Tag Archives: Aina Abdul

EP RAISE THE STAR MALAYSIA TAMPILKAN 5 LAGU BAHARU FINALIS BERSAMA KOMPOSER TERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2025 – Rocketfuel Entertainment kembali mencipta momen bermakna apabila semua finalis program realiti popular Raise The Star Malaysia kini tampil dengan EP khas berjudul “EP Raise The Star Malaysia”, menghimpunkan lima single baharu hasil kolaborasi bersama lima komposer terkenal tanah air.

EP ini menandakan kesinambungan perjuangan para peserta selepas tamatnya pertandingan, sekaligus membuka lembaran baharu buat industri muzik tempatan yang semakin rancak dengan bakat baharu.


Format Unik: Protege & Komposer Berganding Bahu

Tidak seperti pertandingan lain, Raise The Star Malaysia memperkenalkan format unik apabila setiap peserta akhir dibimbing secara eksklusif oleh seorang komposer yang turut menggubah lagu khas untuk mereka.

EP Raise The Star Malaysia Rocketfuel Entertainment – Finalis dan komposer terkenal

Antara nama besar yang terlibat termasuk Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna – lima figura penting dalam industri muzik Malaysia yang telah melahirkan pelbagai karya hit.

Kerjasama istimewa ini melahirkan karya segar, moden dan penuh jiwa — menjadikan setiap lagu dalam EP ini mewakili keunikan tersendiri bagi setiap peserta.


Didie Shazry Dinobat Juara Dengan “Peganglah Hati”

Muncul juara, Didie Shazry menawan hati juri dan peminat dengan lagu balada berjudul “Peganglah Hati” ciptaan Aina Abdul.

EP Raise The Star Malaysia Rocketfuel Entertainment – Finalis dan komposer terkenal
Didie Shazry

Lagu ini menyerlahkan kekuatan vokalnya dengan susunan muzik bernafas Nusantara yang menyentuh emosi.

EP Raise The Star Malaysia Rocketfuel Entertainment – Finalis dan komposer terkenal
Zuana

Naib juara Zuana pula tampil dengan “Hantaran Cinta” ciptaan Ajai, manakala tempat ketiga Rayme mempersembahkan lagu “Gergasi” hasil karya Audi Mok yang menggabungkan elemen pop, rock dan rap.


EP Lengkap Lima Lagu Pelbagai Genre

Selain tiga lagu utama, EP ini turut memuatkan “Lara Bertahan” nyanyian Hariz Fayahet ciptaan Ikhwan Fatanna, serta “Cinta Dusta” nyanyian Keka hasil garapan Shila Amzah.

EP Raise The Star Malaysia Rocketfuel Entertainment – Finalis dan komposer terkenal
Hariz Fahayet

Kesemua lagu boleh didengarkan dalam versi konsert di YouTube @RocketfuelNetwork dan versi studio di platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 25 September 2025.

EP Raise The Star Malaysia Rocketfuel Entertainment – Finalis dan komposer terkenal
Keka

EP ini membuktikan kesungguhan Rocketfuel Entertainment dalam memperkukuh ekosistem muzik tempatan dan memperkenalkan bintang baharu ke arus perdana.

MELLY GOESLAW RAIKAN KEMUNCAK NOSTALGIA DI “ADA APA DENGAN MELLY…? PROM NITE” DI AXIATA ARENA

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025 — Axiata Arena bergema dengan sorakan, nyanyian, dan air mata kenangan apabila Melly Goeslaw kembali menghidupkan nostalgia menerusi malam kemuncak “Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite”, sebuah konsert yang melengkapkan trilogi perjalanan emosi dan muzik selepas siri “Back To School” dan “Malam Graduasi” sebelum ini.

Lebih daripada sekadar konsert, Prom Nite adalah pesta cinta dan kenangan yang dihadiri ribuan peminat dari pelbagai generasi yang pernah membesar dengan lagu-lagu Melly. Malam penuh magis itu bermula tepat jam 8.30 malam, diiringi orkestra dan susunan muzik indah arahan Anto Hoed — pasangan seni dan hidup Melly yang setia di sisi sejak awal karier beliau.

