Tag Archives: Azhan Rani

‘ANAK RIMAU THE MOVIE’ Angkat Semangat Dan Perjuangan Generasi Baharu Di Malaysia

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memberi sokongan atas usaha penghasilan filem Anak Rimau The Movie yang menjalani penggambaran dalam tempoh mencabar pada era pandemik.

Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, malah, mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak. Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.Ia juga dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memuji pasukan produksi Anak Rimau atas kecekalan menerbitkan filem ini. “Ini satu cabaran hebat bagi pelakon dan kru Anak Rimau The Movie dapat menghabiskan penggambaran filem, meskipun diuji dengan pandemik. “Proses penggambaran filem dijayakan dengan dedikasi dan memiliki sifat kepimpinan tinggi. Aspek ini juga ditanam dalam mesej utama filem Anak Rimau The Movie iaitu memberi inspirasi kepada anak muda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak demi Malaysia,” ujarnya. Beliau hadir pada Malam Gala Filem Anak Rimau The Movie di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem memainkan peranan penting sebagai menjadi medium komunikasi kepada anak muda untuk melakukan perubahan dalam hidup. “Saya percaya filem Anak Rimau The Movie mampu memberi impak, pengaruh dan gaya pemikiran masyarakat. “Tujuan pembikinan filem bukan sahaja memberi semangat kepada anak muda, tetapi bertindak sebagai medium pendidikan, informasi dan hiburan bagi membantu membina asas kukuh untuk transformasi Malaysia,” katanya.

Filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy. Naskhah menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam. Disifatkan satu kisah menyentuh hati yang mengetengahkan nilai kekeluargaan, keputusan sukar, integriti dan persahabatan, majlis pelancaran filem Anak Rimau The Movie turut selari dengan Bulan Kemerdekaan, sekali gus menyuntik semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta kejohanan Piala Dunia 2022 yang akan melabuh tirai, tidak lama lagi.

Anak Rimau The Movie memaparkan kisah sekumpulan anak muda berbakat tinggi dalam dunia bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum ketika menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy). Mereka mengharungi pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baru dalam dunia bola sepak.

Pemain perlu menentang cabaran peribadi dan halangan pasukan, sebelum berfikir mengenai kemenangan. Keazaman dan ketabahan pemain diuji menerusi kerjasama, isu keluarga, halangan hidup dan perlumbaan untuk menjadi yang terbaik demi memenangi Piala Jemputan Bola Sepak Belia ASEAN.

Selain itu, filem ini juga menekankan kebaikan akan sentiasa datang kepada mereka beriman dan berani berpegang kepada kebaikan dalam diri dan orang lain seperti slogan Anak Rimau The Movie –  ‘bola itu bulat’.

Antara tetamu VIP yang hadir untuk memberi sokongan di tayangan perdana filem tersebut termasuk:

  • YAM Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
  • YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • YM Tengku Dato’ Hishamuddin Zaizi bin YAM Tengku Azman Shah Al-haj
  • Encik Syirfan Indra Mitra Suryabin Hussin, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mewakili Professor Dr. Md Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS
  • Datuk Santokh Singh Gurdial Singh PMW DSIS AMN, bekas pemain legenda bola sepak Malaysia
  • Datuk N. Thanabalan A/L Nadarajah, bekas pemain legenda bola sepak Malaysia
  • Dato’ Zainal Abidin Hassan, bekas pemain bola sepak dan jurulatih Penang Football Club Sdn. Bhd
  • Farah Ann, bekas Olimpian gimnastik negara
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA)
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA)

Pencinta bola sepak dan peminat filem kini boleh menonton Anak Rimau The Movie yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada tanggal 1 September 2022 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan serta Kejohanan Piala Dunia 2022. Lagu tema rasmi dan muzik video bagi Anak Rimau The Movie yang bertajuk Pentas Dunia boleh dilayari di YouTube.

Para penonton boleh mendapatkan merchandise eksklusif Anak Rimau yang khas direka oleh Al-Ikhsan Sports menerusi laman web rasmi www.al-ikhsan.com dan www.alsports.com.my bermula dengan harga serendah RM19.90 sehingga RM99.00.

Anak Rimau The Movie dihasilkan dengan kerjasama di antara Cyberlynx International College dan Al-Ikhsan Sports.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman rasmi Instagram: anakrimau.my, #AnakRimau

Anak Rimau The Movie Sarat Dengan Mesej Positif

Sarat mesej positif, filem Anak Rimau The Movie mampu memberi inspirasi kepada ibu bapa menggilap bakat serta potensi golongan anak muda dalam dunia sukan bola sepak.

Bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd mengangkat semangat dan perjuangan generasi baru dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy, filem yang menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan nilai positif membabitkan semangat berpasukan, kegigihan dan sikap tidak berputus asa dalam kalangan generasi muda untuk berjuang mencapai cita-cita.

“Banyak mesej penting yang mahu disampaikan dalam filem ini. Ia juga mengetengahkan elemen perpaduan, semangat nasionalisme, patriotik dan kepelbagaian kaum, sekali gus sesuai untuk tontonan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Namun, kongsinya, bukan mudah menghasilkan filem menampilkan barisan pelakon muda yang tiada asas dalam bidang lakonan.

“Justeru, Keeklr Films mendapatkan khidmat guru lakonan, Fatimah Abu Bakar yang banyak membantu dari aspek emosi, penghayatan watak, menghafal dialog dan sebagainya.

“Selain itu, jurulatih AMD, Osmera Omaro turut menjadi penasihat kepada pelakon muda di lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan prestasi lakonan ditampilkan barisan pemain bola sepak muda AMD termasuk aspek komitmen dan disiplin tinggi diberikan ketika penggambaran filem ini pada 2019,” katanya yang mengetengahkan bakat 11 pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari AMD.

Mengulas penggambaran filem, Fadzil berkata, idea menghasilkan filem tercetus pada April 2018, penggambaran dimulakan tiga bulan kemudian membabitkan lokasi sekitar Pahang. Penggambaran filem arahan Areel Abu Bakar itu selesai pada Ogos 2019.

“Filem Anak Rimau The Movie menjalani penggambaran selama 60 hari di beberapa lokasi menarik seperti Pulau Tioman, Kuantan, Sungai Lembing, Beserah dan AMD.

“Selain cabaran dari segi cuaca panas terik dan hujan, kami terpaksa menggunakan khidmat feri untuk penggambaran di Pulau Tioman.

“Kami juga memiliki lokasi pantai di Beserah. Namun, penggambaran berdepan mencabar apabila perlu mengusung peralatan dalam Hutan Lipur Pandan, Kuantan ketika menjalani penggambaran di Air Terjun Panching.

“Kos membabitkan bajet besar disebabkan menggunakan khidmat lebih 2,000 pelakon tambahan termasuk remaja dan pelajar sekolah, terutama untuk babak dalam stadium.

“Lebih menarik, filem ini tidak menggunakan teknik imej janaan berkomputer (CGI),” katanya.

Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.

Ditanya sasaran filem, Fadzil berharap filem Anak Rimau The Movie boleh menjadi inspirasi kepada golongan anak muda yang mempunyai cita-cita bergelar pemain bola sepak.

“Selain itu, kami juga mengharapkan naskhah ini juga mampu meningkatkan semangat patriotik di kalangan generasi muda, bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Ke-65, selain membantu pembangunan sukan bola sepak tanah air.

“Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini,” katanya.

Selain itu, lagu tema berjudul Pentas Dunia ciptaan Bajai dan lirik oleh Amylea Azizan turut dinyanyikan barisan pelakon seperti Idan, Kechikimi, Hanz Daniel, Wan Omar Daanyal, Joel Law dan Hakeem. Video muziknya sudah dilancarkan menerusi laman YouTube sejak 7 Julai lalu.

Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Drama Dekatkan Jarak Kita capai 9 juta penonton

Drama bersiri ‘Dekatkan Jarak Kita’ yang telah bersiaran selama 15 episod di slot Samarinda terbukti mendapat tempat di hati penonton seluruh negara. Menurut Nielsen Malaysia, Dekatkan Jarak Kita yang membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ayda Jebat, Syafiq Kyle, Wan Sharmila, Nadia Brian, Catriona Ross dan Azhan Rani telah meraih ratings terkumpul sebanyak 9 juta penonton sepanjang drama itu bersiaran.

Selain di hadapan kaca televisyen, drama Dekatkan Jarak Kita juga telah menjadi perbualan hangat di media sosial melalui tanda pagar #DekatkanJarakKita sehingga telah menjadi sohor kini (trending) nombor satu untuk setiap episod. Selain itu, Dekatkan Jarak Kita telah mencatatkan lebih 80,000 tontonan di portal video tonton dalam masa sebulan.

