Tag Archives: Daniella Sya

Kemunculan Semula Nasha Aziz Di Layar Perak, Dengan Gandingan Mantap Azira Shafinaz, Zul Ariffin Dalam ‘Talbis Iblis’

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Kabir Bhatia kembali dengan sentuhan terbaru menerusi filem genre seram Talbis Iblis, terbitan oleh gabungan penerbit hebat tanah air, Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment bermula 20 Oktober ini di seluruh pawagam Malaysia. Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek  di Far East Film Festival  Ke-24 di Udine, Itali pada April lalu. Selain itu, filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.

‘Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang di buat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini. Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia. Seorang bidan, Mak Ju telah menjaga Hajar sebelum dan selepas bersalin, namun hakikatnya mempunyai agenda tersendiri.

Hari ini berlangsungnya Sidang Media Filem Talbis Iblis bagi melancarkan treler, poster dan memperkenalkan barisan pelakon secara rasmi. Setiap adegan babak telah dijayakan oleh para pelakon hebat tempatan seperti Azira Shafinaz, Nasha Aziz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah. Ini juga merupakan kemunculan semula di layar perak oleh pelakon popular dan pemenang Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke 17 menerusi filem seram thriller saspens, Trauma (2004) iaitu Nasha Aziz.

Menurut Penerbit Eksekutif Filem & Wakil Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, “Filem Talbis Iblis mempunyai kekuatan tersendiri dengan menggabungkan semua aspek seperti pengarah yang hebat, pelakon yang cemerlang dan cerita yang berbeza. Seperti umum tahu, penonton tempatan sering dihidangkan dengan pelbagai filem seram dari barat, termasuklah dari negara Thailand, Indonesia dan Jepun. Jadi kami sebagai penerbit ingin mempersembahkan sesuatu yang unik dengan mengangkat budaya serta kepercayaan Melayu, termasuklah isu sosial yang amat dekat dengan masyarakat kita, di samping menonjolkan adegan serta makhluk seram ke dalam filem khusus buat peminat naskhah seram di luar sana.”

Penerbit Eksekutif & Wakil Jazzy Pictures (M) Sdn Bhd, Joanne Goh menyatakan, “Penglibatan Jazzy Pictures (M) dalam filem Talbis Iblis selaku penerbit merupakan satu pengalaman baik buat kami kerana berpeluang bekerjasama dengan tenaga kreatif, para pelakon serta kru produksi yang hebat. Tambah mengujakan filem ini telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa sebelum tayangan rasminya di Malaysia. Justeru, kami harap ia mampu menjadi pemangkin buat karya-karya tempatan lain untuk dipamerkan kepada dunia. Kami juga menjanjikan filem ini mampu memberi kepuasan kepada penonton semasa menontonnya di layar perak kelak.”

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad mengulas tentang kerjasama menghasilkan filem ini, ia memberi ruang buat Astro Shaw untuk mengukuhkan lagi hubungan baik dengan penerbit-penerbit tempatan dengan bergabung idea untuk menghasilkan sebuah karya yang mantap. “Industri filem tempatan dilihat dalam prestasi dan momentum positif sekarang ini. Kehadiran Talbis Iblis pada Oktober hadapan adalah masa yang tepat untuk memeriahkan lagi pawagam dengan menawarkan genre berbeza berbanding filem-filem yang sedia ada di layar perak sekarang kepada penonton. Menariknya, Talbis Iblis membawakan subjek cerita yang amat dekat dengan penonton Malaysia serta diarahkan oleh pengarah cukup berkaliber yang sentiasa berjaya menyentuh perasaan penontonnya menerusi sentuhan magisnya. Jadi, nantikan kehadiran filem ini yang mampu memberikan nilai tontonan berbeza kepada penonton.”

A Next Star Production Sdn Bhd, Megan Fong berkata, “Kami rasa amat teruja filem Talbis Iblis kini bersedia untuk temui penonton tidak lama lagi. Meskipun proses pos produksi filem ini dilakukan ketika dalam fasa pandemik Covid-19, namun ia berjaya disempurnakan. Ia membuktikan gabungan usaha sama bakat-bakat kreatif tempatan mampu menghasilkan sebuah karya terbaik untuk industri filem Malaysia.”

General Manager of MM2 Entertainment, Cik Angelin Ong berkata “Menerusi filem seram Talbis Iblis, penonton Malaysia dapat menyaksikan sebuah lagi filem yang mampu menyentuh perasaan dengan elemen seram, drama, berdebar, sedih dan banyak lagi. Kami rasa berbesar hati berpeluang bekerjasama sekali lagi dengan pasukan yang jayakan filem Sangkar dan Kabir Bhatia.”

