Tag Archives: Berita Hiburan

ERIKA FOO PERKENAL SINGLE POP BAHARU ‘HIDUPKAN MIMPI-MIMPI’

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2025 — Suria Records Sdn Bhd memperkenalkan artis baharu, Erika Foo, gadis 19 tahun berbangsa Cina dengan single sulungnya ‘Hidupkan Mimpi-Mimpi’.

Bakat Erika diasah sejak kecil bersama Koir Permata Seni, malah beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan seni di dalam dan luar negara. Namanya melonjak selepas menamatkan ‘The Chosen One’ musim pertama di tempat keempat.

Erika Foo Hidupkan Mimpi-Mimpi single pop baharu Suria Records
Single Pop Erika Foo Hidupkan Mimpi-Mimpi

Menerusi Ujibakat Terbuka anjuran SRC, Erika kini bergelar artis Suria Records dan melancarkan single pop ‘Hidupkan Mimpi-Mimpi’ hasil ciptaan Zik, Nabilah dan Erika sendiri. Lagu ini berkisahkan janji setia seorang teman yang ingin kekal bersama orang tersayang — sesuai dengan jiwa dan usia muda Erika.

Dapatkan single ‘Hidupkan Mimpi-Mimpi’ di semua platform digital seperti iTunes, Apple Music, Deezer, YouTube Music dan Spotify. Dengarkan juga di radio tempatan kegemaran anda!

HAIZA RAIKAN 30 TAHUN DALAM INDUSTRI, LANCAR DAG DIG DUG 3.0 VERSI BAHARU

Angka 30 tahun bukan satu tempoh yang singkat buat Haiza, penyanyi versatil tanah air yang kekal relevan sejak muncul dengan album sulung Dag Dig Dug… Mana Tahan pada tahun 1995. Kini, sebagai simbolik tiga dekad bertahan dalam industri hiburan Malaysia, Haiza melancarkan Dag Dig Dug 3.0 dengan susunan muzik lebih segar dan moden.

Haiza meraikan 30 tahun kerjaya seni

Rakaman semula ini dihasilkan di Bandung, Indonesia dengan kolaborasi bersama Dedi Abdul Kadir Nughra, Diki Suwarjiki (arranger) dan Ari Yujeng (mixing & mastering). Menariknya, versi baharu ini menggabungkan elemen koplo moden namun masih mengekalkan identiti dangdut yang sinonim dengan Haiza.

Haiza meraikan 30 tahun kerjaya seni

Menurut Haiza, idea merakam semula lagu popularnya tercetus daripada permintaan peminat dan rakan-rakan industri yang mahu mendengar versi vokal lebih matang seiring dengan perjalanan seninya.

“Saya bersyukur dapat meraikan tiga dekad dalam bidang seni. Dag Dig Dug 3.0 ini hadiah istimewa buat semua yang sentiasa menyokong saya sejak awal,” kata Haiza ketika majlis pelancaran di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands.

Haiza meraikan 30 tahun kerjaya seni

Sambutan ulang tahun ke-30 Haiza turut dimeriahkan dengan tayangan dokumentari khas bertajuk 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza yang boleh ditonton di YouTube Kool 101 mulai 21 Jun. Beberapa rakan strategik seperti Geo Resort & Hotel, Peterana Chenta, Alpha Sound & Light, FKZ Picture, NR Cosmetic, Adabi, Pop Meals, Super Coffee, By Qiss Bawal Exclusive Kuantan, Jaja Ishak Channel, dan NMR Sports turut bersama-sama menjayakan projek istimewa ini.

Haiza meraikan 30 tahun kerjaya seni

Untuk rekod, Dag Dig Dug 3.0 boleh dinikmati di semua platform digital bermula 20 Jun manakala video muzik rasmi ditayangkan menerusi YouTube Indigital Music.

TENTANG HAIZA

Dilahirkan di Benut, Pontian, Haiza memulakan kerjaya seni seawal usia 15 tahun melalui pertandingan Bintang Remaja RTM / Utusan pada 1993/1994. Meskipun tidak bergelar juara, bakatnya terus bersinar dengan pelbagai album, lakonan filem & drama, menjadi pengacara rancangan hiburan popular dan kini penyampai radio Kool 101.