Melly memulakan malam dengan lagu ikonik “Ku Bahagia” dalam versi orkestra penuh yang menyentuh hati. Disusuli rentetan lagu-lagu seperti “Ingin Mencintai dan Dicintai”, “Sampai Kumenutup Mata”, “Jika”, “Gantung” dan “Cinta Sejati” — setiap bait lirik dan melodi membawa penonton menyusuri semula lorong-lorong memori yang telah dilalui bersama karya beliau selama lebih dua dekad.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Aina Abdul yang membawa nafas baharu dalam beberapa segmen lagu, serta kemunculan dua ikon filem “Ada Apa Dengan Cinta”, Nicholas Saputra dan Dhinda Ghania. Persembahan istimewa Dinda dengan lagu “Jangan Pernah Berubah” dan “Bunda” menyentuh jiwa, manakala penampilan Nicholas membacakan puisi klasik AADC mengundang sorakan gemuruh.

Segmen medley istimewa yang menggabungkan “Janji Manis”, “Betapa Kucinta Padamu” dan “Isabella” pula menjadi bukti bahawa Melly tidak sekadar meraikan muzik sendiri, tetapi juga memberi penghormatan kepada legenda muzik tanah air seperti Aishah, Dato’ Siti Nurhaliza dan Search.

Menjelang penutup, suasana bertukar menjadi pesta dengan lagu-lagu rancak seperti “Let’s Dance Together”, “Hey Ladies”, “Party Time” dan “I Just Wanna Say” yang membuatkan seluruh Axiata Arena berdansa, sebelum ditamatkan secara simbolik dengan lagu penutup “Demikianlah” — seolah-olah menandakan akhir sebuah perjalanan, namun membuka ruang buat permulaan baharu.

Konsert “Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite” adalah bukti betapa karya Melly Goeslaw telah menjadi sebahagian daripada jiwa dan sejarah muzik serantau. Seperti yang dinyatakan oleh penganjur, Iman Tang dari Icon Entertainment: “Ini bukan malam terakhir, tetapi malam pertama untuk kita semua menggamit semula dua dekad kenangan dan kasih yang abadi.”

Satu malam yang tidak akan dilupakan — bukan sahaja oleh peminat setia, tetapi oleh sejarah muzik Malaysia dan Indonesia yang telah disatukan dalam cinta dan lagu.

Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore

Sukar menidakkan apa yang dimiliki penyanyi bervokal hebat, Aina Abdul.Dalam tempoh sedekad bergelar penyanyi, nyata Aina mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai artis hebat dengan mencapai pelbagai pujian dan pengiktirafan di Malaysia mahupun pentas antarabangsa.Bukan sekadar sensasi jadi ukuran, malah konsert demi konsert dianjurkan bagaikan goreng pisang panas dan sentiasa ‘full house’ dan ‘outstading’.Selepas tiga kejayaan konsert solo di Malaysia, pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani kini terbang ke Kota Singa untuk konsert solo pertamanya.

Bertempat di The Theatre at Mediacorp yang memuatkan 1,800 kapasiti penonton, Aina akan beraksi dalam Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore pada 6 Januari 2024. Konsert anjuran Neptune Presents dan Aina Abdul Entertainment selaku penganjur bersama bakal mencatat satu lagi sejarah kegemilangan buat pelantun lagu Sumpah dan Terus Hidup itu.

Aina bakal mempersembahkan 26 rangkaian lagu hits menerusi konsert berdurasi selama 2 jam 30 minit itu.Lebih hebat, persembahannya akan diiringi 15 pemuzik profesional yang diterbangkan dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew.Aina berkata, dia bersyukur akhirnya impian mengadakan konsert solo di Singapura dimakbulkan.

“Akhirnya, saya akan bertemu empat mata dengan peminat di Singapura. Syukur, impian jadi kenyataan dengan kerjasama bersama Neptune Presents.

“Apa yang boleh saya janjikan, tentunya ia menjadi momen terindah buat saya dan peminat di Kota Singa.

“Perancangan sudah dilakukan sejak tiga bulan. Sudah tentunya ada kejutan yang bakal menanti,” katanya.