OST bagi filem Talbis Iblis bertajuk ‘Harapan Penyambung Mimpi’ nyanyian Indah Ruhaila, hasil lirik oleh Habsah Hassan dan komposer Heidi Moru dan Lo Shi Seng.

Nantikan filem seram Talbis Iblis di pawagam seluruh tanah air bermula 20 Oktober depan. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

‘DO[S]A’ Kolaborasi Mega Di Antara MALAYSIA Dengan INDONESIA

Peneraju kumpulan kandungan dan konsumer di Malaysia, Astro Malaysia bakal menampilkan sebuah mini siri Nusantara premium eksklusif bertajuk DO[S]A di platform digital, ‘on demand’ seiring dengan tayangan di televisyen menerusi salah satu saluran Melayu Astro; Astro Citra. Mini siri yang dijangka akan menemui penonton pada hujung tahun ini telah memulakan sesi penggambarannya pada bulan Julai baru-baru ini di Jakarta, Indonesia serta Kuala Lumpur, Malaysia. Salah satu kelainan mini siri ini adalah ia menawarkan penonton untuk menyaksikan kesemua 8 episod (berdurasi satu jam bagi setiap episod) di platfom ‘on demand’ secara waktu serentak (binge watching).

DO[S]A merupakan karya asal Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo, yang turut bertindak sebagai penulis skrip untuk naskhah ini. Salman, satu nama yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah panggung seperti ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Pencapaian terkini Salman adalah di Festival Filem Indonesia 2016 yang mana beliau telah dinobatkan anugerah Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem ‘Athirah’. Turut sama terlibat sebagai penulis skrip untuk karya ini adalah saudara M Rino Sarjono.

Istimewanya lagi, mini siri ini turut mendapat sentuhan daripada pengarah terbaik Indonesia 2011 iaitu Ifa Isfansyah. Ifa Isfansyah yang merupakan seorang sutradara yang begitu begitu berbakat besar dan amat dihormati di republik ini, mula menempa nama menerusi pengarahan filem-filem hebat seperti Sang Penari’, ‘Garuda Di Dadaku’ dan Pendekar Tongkat Emas’.

Selain itu, mini siri ini akan menggunakan khidmat Pengarah Fotografi terkenal, Yandi Sugandi yang sebelum ini telah melahirkan stail visual yang cukup memukau untuk karya-karya seperti ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Sang Penari’, ‘Darah Garuda’ dan banyak lagi. Pada masa yang sama, DO[S]A turut menampilkan Cecep Arif Rahman sebagai Pengarah Koreografi adegan aksi untuk melatih dan mempersiapkan para pelakon dengan disiplin silat dan koreografi seni mempertahankan diri. Cecep sebelum ini dikenali menerusi filem Indonesia ‘The Raid: Berandal’. Menerusi pengalaman dan kekuatan yang dimiliki oleh setiap pemain utama di belakang tabir DO[S]A ini, mereka menjanjikan akan memberi kelainan pada mini siri bergenre aksi ini.

DO[S]A juga dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan tiga buah negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menggerakkan setiap watak dalam jalan cerita. Nama-nama yang terlibat adalah seperti Dato’ M.Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia, serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.

Dianggarkan sebanyak 90 peratus dari sesi penggambaran bakal dijalankan di Jakarta, melibatkan kawasan di sekitar Jakarta Barat hingga Jakarta Timur dan selebihnya adalah di lokasi-lokasi utama di sekitar Kuala Lumpur seperti Kampung Baru, Putrajaya dan Klang. Mini siri DO[S]A dijangka sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas. Namun begitu, pada masa yang sama turut diapit dengan pergolakan emosi, ikatan kekeluargaan serta bibit percintaan.

DO[S]A mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M.Nasir), dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu. Rungutan mereka, terutama daripada Fara yang semakin memberontak langsung tidak diendahkan oleh bapa mereka. Rutin harian yang memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar gelanggang.

Perhubungan keluarga ini semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta. Menjanjikan bahawa Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan ‘orang-orang seperti Arian’.

Berang dengan tindakan Fuad, Fara bertindak mengekori Arian ke Jakarta, tanpa mengetahui bahaya yang menanti dirinya di situ. Sebaik sahaja Fara keluar daripada pintu ketibaan di lapangan terbang Jakarta, dia terus diculik, dihumban ke dalam van, lalu dikurung di dalam sebuah gudang.

