Tag Archives: Bumiputra Rockers

Konsert Silaturahim BPR Di G Tower Mac Ini

Kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) yang dianggotai Joey, 56, selaku vokalis, Awang, 55, (gitar), Yem Bai, 53, (bass) dan Enal, 58, (dram), bakal beraksi dalam Konsert Silaturahim Bumi Putra Rockers di Kuala Lumpur pada 10 Mac nanti.

Konsert anjuran Koperasi Silaturahim Selangor Berhad (KOSIL) itu diadakan bagi mengumpul dana yang akan didermakan kepada ahli koperasi yang dianggotai bekas pelajar Sekolah Alam Shah (SAS), Kuala Lumpur antara tahun 1985-1989.

Konsert Silaturahim Bumi Putra Rockers diadakan sempena ulang tahun ke-35 mereka dalam industri muzik tanah air. Bagaimanapun tempat Harun sebagai pemain gitar kini diambil alih oleh anggota wanita iaitu Helda, 28, yang pernah bersama kumpulan Butterfly.

Melungsuri kumpulan yang cukup popular dengan lagu-lagu malar segar seperti Selamat Pagi Malaysia, Aku Hanya Serangga, Bisa, Harum Subur Di Hati, Dari Sinar Mata dan sebagainya yang telah menjangkau 35 tahun usia penubuhannya.

Bumiputra Rockers telah berjaya merakamkan 6 buah album iaitu Selamat Pagi Malaysia, Bisa, Kelab Jiwa Luka, Silaturahim, BPR 97 dan Semangat Melayu.

Meskipun kemunculan mereka ketika era millennium 2000 tidak begitu mendapat tempat di hati peminat, namun bukanlah alasan yang kukuh untuk setiap anggota BPR menyatakan noktah kepada bidang seni.  Ada di antara mereka yang bekerja di belakang tabir semata-mata kerana cintanya mereka kepada muzik.

Bumiputra Rockers tidak pernah berkubur sebenarnya itulah antara yang pernah dikatakan oleh Awang BPR sebelum ini . Kemunculan mereka di industri hiburan pun bagaikan tidak dirasai pada waktu ini.

Anggota kumpulan BPR juga pernah menganggotai beberapa kumpulan lain antara kumpulan yang pernah mereka sertai adalah  Titanic, Hurricane, Purple Grass dan Split Times, kumpulan ini diilhamkan oleh Ramli Sarip dan diurus oleh Wan Redzmann, seorang pelumba kereta terkenal dan bekas pengurus kumpulan Sweet Charity.

Inilah apa yang cuba dibuktikan oleh mereka apabila Bumiputra Rockers bakal membuat persembahan di 11LA (The House), G Tower, Jalan Tun Razak pada 10 Mac  nanti bermula jam 9 malam. Ia adalah sebagai tanda silaturrahim antara peminat dan BPR.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan istimewa ini boleh mendapatkan tiket yang berharga RM100 . Tiket boleh diperolehi dari House @G Tower atau layari www.bprticket.tk

Bumiputra Rockers Buktikan Mereka Tetap Unggul

Selepas ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1985 kumpulan Bumiputra Rockers atau lebih sinonim dengan BPR akhirnya merayakan ulangtahun penubuhan 30 tahun mereka di Hard Rock Café Melaka pada 28 Oktober yang lalu.  BPR yang terdiri daripada Joey sebagai penyanyi, Awang pemain gitar juga merupakan seorang komposer lagu dan penerbit album. Mali sebagai keyboard atau gitar II, Yem Bai sebagai bass dan Enal sebagai drummer berjaya membuktikan bahawa mereka masih punya peminat apabila lebih 700 penonton membanjiri Hard Rock Café Melaka.

Seawal jam 3.00 petang lagi peminat sudah mula membanjiri lokasi persembahan yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang di anjurkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.  Antara aktiviti yang di anjurkan adalah seperti Kempen Pencegahan Jenayah, Pameran Dadah, Persembahan Kawad Kaki dan lain-lain lagi.

Bumiputra Rockers tampil di atas pentas sekitar jam 4.30 petang dengan mempersembahan lagu pertama yang berjudul Barah Berbisa.  Lagu yang dipetik daripada album “Bisa” ini ternyata memikat ratusan rockers untuk memenuhi ruang di hadapan pentas.

