Tag Archives: Dato’ Eizlan Yusof

Slot Samarinda TV3 – DHIA SOFEA

Slot Samarinda TV3 – DHIA SOFEA | Kepulangan Dhia Sofea disambut dengan majlis hari jadinya yang diaturkan oleh ibunya, Mak Yam. Dhia tidak sangka kejutan hadiah hari jadi yang diberikan oleh Mak Yam bakal mengubah hidupnya. Apakah dugaan yang bakal menghujani Dhia?

Menyusuli “Bukan Isteri Sempurna”, nantikan drama bersiri “Dhia Sofea” terbitan Rashbir Media Sdn Bhd lakonan Amyra Rosli, Fadlan Hazim, Syafiq Kyle, Sharifah Haslinda, Maria Farida, Dato’ Eizlan Yusof, Roy Azman, Raja Ema, Norlia Ghani dan Sasqia bermula 14 Oktober 2015, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam menerusi slot Samarinda TV3.

DhiaSofea(11)

Drama bersiri 15 episod arahan Rashid Sibir mengisahkan Dhia Sofea (Amyra Rosli) mula mencari siapakah ibu dan bapa kandungnya selepas mendapat tahu dia hanyalah anak angkat kepada Mak Yam (Norlia Ghani). 23 tahun yang lepas, Dhia diserahkan oleh pasangan muda yang tidak dikenali oleh Mak Yam. Wanita itu berkelubung dan tidak kelihatan wajahnya. Lelaki itu pula memberi RM500 kepada Mak Yam untuk menjaga bayi itu dan mereka berdua tidak pernah kembali selepas itu.

Mak Yam membesarkan Dhia seperti anak kandungnya. Din (Syafiq Kyle), seorang anak yatim paitu juga menumpang kasih Mak Yam. Din menyimpan perasaan terhadap Dhia tetapi dia tidak meluahkan isi hatinya apabila Dhia pulang ke kampung bersama teman lelakinya, JJ (Fadlan Hazim).

DhiaSofea(13)

Dhia hanya mempunyai seutas rantai berhuruf M yang dipakai sewaktu bayi dijadikan sebagai bukti sehinggalah dia terjumpa sekeping gambar lama di rumah JJ ketika hadir ke parti hari jadinya. Dhia terkejut apabila JJ memberitahunya bahawa wanita itu ialah ibunya, Lorena (Maria Farida).

Dhia meminta izin daripada Mak Yam untuk tinggal di rumah makciknya, Cik Non (Raja Ema) di Kuala Lumpur. Dhia mencari alasan untuk mendekati Lorena. Apabila Dhia mendapat peluang untuk bertanya Lorena tentang loket rantai itu, Lorena tidak mengaku. Dhia mula putus asa tetapi JJ memujuknya dan berjanji akan menolongnya. Dhia terharu dan terus mencari bukti-bukti.

DhiaSofea(8)

Lorena mula resah dan dia telah berjumpa dengan kawan baiknya, Dolly (Sharifah Haslinda). Lorena juga tidak mahu kerjaya suaminya, Mahadi (Dato’ Eizlan Yusof) tercalar. Dolly mula merancang sesuatu untuk menghapuskan Dhia supaya rahsia tersebut tidak terbongkar. Berjayakah Dhia menemui siapakah ibu bapa kandungnya? Apakah rahsia yang disimpan oleh Lorena dan Dolly? Saksikan kesudahannya menerusi slot Samarinda pada setiap hari Rabu dan Khamis pukul 10.00 malam di TV3.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

ISTIKHARAH CINTA

IC - 3

Mahligai perkahwinan yang dibina berdasarkan cinta akhirnya musnah jua hanya selepas setahun usia perkahwinan mereka. Beranggapan bahawa jodoh mereka tidak panjang, Airil redha dan tabah meneruskan hidup walaupun berat untuk dia menerimanya. Lain pula dengan Aiza yang menyalahkan Airil sebagai punca dirinya keguguran.