Tidak mengetahui nasib adik mereka, Fuad, Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa adik mereka pulang. Di sana, ketiga-tiga beradik itu sering mendapati diri mereka diserang tanpa sebab yang pasti, sekaligus memaksa mereka untuk mempertahankan diri di dalam pertempuran-pertempuran yang ganas. Arian yang baru mendengar mengenai berita penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang-abang Fara. Semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya. Sebelum mereka sedari, mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap Jakarta. Hanya mereka yang mampu mengakhirkan perang ini, walau sebesar mana pengorbanan yang diperlukan.

*Semua video diatas dirakam dengan Canon EOS #5DMIV

Perintis Polis Wanita Dalam Mata-Mata

Daniella Sya sebagai Tan Siew Lan, Nadiah M Din sebagai Hani Rahmat dan Cheryl Wee sebagai Elizabeth Tan

Rancangan apresiasi khas buat wanita diteruskan oleh stesen Saluran Ceria Anda, ntv7. Sebelum ini saluran itu menerbitkan dokumentari khas mengenai lima wanita berkredibiliti di dalam Bella Hopes. Malah laporan istimewa tentang peranan wanita dalam pasukan polis juga diselitkan di dalam rancangan temu bual popularnya, Bella sempena Hari Polis ke 207. Sinonim dengan stesen yang mengangkat martabat golongan wanita, maka tidak hairanlah jika ntv7 mendedikasikan sebuah lagi rancangan buat golongan itu dalam drama bersiri khas Singapura, Mata-Mata yang mengisahkan pasukan pegawai polis wanita pertama yang ditubuhkan ketika pasca perang pada tahun 1950an – 1960an di Singapura yang juga dipanggil sebagai mata-mata.

Mata-Mata diinspirasikan daripada kisah kehidupan seorang Assistant Superintendent wanita dalam pasukan pada tahun 1961, Mary Quintal nee Voon. Kisah menarik ini diterajui oleh tiga watak utamanya yang dibawa oleh pelakon yang berbakat Elizabeth Lee (lakonan Cheryl Wee), Hani Rahmat (lakonan Nadiah M Din), Tan Siew Lan (lakonan Daniella Sya) selain bergandingan dengan Lim Seng Hock (lakonan Daren Tan), Henry Ridley (lakonan Jason Godfrey) dan Yoke Lien (lakonan Aileen Tan). Mata-Mata telah pun bersiaran pada 31 Mac 2014, setiap hari Isnin jam 8.30 malam.

Bagi gadis berusia 26 tahun, Cheryl Wee, Mata-Mata merupakan ruang terbaik dalam menyerlahkan bakat lakonannya walaupun sebelum ini dikenali menerusi pertandingan ratu cantik (Pemenang Miss Singapore Universe 2009 dan naib johan Miss Chinese International Pageant 2012) selain kerjaya nyanyiannya  menerusi album sulungnya, ‘One Fine Day’ yang diterbitkan pada tahun 2012. Cheryl amat bersungguh-sungguh dalam mendapatkan watak sebagai ‘Elizabeth Tan’ kerana pernah ditolak dalam ujibakat sebelum ini dan gembira kerana berjaya ditawarkan peranan tersebut.

Manakala pelakon dan model kelahiran Malaysia, Daniella Sya pula bersedia memainkan watak sebagai seorang pegawai yang tangkas kerana pernah mempelajari ilmu silat gayung sebelum ini. Malah dia juga pernah membawakan watak gadis feminin dan watak yang memerlukan dia beraksi lasak ketika di Malaysia. Apabila dia ditawarkan watak ‘Siew Lan’, dia amat teruja kerana dia dapat melihat watak sebgai gabungan kedua-dua perwatakan yang sering beliau lakonkan.

Nadiah M Din pula memang tidak asing dalam pengalaman bidang lakonan malah pernah memainkan pelbagai watak dari watak serius mahupun kepada watak lucu. Gadis berusia 23 tahun ini juga pernah memainkan watak sebagai pelakon sampingan menerusi drama bersiri The Kitchen Musical yang pernah disiarkan di ntv7 suatu ketika dahulu. Pada mulanya dia kurang yakin bahawa uji bakatnya sebagai ‘Hani Rahmat’ berjaya namun bakatnya berjaya membuat Nadiah terpilih. Di antara produksi yang pernah melibatkan nadiah adalah seperti Anak Metropolitan (2012), Balik Sekolah (2012), Step Puteri (2011) di mana siri yang diterbitkan di Singapura ini semuanya di dalam Bahasa Inggeris.

Chup Pueh Gang. Richard Low as Kuay Pek (middle) - resized

Penggambaran untuk Mata-Mata kebanyakannnya adalah di Batam di mana siri ini mengisahkan tiga pegawai polis wanita yang baru menyertai pasukan itu dilayan secara berasingan di mana mereka hanya lebih kepada diberikan tugasan pejabat.

