Tag Archives: DATUK JAMAL ABDILLAH

Datuk Jamal Abdillah Dan Liza Hanim Raikan Malam Amal Tabung Pahlawan 2024

Iktikad untuk terus menjadi sebuah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) melalui Yayasan Veteran ATM yang sentiasa ada menghulur bantuan buat para wira dan wirawati negara sesuai slogan yang dipegang selama ini, Memperkasa Veteran Tanggungjawab Bersama, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM kembali dengan acara tahunan mereka.

Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 yang mengangkat tema Meraikan Bintang, Metamorfosis Hadapan sekali lagi akan menjadi medan buat jasa, pengorbanan dan bakti para veteran ATM yang pernah menjaga keamanan serta kemakmuran negara diraikan.

Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang bakal diadakan pada 24 September 2024 di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM bermula pukul 8 sehingga 10.30 malam.

Objektif Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 masih sama seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya iaitu menyalur serta menyampaikan sumbangan kepada yang layak serta diraikan dalam suasana hangat apabila penyanyi jemputan menghiburkan tetamu yang dihormati.

Majlis Makan Malam Amal ini turut disulami dengan Pelancaran Kad Veteran Digital yang akan dirasmikan oleh YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, selaras dengan era transformasi digital dan kesedaran mengenai kepentingan pembudayaan pendigitalan dalam memacu ke arah organisasi berprestasi tinggi, JHEV ATM berhasrat untuk melaksanakan transformasi kad veteran ATM manual (kad plastik) kepada Kad Veteran Digital dengan pelbagai fungsi yang memberikan kebaikan dan faedah kepada keseluruhan warga veteran ATM.

Inisiatif ini masih dalam proses pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan kepada para veteran ATM pada pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) pada 24 September 2024. Kad veteran digital akan dipaparkan dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.

“JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM sangat berbesar hati kerana sekali lagi dapat melaksanakan penganjuran tahunan kami iaitu Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang.

“Majlis ini bertujuan bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan dan menghargai pengorbanan serta bakti para Veteran ATM tetapi akan menjadi medan merapatkan silaturahim semua wira dan wirawati yang pernah berjuang mempertahankan negara dan mencapai keamanan yang kita nikmati sekarang.

“Semua sumbangan yang diperoleh akan diagihkan kepada veteran ATM yang memerlukan sekaligus membantu mereka berjuang meneruskan kelangsungan hidup,” kata Mejar Jeneral Dato’ Zambery Jefry bin Haji Darus, Ketua Pengarah JHEV.

Bersama sumbangan yang akan disalurkan, pihak JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM juga menyuntik suasana makan malam dengan sedikit hiburan demi meraikan sekitar 700 tetamu yang diundang.

Dua bintang tersohor negara iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim bakal menghiburkan dan menyantuni para veteran ATM dengan alunan merdu vokal mereka.

Jamal menyifatkan penglibatan melakukan persembahan pada majlis makan malam amal ini sebagai penghormatan buat para veteran ATM dan wira serta wirawati yang bergadai nyawa menjaga kedaulatan negara.

Liza Hanim pula terharu kerana bakal menghiburkan tetamu yang begitu istimewa bukan buat dirinya tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tentu saja saya dengan senang hati bersetuju untuk melakukan persembahan Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024.

“Mereka adalah bintang yang tidak akan pernah terpadam sinarnya kerana jasa, bakti serta pengorbanan yang diberikan kepada negara juga tidak akan terpadam.

“Untuk itu saya sangat berbesar hati menghiburkan para veteran ATM yang akan menghadiri majlis makan malam ini nanti.

“Harapan saya juga agar pihak penganjur meneruskan inisiatif serta usaha murni ini demi menjaga dan prihatin terhadap kelangsungan hidup para pejuang negara ini,” ujar Liza Hanim.

Sepanjang penubuhan, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM aktif mengumpul dana untuk tabung kecemasan bagi menyantuni para pejuang yang memerlukan yang mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan dalam keadaan tertentu.