Sementara itu, penganjur konsert yang juga aktres terkenal,Nabila Huda berkata, Aina adalah artis tempatan pertama dilamar Neptune Presents untuk konsert solo di seberang tambak.

“Saya dan suami, Mohd Izwan Johar memilih Aina atas permintaan peminat di Singapura.

“Saya percaya Aina sudah layak beraksi di luar negara dengan populariti, kehebatan suara dan imej yang ditampilkan.

“Tentunya banyak kejutan yang bakal dilakukan pada konsert ini nanti.Selain busana diperagakan, Aina juga bakal melakukan kejutan dengan berduet dengan penyanyi undangan, khas buat peminat di Singapura,” katanya.

Nabila berkata, pada awalnya, dia dan Aina mahu meneruskan Konsert A Night With Aina Abdul yang pernah mencipta sejarah di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kami bersetuju menukar nama kepada ‘A Night With Aina Abdul Live In Singapore’ kerana ini adalah konsert solo pertama Aina di Kota Singa.

“Untuk tampil kelainan, Aina akan membawakan beberapa lagu istimewa buat peminatnya,” katanya.

Ujar Nabila, setiap konsert Aina pasti disulami dengan gimik, begitu juga konsert di Singapura.

“Jadi, nantikan persembahan Aina yang penuh bergaya, memukau peminat dan menjadi momen terindah,” katanya.

Tiket konsert boleh diperoleh dengan harga 88SGD sehingga 258SGD menerusi www.ainaabdul.my.

Konsert Ulang Tahun CUCKOO Bersama Duta Jenama, LEE MINHO Dan DATO’ SRI SITI NURHALIZA

Jenama Pencipta Kediaman Sihat (Healthy Home Creator), CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd (CUCKOO International) telah mengumumkan anjuran konsert ulang tahun berjudul Konsert Ulang Tahun CUCKOO Appreci8th yang akan menyaksikan penampilan duta jenamanya, Lee Minho dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza pada 1 Oktober ini di Axiata Arena, Bukit Jalil!

Bukan itu sahaja, konsert ulang tahun CUCKOO ke-8 ini juga akan mementaskan artis terkemuka seperti Aina Abdul, Hael Husaini, DOLLA, Dato’ Jamal Abdillah, Misha Omar, Floor 88, Naqiu, Amelina, Khai Bahar, Kmy Kmo dan Luca Sickta bagi menggegarkan lagi pentas konsert CUCKOO.

“Dalam situasi pandemik yang terkawal ini, kami berasa ini adalah masa yang tepat bagi kami untuk menganjurkan sebuah konsert untuk meraihkan semangat teguh Rakyat Malaysia dalam menentang pandemik. Selain daripada itu, konsert ini juga diadakan bagi memberi penghargaan atas sokongan CUCKOO Family, pelanggan-pelanggan dan peminat-peminat kami selama ini. Tiadanya anda, tiadanya CUCKOO. Dengan itu, konsert ini boleh dikatakan bukan sekadar konsert ulang tahun sahaja, tetapi ia juga merupakan sebuah konsert penghargaan dan merupakan sebuah hadiah dari kami kepada semua. Kami tidak sabar untuk berjumpa dengan anda,” berkata pengasas dan ketua pegawai eksekutif CUCKOO International, En KC Hoe (Hoe Kian Choon).

Tiket Konsert Ulang Tahun CUCKOO Appreci8th boleh didapatkan dengan penyertaan Peraduan  CUCKOO Appreci8th sebelum 14 September 2022 atau dimenangi menerusi peraduan dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh rakan media rasmi konsert – Era, Gegar, Sinar, and Zayan.

Pada awal tahun ini, CUCKOO International telah melantik artis Korea Selatan terkemuka, Lee Minho sebagai duta jenama terbaharunya di samping mengekalkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai dutanya bagi mewakili CUCKOO untuk #SAMASAMA memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.

Maklumat lanjut tentang Konsert Ulang Tahun CUCKOO Appreci8th Anniversary Concert boleh didapatkan menerusi pautan ini: https://www.cuckoo.com.my/appreci8th .