan kes naik semula,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet, Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta dalam laman YouTube akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY bermula 4 Ogos depan.