Antara initiatif Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan adalah melalui surat-surat yang dihantar kepada syarikat dan rakan strategik, program-program Kempen Tabung Pahlawan, tabung yang diletakan di beberapa BHPetrol dan Jabatan/Kementerian dan juga sumbangan atas talian serta beberapa initiatif lain.

Untuk Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 yang bakal berlangsung pada 24 September 2024 ini, sebanyak tiga jenis kategori meja dijual.

Kategori meja yang dijual adalah 10 Perkasa bernilai RM50,000, 20 Perwira (RM20,000) dan 20 Pahlawan berharga RM10,000.

Kami berharap agar lebih banyak dermawan yang menghulurkan sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan ini supaya lebih besar jalur bantuan yang boleh diberikan kepada Veteran ATM yang memerlukan serta serba kekurangan. Veteran ATM adalah permata Malaysia yang telah memerah keringat demi mencapai kemerdekaan dan keselesaan yang kita nikmati sekarang. Sumbang sedikit tanda ingat, sumbang lebih tanda mampu.

Sebarang keterangan lanjut hubungi pihak sekreteriat Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 di talian 019 6576 127 (Adawiyah), 012 7398586 (Nur Indra Dini) atau emel ke sekreteriatTabungPahlawan@gmail.com.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan siaran media, sila hubungi Ketua Unit Komunikasi Korporat JHEV ATM, Encik Muhammad Izzat Siraj  ditalian  017-965 3755 atau Muhamad Fuaad bin Selamat, Pembantu Tadbir Unit Komunikasi Korporat JHEV ATM ditalian 019-639 802

Konsert “Divas & Diamonds” Jalinkan Kerjasama Antara Mega Eve Sdn Bhd Dan Tourism Johor Untuk Promosi “Road to Visit Johor 2026”

Konsert “Divas & Diamonds” yang menampilkan artis Malaysia dan Indonesia menjadi antara program promosi “Road to Visit Johor 2026” dan dijangka meningkatkan kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini.

Konsert anjuran Mega Eve Sdn Bhd yang membariskan penyanyi dari Indonesia iaitu Datuk Seri Rossa dan artis tempatan seperti Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan Joe Flizzow itu bakal berlangsung pada 7 Sept, 8.30 malam di Stadium Arena Larkin dengan jangkaan kehadiran 6,000 penonton.

Pengarah Tourism Johor Shahril Nizam berkata pihaknya yakin kehadiran artis ternama dalam dan luar negara akan membawa lebih ramai pelancong dari Indonesia, Singapura, Brunei dan banyak lagi sekali gus meningkatkan sektor pelancongan Johor.

“Kita akan menuju ke ‘Tahun Melawat Johor 2026’ jadi tahun ini kita telah mulakan gerakan (promosi) itu dan inisiatif konsert ini antara platform untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

“Banyak program promosi kita buat sebelum ini tetapi (konsert) ini satu daripada program ‘impact event’ kerana melibatkan artis antarabangsa yang mempunyai peminat tersendiri yang akan membawa penggemar ke sini selain program ‘Johor Majestic Festival’ pada Ogos nanti,” katanya pada sidang media Konsert “Divas & Diamonds”.

Sementara itu, Pengarah Projek Aman Ali daripada Mega Eve berkata konsert itu akan menjadi platform mempamerkan budaya tempatan di samping mempromosikan pelbagai tempat daya tarikan Johor dan menggalakkan para pengunjung meneroka tarikan negeri ini seperti makanan, pusat peranginan selain berhibur.Konsert ini juga bertujuan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara ke Johor, sekaligus merancakkan sektor pelancongan negeri tersebut.

Sebagai tambahan, Tourism Johor juga sedang menjalankan kempen untuk meraikan 100 tahun sejak pembinaan jambatan Koswe yang menghubungkan Johor dan Singapura. Kempen ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lancar bagi peniaga dan dari kedua-dua wilayah tersebut.