Dekatkan Jarak Kita adalah sebuah drama  bersiri 15 episod bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang yang diterbitkan oleh JS Pictures Sdn. Bhd di bawah arahan saudara Azman Hj. Yahya @ Jinggo. Drama ini mengisahkan sepasang kembar tidak seiras, Tashriq dan Sofea yang tinggal bersama ibu mereka, Umi Khadijah setelah kematian ayah mereka akibat serangan sakit jantung. Tuan Kamil, sahabat lama keluarga itu muncul dalam kehidupan mereka dengan niat untuk membantu Umi Khadijah dalam menjalani kehidupannya. Tidak lama setelah kemunculannya itu, Umi Khadijah dan Tuan Kamil berkahwin. Walau bagaimanapun, Umi Khadijah tidak mengetahui bahawa Tuan Kamil mempunyai agendanya yang tersendiri iaitu untuk merampas harta Umi Khadijah kerana Tuan Kamil sebenarnya telah muflis. Namun, setelah kehilangan Sofea, keluarganya digemparkan apabila Alyssa, yang mirip dengan Sofea kembali untuk menuntut keadilan untuk Sofea dan memperbetul keadaan keluarga itu.

Dekatkan Jarak Kita telah bersiaran pada setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam di TV3 dalam slot Samarinda daripada 21 November 2017 sehingga 25 Disember 2017. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan youtube TV3 iaitu @TV3Malaysia.                                                                                                                                                                   

‘Nasuha’ Cinta Si Gadis Buta

Nasuha 3

Drama Satu Hari lakonan Remy Ishak dan Sara Ali telah pun berakhir pada 28 Januari lalu. Cinta Sabrina dan Isfahan akhirnya bersatu. Sarajevo menjadi saksi cinta mereka dan kini slot Ratu bakal dihiasi dengan drama menyayat hati Nasuha bermula 10 Februari ini. Drama Nasuha ini diarahkan oleh Suhaimi Lua dan diterbitkan oleh Zeel Production Sdn. Bhd.

Nasuha 4Drama Nasuha mengisahkan mengenai gadis manis, Nasuha lakonan Tasha Shilla dibesarkan dalam sebuah keluarga yang daif. Dia dibesarkan oleh kedua ibu-bapa, Salima (Amyza Aznan) dan Nasrun (Azhan Rani). Nasrun merupakan seorang nelayan tetapi membuat keputusan untuk bekerja di darat dengan menjual sayur-sayuran di pasar kerana tidak mahu berjauhan dengan isteri dan anaknya. Nasuha bersahabat baik dengan Zahid lakonan Shah Iskandar. Mereka sangat rapat dan Zahid juga sering membela Nasuha jika dia diejek oleh kanak-kanak yang lain. Zahid juga sanggup mencuri untuk menggembirakan hati Nasuha. Malangnya perbuatan Zahid telah diketahui oleh ayahnya Imran (Roy Azman) lalu bertindak memukul Zahid dan kerana itu juga Nasuha telah dilanggar ketika ingin memulangkan pensel warna yang dicuri Zahid. Nasuha mengalami kecederaan serius di bahagian mata dan membuatkannya tidak lagi dapat melihat.

TV9_NASUHA_POSTER_2Pada mulanya, Nasuha yang masih kecil tidak dapat menerima keadaanya yang buta. Nasrun seringkali mengingatkan Nasuha, bahawa ini adalah ujian dan takdir yang harus dia terima. Malang sekali lagi menimpa, apabila Nasrun telah hilang dilaut dan mayatnya tidak dijumpai. Persahabatan Zahid dan Nasuha masih kekal erat. Semakin dewasa, Zahid mula mencintai Nasuha. Namun, takdir sekali lagi menduga Nasuha, apabila Zahid pula hilang di laut ketika mahu menyelamatkan Nasuha yang tergelincir daripada bot dinaiki mereka. Nasuha bersedih dengan kehilangan Zahid kerana dalam diam dia juga rupanya mencintai Zahid.

nasuha 2Setahun kemudian, muncul pula Irfan (Fattah Amin), anak orang kaya di kawasan perkampungan Nasuha. Irfan tertarik melihat Nasuha tanpa dia ketahui Nasuha sebenarnya buta. Setelah mengetahui kekurangan Nasuha itu, Irfan merasa simpati dan mula jatuh cinta pada Nasuha dan telah menimbulkan kemarahan Marina (Miera Liyana), tunang kepada Irfan. Marina yang sememangnya mahu memiliki Irfan membuat rencana untuk membunuh Nasuha dengan bantuan Zack tanpa diketahui Zack sebenarnya adalah Zahid. Adakah Zack atau Zahid akan membunuh seorang yang paling disayangi dalam hidupnya? Ikuti perjalanan penuh cabaran Nasuha menerusi slot Ratu, pada setiap hari Selasa dan Rabu, jam 8.30 malam di TV9. Untuk maklumat lanjut sila layari www.tv9.com.my dan ikuti juga laman sosial TV9 iaitu facebook/TV9DiHatiku, twitter dan instagram tv9Malaysia.

