Tag Archives: Azmil Mentor Legend

Uyaina Dinobat sebagai Nona Manis 2015

Uyaina Dinobat sebagai Nona Manis 2015 | Pencarian Nona Manis, segmen istimewa dalam program majalah wanita terbitan TV3, Nona bertujuan mencari satu ikon generasi muda masa kini telahpun melabuhkan tirainya pada hari Ahad yang lepas. Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, Pencarian Nona Manis Akhir telah mengumumkan Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang Undang dari Universiti Malaya sebagai Nona Manis 2015 sekaligus membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai RM 15,000 dan hadiah-hadiah lumayan.

Debaran lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir menanti keputusan
Debaran lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir menanti keputusan

Setelah tujuh minggu mengharungi pelbagai cabaran yang menguji kebolehan mereka dalam dunia penyiaran, keusahawanan dan program khidmat masyarakat, hanya lima finalis sahaja yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Siti Maryam Binti Hussin (Maryam), Nurul Arifah Binti Abdul Rashid (Yuyu), Nur Shaqira Edora Binti Ghaffar (Edora), Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), dan Balqish Banu Binti Mohd Hussni (Balqish).

Balqish, Edora, Maryam, Uyaina dan Yuyu perlu mempersembahkan tugasan akhir mereka dengan topik-topik yang dipilih. Selepas itu, mereka perlu berhadapan dengan sesi soal jawab secara langsung yang dikendalikan oleh panel juri profesional di pentas akhir. Antara topik yang dipersembahkan oleh kelima-lima finalis Nona Manis ialah Kesan Kaunseling Dalam Memperbaiki Hubungan Suami Isteri (Balqish), Generasi Tunduk (Edora), Barah Payudara (Yuyu), Perkosaan Dalam Rumah Tangga (Uyaina) dan Kecantikan Dari Kacamata Lelaki (Maryam).

Lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir dalam sesi soal jawab bersama panel juri profesional

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 & TV9, “Pencarian Nona Manis berjaya mencapai objektifnya dengan menyediakan platform untuk mengasah bakat baharu gadis-gadis muda ini. Penglibatan mereka selama tiga bulan ini pasti dapat memberi pendedahan dan pengalaman yang berharga kepada para finalis kami terutama mereka yang tidak mempunyai asas dalam bidang penyiaran. Kami berharap agar mereka dapat menggunakan ilmu yang diperoleh dan juga kemahiran baharu ini untuk mencapai cita-cita mereka nanti.”

“Selain itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penaja kami iaitu Blossom Box Store dan Aidijuma yang sudi menaja hadiah lumayan kepada barisan pemenang selain menaja pakaian dan tudung ketika 10 peserta menjalankan tugasan sepanjang program ini,” tambah Sherina lagi.

Uyaina
Uyaina

Siaran langsung Pencarian Nona Manis Akhir ini telah dihoskan oleh tiga wanita anggun iaitu Fouziah Gous, Fara Fauzana dan Dayah Bakar. Majlis tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian hebat daripada Altimet, Azmil Mentor Legend dan Hafiz Suip.

Pemenang Nona Manis 2015 ini telah dinilai oleh lima juri profesional yang diketuai oleh Hajah Nurfarahin Jamsari, Pengurus, Pengurusan Imej Media Prima Berhad dan disertai oleh Haliza Hashim, koresponden TV3 di London; Jovian Mandagie, pereka fesyen terunggul Malaysia; Mahani Awang, Pengerusi Persatuan Pereka Bumiputera serta Fahrin Ahmad, pelakon popular tanahair.

Edora
Edora

Pencarian Nona Manis ini ditaja oleh Blossom Box Store dan Aidijuma. Uyaina yang dinobatkan sebagai Nona Manis 2015 telah menerima hadiah daripada Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad. Hadiah yang diterima adalah berupa trofi, hadiah wang tunai RM15,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM15,000 daripada Habib.