Dengan memanfaatkan kelebihan daya saing dan sumber yang ada, usaha ini diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi bagi Johor dan Singapura. Konsert ini juga merupakan platform untuk mempromosikan budaya tempatan dan pelbagai tarikan di Johor, termasuk pelancongan kesihatan, yang turut mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk Indonesia. Inisiatif ini dijangka meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Johor, terutamanya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Harga tiket untuk menyaksikan konsert Divas & Diamonds bermula RM288 hingga RM1,288 dan boleh didapati menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my.

Konsert DUO Lagenda Gabungkan DATUK M NASIR & DATUK JAMAL ABDILLAH

Lagu Ghazal Untuk Rabiah duet dua legenda muzik tempatan, Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah adalah antara lagu terbaik pernah dirakamkan dalam arena muzik tanah air.

Lagu yang dipetik daripada album Jamal berjudul Suratan Kasih pada 1995 itu turut diangkat sebagai juara dalam Anugerah Juara Lagu 1997.

Tidak dinafikan paduan suara mereka bagi lagu ciptaan M Nasir dan lirik oleh Cenderawasih ini cukup serasi. Jamal yang sinonim dengan muzik pop dan M Nasir dengan irama Nusantara, rock serta pop adalah gabungan yang mampu menghasilkan magis.

Kali ini, M Nasir dan Jamal bakal digabungkan dalam Konsert Duo Legenda pada 20, 21, 22 dan 23 Disember ini. Ia juga pertama kali menyaksikan M Nasir dan Jamal digabungkan dalam dalam satu konsert di atas pentas bertaraf dunia dan diringi 21 pemuzik pemuzik profesional di bawah Pengarah Muzik yang tidak asing lagi iaitu Raja Sham bin Raja Sari.

Konsert selama empat malam yang dibawa khas oleh Shapadu ini akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula jam 9 malam.

Konsert berdurasi selama dua jam ini bakal menyaksikan mereka membawa lapan lagu popular dan evergreen masing-masing.

Jamal akan membawa lagu-lagu seperti Penghujung Rindu, Takdir Penentu Segala, Bicara Cinta, Di Sudut Kamar Hati, Deru, Mana Teman Seperjuangan, Di Sebalik Cinta dan Kau Lupa Janji, manakala M Nasir dengan lagu Hati Emas, Gerhana, Perjuangan, Sekuntum Bunga Plastik, Sesat Di Kuala Lumpur, Kolar Biru, Mustika dan Keroncong Untuk Ana.

Mereka juga bakal berduet dalam empat lagu iaitu Kepadamu Kekasih, Kiambang, Malam dan sudah pastinya Ghazal Untuk Rabiah.

Selain kekuatan vokal dan lagu-lagu malar hijau, konsert ini juga menjanjikan kepuasan buat penonton dengan penggunaan skrin LED, ‘stage mobile’ dan kesan khas untuk mood lagu.

Selain itu, konsert ini juga akan menampilkan penyanyi dari Australia yang mula mencipta nama di sini iaitu Cassidy La Creme

Penyanyi yang fasih berbahasa Melayu ini popular di YouTube apabila video dia menyanyikan lagu Ombak Rindu ditonton lebih 1.1 juta pelayar YouTube.

Cassidy juga akan berduet dengan M Nasir dalam lagu Dua Insan serta Sandar Pada Kenangan bersama Jamal. Selain itu, dia juga akan menyanyi solo menerusi lagu Derita Cinta.

Binjamal Event merupakan penerbit konsert , manakala En Rosnan selaku Pengarah Konsert.

Segala urusan promosi bagi konsert ini dijayakan oleh Mewah Event Management dan Sinar Fm sebagai radio rasmi konsert tersebut.

Tiket-tiket berharga RM1,000 (Golden Seat/VVIP), RM558, RM458, RM358, RM258 dan RM158 boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.