Drama ini bermula dengan watak Elizabeth Lee, gadis berusia 19 tahun yang baru sahaja menamatkan Cambridge O’ Levels yang kemudiannya dipaksa ibunya, Yoke Lien untuk membuat keputusan sama ada untuk bekerja atau terus berkahwin. Memang menjadi kebiasaan gadis era itu berkahwin dalam usia muda namun Elizabeth, gadis yang sukakan cabaran memilih untuk menyertai pasukan polis. Turut sama menyertai keputusannya itu adalah dua rakan wanitanya, Tan Siew Lan dan Hani Rahmat yang bertekad untuk berjaya di dalam lapangan itu walaupun tidak mendapat sokongan keluarga.

Namun, setelah berjaya menempatkan diri di dalam pasukan tersebut, mereka kecewa kerana mereka diberikan tugasan dalam menyediakan kertas kerja dan tugasan pejabat berbanding menyelsaikan masalah jenayah di kawasan mereka. Namun di sebalik kekecewaan itu mereka berazam untuk mendapatkan kepercayaan pihak atasan bahawa mereka juga bersedia untuk berhadapan dengan cabaran fizikal dalam mengendalikan tugasan di lapangan. Walaubagaimanapun, semuanya tidak semudah yang disangkakan. Elizabeth yang bersifat vokal dan idealistik menyebabkan perbalahan dalaman di antara pasukannya manakala Siew Lan pula mengalami konflik apabila salah seorang ahli keluarganya mula terlibat dengan sekumpulan geng jahat.

Erwin Syah Ismail as Insp Sadeeq and Jason Godfrey as Henry Ridley (resized)

Drama ini pastinya bakal memperlihatkan usaha pihak polis pada era itu dalam membendung jenayah. Antara kes yang bakal mereka tangani adalah maslah yang diwujudkan oleh dua buah kumpulan jenayah yang bergeseran iaitu kumpulan Ang Huay dan The Red Butterfly. Malah rusuhan juga terjadi apabila seorang kanak-kanak wanita yang dibesarkan keluarga Melayu diarahkan untuk kembali kepada ahli keluarga kandungnya yang sebenar. Elizabeth dengan pantas sentiasa cuba menyelesaikan setiap kes dan usahanya itu mula dilihat dan mendapat perhatian oleh pegawai atasan. Manakala Hani masih tersekat dengan tugasan pejabat dan mula memikirkan cabaran sebenar sebagai pegawai polis.

Konflik percintaan juga tidak lari daripada drama ini apabila salah seorang geng Ang Huay, Seng Hock jatuh cinta pada Elizabeth namun kerana perbezaan dunia dan latar belakang, mereka saling menyembunyikan perasaan.

Kisah hidup Siew Lan pula jauh berbeza sebelum menyertai pasukan itu. Siew Lan yang hidup bersama adik lelakinya mula menghadapi pelbagai kesukaran hidup selepas kematian ayahnya. Lebih memburukkan apabila kerana janjinya untuk berkahwin dengan rakan ayahnya menyebabkan dia lebih sengsara kerana penderaan fizikal dan mental suaminya. Ternyata andaian mendiang ayahnya berbeza kerana walaupun berkahwin dengan pemilik restoran yang disangkakan mampu membawa kebahagiaan.

Siew Lan semakin terseksa apabila sebagai isteri ketiga, di dihalau keluar oleh madu-madunya selepas kematian suami. Namun kekecewaan itu menyebabkan dia lebih bersemangat dalam meneruskan hidupnya. Peluang menyertai pasukan polis tidak akan dipersiakan Siew Lan untuk kebaikan adik dan dirinya.

Sementara itu kerjaya Elizabeth semakin berkembang manakal Hani pula bergolak dalam membuktikan kepada ayahnya bahawa dia mampu menjadi pegawai polis yang berkredibiliti tinggi. Tetapi prestasi hani jika dibandingkan dengan Elizabeth jauh berbeza. Walupun bersahabat baik sejak dari dulu lagi, hubungan persahabatan mereka semakin teruji. Apatah lagi apabila Elizabeth ditawarkan untuk mengikuti latihan di akademi Polis London walaupun tawaran itu pada mulanya diberikan kepada Hani. Adakah pergeseran diantara dua orang sahabat ini bakal terlerai. Adakah tiga orang polis wanita ini berjaya menjadi pegawai polis yang disegani?

Saksikan siri yang padat dengan aksi serta cabaran pasukan polis wanita di Singapura dalam Mata-Mata di Saluran Ceria Anda, ntv7 setiap hari Isnin jam 8.30 malam. Mata-Mata mula bersiaran sejak 31 Mac 2014.

Maklumat lanjut layari www.ntv7.com.my dan www.tonton.com.my