Tag Archives: animasi

Musim ketiga animasi Mac & Ted masih diarah oleh A.R. Badul

A.R. Badul merupakan nama yang sangat sinonim di hati penonton di era 70-an hinggalah 80-an dengan lawak-lawaknya. Beliau yang kini telah berusia 67 tahun masih lagi aktif berlakon.Namun sejak beberapa tahun lepas beliau telah mula berkecimpung menjadi pengarah untuk sebuah kartun animasi Mac & Ted keluaran Makmur Megah Sdn Bhd.

Jika musim pertama dan kedua Mac & Ted ditayangkan di RTM2 namun untuk musim ketiga pihak Makmur Megah Sdn Bhd masih lagi menanti slot tayangan di saluran televisyen. Untuk musim ketiga, pihak Makmur Megah Sdn Bhd menerima geran dari SKMM. Ia mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan musim ketiga yang mengandungi 13 episod.

A.R. Badul bersama Pengarah Urusan Makmur Megah, Dolly Ung

“Saya yang meyemak cerita, skrip serta mengawasi kerja juru animasi untuk musim pertama, kedua dan seterusnya ketiga. Berdasarkan siaran musim pertama dan kedua sebanyak 26 episod di RTM pada tahun 2013, ia menerima reaksi positif maka dengan itu terhasillah musim ketiga Mac & Ted” ujar A.R. Badul,

Beliau sering berbincang dengan penulis skrip mengenai jalan cerita Mac & Ted, ini kerana beliau tidak mempunyai ‘basic’ mengenai cerita angkasa lepas. Selepas musim pertama dan kedua, A.R. Badul kini sudah mula mengorak langkah untuk mengarah filem animasi Mac & Ted pula.

Mac & Ted mengisahkan persahabatan antara budak lelaki bernama Mac bersama rakan-rakan termasuk Hantoo Solo (makhluk asing) dan robot Ted yang jatuh ke bumi. Ia lebih pada hiburan untuk kanak-kanak dan membawa mesej kekeluargaan manakala dalam musim ketiga kali ini, ia membawa mereka ke angkasa.

A.R. Badul

Pihak Makmur Megah Sdn Bhd merancang bakal membawa animasi Mac & Ted ini ke layar perak namun masih di dalam perancangan awal.Mereka berharap agar Mac & Ted musim ketiga bakal ditayangkan di saluran televisyen tidak lama lagi. Pihak Makmur Megah Sdn Bhd juga mengalu-alukan mana-mana penaja yang boleh memberikan dana untuk filem animasi Mac & Ted yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Pelancaran KARTUN STUDIOS

image012

Dengan objektif memperluaskan pasaran diperingkat domestik dan antarabangsa khususnya penerbitan produk-produk animasi 2D dan 3D bagi kanak-kanak; Kumpulan Syarikat KRU mengumumkan penubuhan Kartun Studios Sdn Bhd, anak syarikat ke sebelasnya yang dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi & Multimedia Malaysia.

“Untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan berterusan dan bersepadu sektor Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur adalah amat penting. Oleh yang demikian pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk rebat penerbitan 30% yang ditawarkan oleh FINAS bagi menggalakkan pelaburan penerbitan kandungan tempatan dan antarabangsa, penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi, penyediaan rangkaian televisyen digital menjelang 2015 dan pelbagai insiatif yang lain. Saya gembira melihat usaha Kumpulan Syarikat KRU yang bukan saja mempunyai pelan strategik bagi pemasaran produk-produk terbitan mereka diperingkat tempatan dan antarabangsa melalui penubuhan Kartun Studios, tetapi turut juga melatih anak-anak tempatan sebagai modal insan berkemahiran tinggi di KRU Academy” ujar Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

image005

Menurut Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU; penubuhan Kartun Studios bukan saja bertujuan untuk mengkhususkan inisiatif penjenamaan bagi filem-filem serta kandungan siri animasi terbitannya tetapi adalah strategi korporat dan persediaan awal untuk menarik pelabur diperingkat tempatan dan antarabangsa sekaligus memperkasakan kedudukan Kartun Studios didalam tempoh 3 hingga 5 tahun yang akan datang.

“Produk-produk animasi 2D dan 3D memberi prospek terbaik bagi studio-studio tempatan untuk menjadi pemain global. Contohnya, filem Ribbit (filem animasi pertama terbitan KRU) telah mendapat tempahan lebih 80 buah negara dan telah menerima jemputan untuk ditayangkan sebagai World Premiere di Niagara Integrated Film Festival, Canada pada 21hb Jun 2014. Kartun Studios akan menghasilkan sekurang-kurangnya 3 buah filem animasi, 130 siri animasi 3D dan 130 siri animasi 2D didalam tempoh 5 tahun yang akan datang” ujar Norman.

image009

Kartun Studios juga mensasar menyediakan sejumlah 1,000 peluang pekerjaan baru bagi penerbitan animasi 2D dan 3D menjelang tahun 2020. Kini di KRU Academy, seramai 200 pelajar sedang mengikuti program Diploma Kemahiran Malaysia yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. KRU Academy bakal menerima sekitar 300 pelajar baru didalam tempoh 1 tahun yang akan datang dan menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran yang dinamakan sebagai “Kreatif X Press” di sekolah-sekolah menengah bagi memberi pendedahan kepada murid serta ibubapa tentang peluang-peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan didalam Industri Kreatif.

Untuk maklumat lanjut, sila emel ke hr@kartunstudios.com bagi peluang-peluang pekerjaan di Kartun Studios dan enquiries@kruacademy.edu.my bagi menyertai kursus-kursus peringkat diploma dan sijil di KRU Academy.