Tag Archives: Datuk Eizlan Yusof

Slot Akasia ‘Bukan Cinta Aku’

Janna Nick pilih Baim Wong? Bukankah Baim dah beristeri? Sampai hati pula Janna menolak cinta Syafiq Kyle, jejaka yang sedang hangat di pasaran ini. Memang betul Janna pilih Baim Wong tetapi hanyalah di dalam drama terbaharu 20 episod yang menggandingkan mereka bertiga di slot Akasia iaitu Bukan Cinta Aku mulai 5 Jun ini. Selain Janna Nick, Baim Wong dan Syafiq Kyle, drama ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Mimi Lana, Daler Yusuf, Datuk Eizlan Yusof, Datin Seri Maria Farida, Marisa Yasmin, Eyka Farhana, Dini Schatzmann dan ramai lagi.

Drama terbitan Rumah Karya Citra arahan Ejump Mohd ini mengisahkan Rania (Janna Nick), baru sahaja selesai pengajiannya dan kembali ke pangkuan keluarganya yang menetap di Florence, Itali. Rania telah jatuh cinta dengan Arjuna (Baim Wong), pemandu keluarganya. Kesungguhan Arjuna yang sering memberi kata-kata nasihat membuatkan Rania jatuh hati pada Arjuna. Walaupun pada awalnya, Arjuna tidak berani untuk membalas cinta Rania kerana dia sudah banyak terhutang budi dengan keluarga Rania. Namun perasaan cinta itu tidak mampu dinafikannya dan mereka cuba menyembunyikan percintaan mereka supaya tidak diketahui oleh ibu bapa Rania.

Suatu hari, Rania sekeluarga perlu pulang ke Malaysia kerana perniagaan bapanya mengalami masalah di sana. Arjuna juga dibawa pulang kerana ibu Rania merasakan Arjuna sudah banyak berjasa dan menjaga Rania sepanjang mereka di Itali. Berita itu menggembirakan Rania kerana dia tidak akan terpisah dengan Arjuna. Ibu bapa Rania sudah ada rancangan lain untuk Rania. Mereka ingin menjodohkan Rania dengan Tengku Isma (Syafiq Kyle), anak kenalan mereka. Setelah mengetahui rancangan ibu bapanya untuk menjodohkannya dengan Tengku Isma, Rania membuat keputusan untuk bertemu Tengku Isma. Rania lega apabila Tengku Isma mengatakan bahawa dia juga tidak sukakan keputusan keluarganya kerana dia sudah punya kekasih.

Rania membuat perjanjian dengan Tengku Isma supaya mereka mengikut sahaja kehendak keluarga buat sementara waktu tetapi tiada komitmen antara mereka. Mereka boleh meneruskan hubungan dengan pasangan masing-masing dan Tengku Isma bersetuju. Malangnya, perhubungan antara Rania dan Arjuna akhirnya diketahui oleh ibu bapa Rania. Mereka kecewa kerana Rania mengkhianati kepercayaan mereka.

Rania telah dikurung dan Arjuna hilang entah ke mana kerana dihalau oleh ibu bapa Rania. Pernikahan antara Rania dan Tengku Isma dipercepatkan. Walaupun sudah bernikah, Rania tidak mengizinkan Tengku Isma untuk menyentuhnya. Tengku Isma tetap melayani Rania dengan baik, memenuhi segala permintaan Rania tetapi dia tidak mampu membuatkan Rania untuk menerimanya.

Masihkah ada peluang buat Tengku Isma untuk memiliki cinta Rania? Jangan lupa ikuti perjalanan cinta penuh liku di antara Rania, Arjuna dan Tengku Isma ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan juga portal video tonton! Ikuti laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda!

PENCURI HATI MR CINDERELLA kini di Astro First.