“Terima kasih kerana sudi hadir ke persembahan berbayar kami, kami sungguh terharu dan menghargai sokongan anda semua yang tidak jemu-jemu mendengar lagu-lagu kami”, ujar Joey selaku vokalis utama.

BPR kemudiannya tampil dengan lagu kedua, 1511 yang di beri nafas yang lebih segar dengan susunan muzik yang lebih padat bersesuaian dengan citarasa pendengar masakini.  Setelah melangkau masa BPR kemudiannya membawa peminat melatari melodi serta lirik yang berkisar tentang ketuhanan melalui lagu Maghrib.

Peminat seakan tersentak apabila lagu Aku Hanya Serangga dipersembahkan.  Lagu yang dipetik daripada album “Bisa” ini turut membawa ratusan peminat melontarkan vokal mereka sekaligus merubah lokasi persembahan menjadi bingit seketika.  Rata-rata peminat yang hadir pada hari itu  sudah berkeluarga membuktikan bahawa mereka adalah peminat setia BPR sekaligus adalah pencinta muzik rock sejati.

Persembahan kemudiannya di hentikan seketika bagi memberi ruang kepada acara cabutan bertuah yang turut di senaraikan bagi menyambut ulangtahun BPR ke 30 tahun.  BPR kemudiannya menyampaikan lagu yang berjudul Sudah Sampai di Sini yang dipetik dari album “Kelab Jiwa Luka”.  Mereka mendendangkannya  dalam versi akustik

“Saya merasa bersyukur kerana muzik rock kini telah diterima umum walaupun satu ketika dahulu masyarakat mengecam peminat mahupun pemuzik yang minat muzik rock.  Asal mereka tengok rockers jer mulalah di kaitkan dengan elemen negatif”, ujar Joey menceritakan pengalaman beliau kepada hadirin.

Lagu Sillaturrahim kemudiannya diperdengarkan kepada hadirin. Turut kelihatan beberapa rakan artis yang hadir memberi sokongan kepada showcase 30 tahun BPR di HRC Melaka adalah Datuk Ramli Sarip, Bagio Damasutra dan Din FOR.

“Selama 30 tahun kewujudan BPR Datuk Ramli Sarip adalah individu yang bertanggungjawab membawa BPR ke persada seni hiburan tanahair. Malah nama BPR diilhamkan oleh beliau,” ujar Joey lagi.

BPR kemudiannya telah berkolaborasi dengan Datuk Ramli Sarip melalui lagu Kamalia. Pentas kemudiannya diserahkan kembali kepada BPR, lantas mengalunkan lagu Harum Subur Dihati dan Bersyukurlah yang dipetik daripada album “Selamat Pagi Malaysia”.

Setelah berehat selama 20 minit BPR kembali beraksi di atas pentas dengan mempersembahkan lagu Selamat Pagi Malaysia, lagu dipetik daripada album pertama yang telah diriliskan pada tahun 1987. Tanpa lagu Dari Sinar Mata mungkin showcase BPR tidak akan berseri, sekali lagi seluruh lokasi persembahan bergema dengan lontaran vokal peminat yang turut sama bernyanyi. Sebuah lagu yang berentak fast, Pudar Seri Primadona kembali mengembalikan energi peminat.  BPR sekali lagi mangajak peminat bernyanyi bersama melalui lagu Air Mata Jernih, Dajal dan Pontianak Gua Musang.

Demi meredakan situasi yang agak tegang dengan lagu lagu yang berentak laju, mereka kemudiannya mendendangkan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin.  Sekali lagi atmosfera di Hard Rock Café Melaka bergema dengan lontaran vokal di kalangan peminat.  Sebuah lagu saduran daripada kumpulan Deep Purple yang berjudul Smoke On The Water turut dipersembahkan oleh kumpulan Bumiputra Rockers.

Lagu Yakjud dan Makjud menjadi penutup showcase 30 tahun ulangtahun penubuhan kumpulan Bumiputra Rockers yang di lihat masih mampu mengundang peminat untuk hadir ke konsert-konsert berbayar.

*Kredit photo Azlan Yaacob