#KELAKARAMA Tampilkan Diva Dan Anak Ke-5

Kelakarama Trade 02 copy

Satu slot baharu yang dinamakan #Kelakarama bakal menggelikan hati penonton akan ke udara selama satu jam setengah di saluran TV9 bermula 17 Januari 2015 kelak. Slot #Kelakarama bakal memaparkan beberapa genre program baru dengan pengisian program berlandaskan komedi untuk tontonan seisi sekeluarga.

Sebagai pembuka tirai, #Kelakarama akan menampilkan drama sitkom “Anak ke-5” yang bakal menemui penonton mulai 17 Januari 2015. Drama ini mengisahkan Tini, seorang gadis yang membesar di Indonesia terkejut apabila mengetahui yang dirinya merupakan anak angkat yang diculik dari sebuah keluarga di Malaysia 22 tahun dahulu. Ingin merubah nasibnya, Tini nekad meninggalkan Indonesia dan terbang ke Malaysia untuk mencari keluarga kandungnya. Namun kedatangan Tini telah merubah keadaan keluarga kandungnya. Dibesarkan dengan latarbelakang yang berbeza, Tini bukan sahaja sukar untuk menyesuaikan diri malah menjadikan keluarga kandungnya porak-peranda. Pelbagai aksi lucu terjadi ketika Tini cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan dan juga keluarga barunya itu.

Program Anak ke-5 ini dibintangi oleh Chacha Maembong, Riz Amin, Liza Abdullah, Linda Hashim, Janna Nick, Mustaqim Bahadom, Alvina dan Adam Shah.

Program Diva pula, dibintangi oleh Sherry Al Hadad dan Zulin Aziz akan bersiaran selama sejam. Dengan konsep berlatarkan seakan sebuah program wawancara, namun Diva bukanlah program wawancara seperti kebiasaannya. Diva menampilkan barisan artis tanah air yang akan ditemuramah oleh kedua pelawak wanita kita mengenai pelbagai isu dan topik yang tidak disangka. Kenali artis kesayangan ramai dengan cara berbeza dan ikuti keseronokan permainan dan persembahan artis jemputan setiap episod.

Antara artis yang akan dijemput sebagai tetamu undangan dalam Program Diva ini seperti Amyra Rosli, Amar Baharin, Izzue Islam, Imran Ajmain, Izreen Azminda, Akim Ahmad, Abam Bocey, Aril, Sharifah Shahirah, Radhi OAG, Azhan Rani dan ramai lagi.

Kelakarama Trade 02

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Program TV3 dan TV9, Cik Sherina Nordin, “#Kelakarama ini adalah sebuah slot santai khas untuk ditonton oleh seisi keluarga di hujung minggu. Kami percaya bahawa setiap ibu bapa berasa letih setelah seminggu bekerja, jadi kami beri mereka masa untuk berehat pada hari sabtu untuk bergelak ketawa bersama keluarga dengan #Kelakarama. Lebih-lebih lagi, slot #kelakarama ini mempunyai pelbagai genre pilihan dimana yang pasti bakal mejadi sekadar hiburan keluarga sahaja.” Ujarnya lagi.

“Drama Sitkom Anak ke-5 pula sebuah Dramedi yang sangat lucu. Gaya watak Tini untuk menyesuaikan diri dengan budaya Melayu Malaysia memang lucu. Selain dia perlu biasakan diri dengan bahasa Malaysia. Namun, dramedi ini tiada kena mengena dengan mana-mana individu yang masih hidup atau yang telah tiada. Ini cuma sekadar hiburan keluarga sahaja.” Ujarnya lagi.

“Kami juga ingin menjemput semua pengguna media sosial di Malaysia andai kata mereka mempunyai sebarang gambar atau video yang lucu yang boleh dikongsikan selapisan masyarakat seperti jenaka lucu, teka teki, mahu pun pantun yang kelakar” tambahnya lagi. Ini bermakna segala jenis muat naik yang mengandungi elemen program dalam slot ini dapat di cari di laman sosial dibawah hashtag #Kelakarama dan boleh dikongsi bersama.

Jangan lepaskan peluang untuk meringankan tahap stress anda bersama slot #Kelakarama setiap malam sabtu bermula 17 Januari 2015 pada jam 8.30 malam. Program Drama Sitkom Anak Ke-5 akan keudara pada jam 8.30 malam, diikuti dengan Program Diva akan mula bersiaran pada jam 9.00 malam hingga 10.00 malam setiap hari Sabtu bermula 17 Januari hingga 4 April 2015. “Sekiranya ia kelakar, ia pastinya di #Kelakarama.