Walaupun berdepan dengan kritikan segelintir netizen, filem PENCURI HATI MR CINDERELLA (PHMC) lakonan Ahmad Idham, Atikah Suhaime, Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish, Hairul Azreen dan ramai lagi mula bersiaran di saluran Astro First, sejak semalam.
Ahmad Idham berkata, tayangan filem PHMC di saluran itu kerana adanya permintaan daripada peminat filem itu dan saluran berkenaan. Tambahan pula, maklum balas sangat positif yang diterima daripada penonton dan media tempatan yang menontonnya sebelum ini, menjadikan tarikh penayangan PHMC di saluran Astro First dipercepatkan daripada tarikh sebenar.
“Saya mendapat maklum balas bahawa ada permintaan daripada ramai peminat yang mahukan PHMC ditayangkan di Astro First kerana tidak berkesempatan menontonnya di pawagam baru lalu.
“Rata-rata yang belum menonton mendakwa kurangnya lokasi dan waktu tayangan di pawagam tempatan membuatkan mereka terlepas untuk menontonnya sebelum ini,” kata Ahmad Idham lagi.
Pada tayangan PHMC bermula 10 Ogos lalu, filem itu hanya ditayangkan di 33 buah panggung di seluruh negara, lantas beberapa lokasi utama yang dipercayai mampu menarik perhatian penonton tempatan tidak dapat liputan meluas.
Pengarah dan penerbit Aifa Motion Sdn Bhd itu berharap dengan adanya peluang tayangan di kaca TV, netizen yang belum pernah menonton dapat menonton dan menilai sendiri jalan cerita filem itu.
Ahmad Idham juga terbuka untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan sesiapa sahaja termasuk pengkritik di laman sosial untuk berdiskusi secara sihat.
“Saya juga mahu mendapatkan maklum balas daripada mereka. Kalau ada perkara boleh diperbetulkan dan dipelajari dari mereka, saya sedia menerimanya,” kata Ahmad Idham.
PENCURI HATI MR CINDERELLA mengisahkan Salman yang pulang ke Malaysia dari Perth Australia selepas tiga tahun menghilangkan diri selepas penceraiannya dengan Nurul.
Dia juga kembali ke Kuala Lumpur selama seminggu bagi membantu rakan kongsi lamanya Johari mendapatkan satu projek besar di Perth, Australia.
Dalam tempoh itu, Salman bertemu dengan Ameera, seorang GRO yang bekerja di sebuah pusat karaoke dan berjaya mencuri hatinya. Ameera, seorang gadis lincah yang cukup menarik tapi terlalu ambil mudah perihal kehidupannya. Segalanya adalah duit mudah dan hiburan sehingga kan dia sering di tegur rakan serumahnya Atika supaya berubah.
Walaupun mengetahui Ameera ialah seorang GRO, Salman cuba mendekatinya dengan menjadikan Ameera teman berbual yang dibayar.
Tiga hari mereka bersama, Ameera mula jatuh cinta pada Salman. Walaupun umur Salman jauh berbeza dari Ameera tapi hakikatnya, Salman telah berjaya membuka mata Ameera pada dunia kejayaan yang sebenar.
Ameera membuat keputusan untuk berhenti kerja. Satu keputusan yang amat mengembirakan Atika, rakan serumahnya. Malangnya pada malam Ameera hendak menamatkan kerjayanya sebagai GRO, dia diperkosa oleh Izz Faizal anak Johari , sahabat baik Salman.
Dilema muncul untuk Ameera pilih siapakan yang akan menjadi lelaki di dalam hidup barunya. Semua akan terjawab di pengakhiran Filem PENCURI HATI MR CINDERELLA.

Drama M.A.I.D Gandingkan Ayda Jebat Dengan Zul Ariffin

Drama adaptasi karya Suri Ryana ini mendapat sentuhan pengarah Michael Ang dan akan bersiaran bermula malam ini bermula jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (123).

Selain Ayda Jebat dan Zul Ariffin M.A.I.D turut dibarisi pelakon-pelakon berbakat seperti Hefny Sahad, Nina AF2014, Tasha Shila, Redza Rosli, Datuk Eizlan Yusof dan ramai lagi.

Sinopsis M.A.I.D
Pengembaraan Noorul (Ayda Jebat) ke alam yang serba baru bermula semenjak menjadi pembantu rumah di penthouse mewah seorang lelaki kacak bernama Harris Tan Sri Hamdan (Zul Ariffin), yang cerewetnya mengalahkan nenek kebayan. Oleh kerana sifatnya yang cerewet itu, Noorul menggelar Harris sebagai Mr. F. Kenapa F, bukan G atau H? Kerana F itu adalah untuk ‘fussy’ atau di dalam bahasa Melayunya cerewet! Semua yang Noorul lakukan sentiasa mengundang tengkingan dan jelingan tajam Mr. F.

Daripada berbalas-balas nota berkaitan dengan kerja pada awalnya, entah bagaimana mereka boleh makan semeja. Semakin lama Noorul mengenali Mr. F semakin banyak pula sebab yang dia temui untuk mencintai lelaki itu.

Fitnah yang melanda menyebabkan Noorul dan Mr. F terpaksa dinikahkan. Gusarnya hati, Allah sahaja yang tahu kerana dia tidak pasti sama ada Mr. F boleh menerimanya sebagai isteri atau tidak. Noorul mula berteka-teki sendiri tentang siapa dalang di dalam penyebaran fitnah ini. Adakah angkara Asyraf, yang sememangnya berdendam dengan Noorul? Atau pun, musuh perniagaan Tan Sri Hamdan? Mampukah Noorul dan Mr. F melayari bahtera rumah tangga bersama? Bagaimana pula dengan Elisa yang sememangnya cintakan Mr. F? Apa pula yang akan terjadi apabila Nurina, bekas kekasih Mr. F pulang ke Malaysia untuk menagih kembali cinta daripada lelaki itu? Haikal pula, dapatkah menerima Noorul, orang yang dicintainya sebagai kakak ipar?