Edora sebagai naib juara pula menerima hadiah wang tunai RM10,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM10,000 daripada Habib.

Maryam
Maryam

Manakala pemenang ketiga iaitu Maryam menerima hadiah wang tunai RM5,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM5,000 daripada Habib. Sementara itu, pemenang sagu hati iaitu Yuyu dan Balqish juga turut menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan barangan kemas bernilai RM2,000 daripada Habib.

Sepuluh peserta yang terpilih ialah Siti Maryam Binti Hussin (Maryam), Nurul Nabila Humaira Binti Kamaruzaman (Maira), Nurul Arifah Binti Abdul Rashid (Yuyu), Nur Syadanar Binti Mohd. Zahari (Syadanar), Nur Shaqira Edora Binti Ghaffar (Edora), Nur Rafiza Binti Abdul Talib (Jaja), Nor Azween Binti Mohd Noor (Aween), Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), Fatihin Husna Binti Bahrom (Fatihin), dan Balqish Banu Binti Mohd Hussni (Balqish). Hanya lima finalis terbaik yang berentap di Pencarian Nona Manis Akhir yang telah berlangsung pada 2 Ogos 2015 iaitu Maryam, Yuyu, Edora, Uyaina dan Balqish.

RM300,000 Dan PROTON IRIZ Milik AZMIL Dan DAYANG NURFAIZAH Dalam MENTOR Legend

DEX_5514Program realiti nombor satu negara telah melabuhkan tirainya buat kali terakhir dengan penobatan mentor Dayang Nurfaizah dan protégé Azmil sebagai Juara Mentor Legend. Mereka merupakan pasangan yang berjaya membawa pulang wang tunai RM 300,000 dan dua buah Proton Iriz 1.6 Premium CVT serta Trofi Mentor Legend. Pasangan mentor Ella dan protégé Aina pula meraih tempat kedua dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 200,000 serta Trofi. Manakala, pasangan Amy Search dan Sarah mendapat tempat ketiga dan membawa pulang RM100,000 serta Trofi.

Konsert Akhir Mentor Legend malam tadi masih mengekalkan juri profesional mingguan, saudara Azmeer dan Adlin Aman Ramli. Cuma, Mentor Legend menampilkan Chakra Khan sebagai juri jemputan menggantikan Datuk Ramli MS. Turut menjadi panel juri selaku juri awam adalah Falisha Crossley, Amaris, Zarul Umbrella, Arora Salwa, Nonnie dan ramai lagi.

DEX_4924

Menurut penerbit eksekutif Mentor Legend, Encik Sufian Isa, “Mentor Legend berjaya melabuhkan tirainya malam ini dengan jayanya. Selama 13 minggu, Alhamdulillah Mentor Legend telah berjalan dengan lancar dan disambut baik oleh penonton setia TV3. Mengenai persembahan protégé kita malam ini pula, mereka telah membuat persembahan yang paling hebat selama mereka berada dalam program ini. Pada saya, mereka semua adalah juara. Oleh itu, mereka semua berhak merakamkan sebuah ‘single’ dengan peruntukan yang telah disediakan oleh pihak produksi Mentor Legend ini. Dengan cara ini, bakat mereka tidak akan disia-siakan.

DEX_5046Berikut adalah senarai lagu yang telah dipersembahkan oleh ketiga-tiga protégé Mentor Legend, malam semalam.