Drama terbitan Orangetree Production yang mempunyai 28 episod ini bakal menggantikan drama Bila Hati Berbicara yang melabuhkan tirainya pada 22 Disember ini. Gandingan pelakon hebat, Zul Ariffin sebagai Airil dan pelakon baharu Faye Kusairi sebagai Dina pastinya akan memberi impak yang tersendiri menerusi drama ini. Drama ini turut dibarisi oleh para pelakon lain seperti, Nonny Nadhirah (Aiza), Syazwan Zulkifli (Hanafis), Nizen Ayob (Dr.Rizal), Lia Natalia (Alisya), Falisha Crossley (Juliza), Azizul Ammar (Taufiq), Dato Eizlan Yusof (Dato Aziz) dan Zarina Zainuddin (Datin Amnah).

Airil yang yang tidak menyangka akan bertemu dengan Dina, perkenalan yang terjadi di sebuah restoran itu telah membawa satu perubahan besar dalam hidup mereka berdua. Semuanya kerana mereka terpaksa berkongsi meja. Pertemuan yang bermula dengan kebetulan bakal mengubah takdir mereka bersama. Pertemuan mereka kali kedua di Langkawi tatkala Dina mengakhiri hubungannya dengan Hanafis. Berkongsi kisah suka duka merapatkan lagi hubungan Airil dan Dina.

HM_ad_FA

Hanafis terpaksa memutuskan hubungannya bersama Dina kerana dipaksa berkahwin dengan wanita pilihan keluarganya. Jauh di sudut hatinya Hanafis tidak dapat melupakan Dina. Kisah cinta itu bakal membawa lebih cinta tiga segi apabila Juliza, rakan sekerja Airil dalam diam menaruh perasaan kepada Airil.

Dalam masa yang sama, bekas isteri Airil, Aiza sudah pun memulakan hidup baru bersama suaminya Dr. Rizal. Keputusannya untuk memulakan kehidupan baru dan bahagia bersama suami barunya ternyata meleset. Aiza sering sahaja membeza-bezakan antara Airil dan juga Dr. Rizal lantas rumah tangga Aiza mula bergolak. Aiza mula sedar, bekas suaminya ternyata lebih baik dan berhasrat mencari Airil kembali.

Hubungan Airil dan Dina semakin akrab dan bermula lah kisah cinta mereka. Airil berharap memperisterikan Dina. Namun Airil tidak pernah berterus-terang dengan statusnya sebagai seorang duda. Apakah yang akan terjadi apabila Dina mengetahui perkara yang sebenar? Adakah dia mudah menerima hakikat tersebut?

Hanafis yang masih menyimpan perasaan terhadap Dina juga ingin memenangi hati Dina kembali. Airil pula mulai rimas dengan Aiza yang mencari dan mengganggunya kerana kini dia hanya mencintai Dina. Cukupkah kasih sayang dan cinta mereka untuk saling mempercayai kesetiaan mereka masing-masing? Ikuti kesudahan drama bersiri hebat, Istikharah Cinta bermula 23 Disember ini setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam menerusi slot Akasia hanya di TV3.

ASTRO PRIMA Pertaruh Perempuan Dalam Pasungan

PDP STILL08

Istimewa bulan ini, Astro dengan berbesar hati ingin mengajak para penonton untuk menyelami kisah cinta agung di antara Fariena dan Farid menerusi drama bersiri terbaru berjudul Perempuan Dalam Pasungan. Kisah cinta abadi penuh iktibar, moral dan pengajaran ini boleh ditonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 5.00 petang secara eksklusif di Astro Prima (saluran 105) & Maya HD (saluran 135).

Kisah cinta 28 episod terbitan produksi Darkwave Pictures yang meruntun jiwa dengan takdir dan ketentuan ilahi ini diarahkan oleh pelakon, penulis skrip dan kini bergelar pengarah Zul Huzaimy Marzuki. Konsep penceritaan pula diilhamkan oleh Dato’ Rafiena Ezanee Ramli dan Haida Mazni selaku penulis skrip.

Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan ini turut menampilkan gabungan barisan pelakon baru dan lama dan diterajui oleh pelakon terkenal. Dato’ Eizlan Yusof yang memegang watak sebagai Farid, Dato’ Rafiena Ezanee sebagai Fariena dan Zul Huzaimy sebagai Kamarulzaman. Turut menjayakan drama ini ialah , Dato’ Jalaludin Hassan, Lia Natalia, Rahim Jailani, Rosnah Mat aris, Shah Iskandar, Faradhiya, Safura, Mubarak Majid, Kismah Johar, Aida Khalida dan Dian P.Ramlee. Penyanyi Shae yang berasal dari Indonesia dan popular dengan lagu Sayang juga terlibat sebagai artis undangan dalam drama bersiri ini.

PDP STILL02

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima; Encik Namanzee Harris berkata, “Sebagai sebuah saluran keluarga yang menghiburkan, matlamat utama Astro Prima ialah untuk memastikan para penonton disajikan dengan pelbagai kisah dan genre drama yang pelbagai bagi memberi variasi kepada penonton-penonton kami.

Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan ini dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha kami dalam terus menarik perhatian ramai penonton terutamanya daripada golongan berkeluarga.

Kami melihat drama bersiri seperti Perempuan Dalam Pasungan ini dapat memberi pengajaran bahawa kita harus tabah dalam mengharungi apa sahaja dugaan dan takdir yang telah ditentukan.

Bukan itu sahaja, plot-plot cerita yang akan memperkenalkan beberapa watak antagonis di dalam drama bersiri ini secara berperingkat juga akan pasti membuat para penonton tidak mahu melepaskan walau satu episod pun.”

PDP STILL01

Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan ini mengisahkan tentang perjalanan hidup Fariena (lakonan Dato’ Rafiena Ezanee) yang dipasung dalam ‘takdir’ hidupnya sendiri. Percintaan yang terjalin sejak dari bangku sekolah dengan Kamarulzaman (lakonan Zul Huzaimy) ditentang keras oleh papa (lakonan Dato’ Jalaludin Hassan) dan mama (lakonan Aida Khalida) Fariena kerana mereka berbeza darjat. Papa Fariena memperkenalkan Farid yang akhirnya berjaya membuat Fariena jatuh cinta pada Farid (Dato’ Eizlan Yusof).

Farah (lakonan Faradhiya) yang merupakan kawan baik kepada Fariena pula terlalu cintakan Alex (lakonan Roy Azman). Manakala Alex pula menaruh hati pada Fariena, tetapi Fariena menolak cinta Alex.Farid pula dipaksa berkahwin dengan anak orang gaji oleh ayahnya. Mama Farid menentang keras namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia terlalu inginkan Fariena menjadi menantunya. Farid terima Alisya (lakonan Lia Natalia) sebagai isterinya kerana terpaksa.

PDP STILL09

Cinta yang dipasung oleh takdir menjadi semakin rumit bila Fariena nekad balik ke Kuala Lumpur dari Amsterdam dan menuntut kembali janji Farid. Farid dalam masa yang sama sudah mula sayangkan Alisya dan anak mereka Adelia. Farah yang rasa bersalah dengan apa yang berlaku cuba menyatukan kembali cinta Farid dan Fariena.

Apakah kesudahan perjalanan hidup Fariena? Adakah dia berjaya mendapat cinta sejati yang dicari selama ini, atau kembali pada Farid, cinta yang terlalu diagung-agungkan selama ini.  Apakah yang tejadi pada Kamarulzaman, bekas kekasih Fariena yang masih manaruh harapan yang tinggi pada Fariena?

Untuk mengetahui jawapannya, saksikan drama Perempuan Dalam Pasungan ini yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 5.00 petang di Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD(135)