Persembahan duet bersama Mentor ketiga-tiga protégé telah menampilkan lagu-lagu hebat seperti:

  • Sarah : Medley Isabella & Pawana
  • Azmil : Medley Aku Jatuh Cinta & Menceceh
  • Aina : Layar Impian

Selesai pusingan pertama itu, mereka telah mempersembahkan persembahan solo mereka dengan lagu-lagu seperti:

  • Sarah : Medley Dangerously In Love & Tanpa Kekasihku
  • Azmil : Menanti Sebuah Jawapan
  • Aina : Medley Menghitung Hari & Mencintaimu

Pertaruhan terakhir mereka telah berduet bersama artis jemputan dengan lagu-lagu seperti:

  • Sarah & Atilia : Medley Ikut Rentakku & Mercy
  • Azmil & Mimi O.N.E : Naluri Lelaki
  • Aina & Mila Jirin : Fallin’

Menerusi kesemua persembahan mereka itu, markah yang berjaya diperoleh mereka adalah seperti berikut:

PROTEGE JURI AWAM JURI TETAP SMS JUMLAH
SARAH 17 37 7 61
AZMIL 20 50 16 86
AINA 17 44 7 68

Berdasarkan jadual diatas, Azmil telah dinobatkan gelaran juara secara sebulat suara oleh ketiga-tiga kategori juri Mentor Legend. Azmil telah memberikan persembahan sebaik habis dalam ketiga-tiga persembahannya, terutamanya dalam persembahan solonya dengan lagu ‘Menanti Sebuah Jawapan’ yang dikatakan mencuri perhatian juri jemputan Mentor Legend, Chakra Khan.

DEX_4995

Menurut Chakra Khan selaku juri jemputan Konsert Akhir Mentor Legend, “Suara kami serupa, saya dan Azmil. Ianya satu anugerah dari Allah S.W.T dan saya amat gemar ketika Azmil menyanyikan Chorus lagu Menanti Sebuah Jawapan, kerana suaranya dan mesej lagu itu seiring dan saling melengkapi.”

Persembahan akhir para protégé pada malam itu diakhiri dengan sebuah lagu bonus. Di bawah bimbingan penasihat persembahan, Sazlan dan garapan tunjuk ajar penasihat vokal, Azmeer, tirai Konsert Akhir Mentor Legend malam tadi ditutup dengan persembahan lagu medley ‘Senyum & Malam ini Kita Punya’ nyanyian asal Aziz Harun dan Bunkface.

DEX_5448Program Mentor Legend yang mengandungi 13 episod ini diterajui oleh penerbit eksekutif Muhamad Sufian Isa dan dibantu oleh Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) selaku penerbit. Kali ini, Mentor Legend menampilkan Awal Ashaari sebagai pengacara program, Shiha Mentor sebagai pengacara Jurnal Mentor Legend. Selain itu, Michelle Wee akan bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas menggantikan Zuan Bikin Panas. Musim ini turut mempersembahkan Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik, Azmeer sebagai Penasihat Vokal, dan Sazlan Mat Adnan sebagai Penasihat Persembahan.

Program Mentor Legend ini pasti tidak akan berjaya tanpa penaja bersama Mentor Legend iaitu One City, Proton, dan K-Colly. Para protégé Mentor Legend ini telah menginap selama 13 minggu dan penginapan mereka ditaja sepenuhnya oleh One City, USJ 25. Hadiah Utama Mentor Legend pula, Proton telah menyumbangkan dua buah Proton Iriz 1.6 Premium CVT sebagai hadiah untuk Protégé dan Mentor bergelar Juara selain mendapat wang tunai RM300,000 dan Trofi dari pihak penganjur. Manakala kedua-dua protege dan Mentor naib juara telah membawa pulang wang tunai RM200,000 serta Trofi. Tempat ketiga pula, mentor dan protege telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 serta trofi.

DEX_5486

Pihak produksi Mentor Legend dan TV3 mengucapkan jutaan terima kasih untuk segala bentuk sokongan yang telah diberikan oleh penyokong setia TV3 serta pihak penaja. Namun Mentor Legend 2014 tidakk akan terhenti begitu sahaja, sebarang perkembangan protege Mentor Legend akan di muat naik dalam laman Facebook rasmi Mentor Legend (www.facebook.com/mentorlegend). Untuk menonton siaran ulangan setiap program Mentor Legend, boleh didapati melalui portal video Tonton (www.tonton.com.my).

*Kredit Photo – TV3 Malaysia