Dewa 19 Padi Reborn bakal mencipta sejarah baharu industri muzik tanah air pada 6 Jun 2026. Dua nama besar Indonesia ini akan berkongsi satu pentas di Axiata Arena, Bukit Jalil. Ini kali pertama pertembungan epik tersebut direalisasikan di Malaysia.
Konsert ini dianjurkan oleh Icon Entertainment. Tiket mula dijual pada 27 Februari 2026, jam 11 pagi. Peminat dijangka membanjiri arena untuk menyaksikan malam penuh nostalgia.
SEJARAH PERTEMUAN DUA LEGENDA
Dewa 19 kembali ke Kuala Lumpur selepas konsert terakhir mereka pada 2023. Kali ini mereka tampil dengan judul Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia. Nama itu cukup simbolik buat peminat setia mereka.
Lebih mengujakan, Padi Reborn diumumkan sebagai penampilan khas. Buat julung kali, dua band gergasi ini disatukan dalam satu acara. Ia bukan sekadar konsert, tetapi pertemuan besar Baladewa dan Sobat Padi.
TIGA VOKALIS, SATU MALAM PENUH MEMORI
Konsert ini menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe (Ello). Turut bersama ialah Tyo Nugros. Gabungan ini menjanjikan seleksi lagu hit yang malar segar.
Padi Reborn pula terkenal dengan deretan lagu cinta yang masih relevan sehingga kini. Malam tersebut dijangka dipenuhi nyanyian beramai-ramai dan momen penuh emosi.
HARGA TIKET & TEMA ISTIMEWA
Harga tiket bermula RM236 sehingga RM488. Antara kategori yang ditawarkan termasuk Atas Nama Cinta, Bala Sobat, Pangeran Cinta, Laskar Cinta dan Sedang Ingin Bercinta.
Menariknya, tema pakaian rasmi ialah T-SHIRT BAND ORIGINAL. Peminat digalakkan memakai koleksi rasmi Dewa 19 atau Padi Reborn sebagai simbol sokongan sejati.
Konsert ini dijangka mencetus fenomena besar. Axiata Arena bakal bergema dengan sorakan ribuan peminat pada malam bersejarah itu.
Pelanggan Astro akan dihiburkan dengan konsert virtual, secara langsung yang dibarisi ramai nama-nama hebat tempatan dan antarabangsa termasuklah dari Korea, pada 25 September ini, jam 8:30 malam di televisyen Astro 25 (Saluran 100) dan platform Astro GO. ‘Astro 25 Concert’ ini merupakan tanda penghargaan di atas sokongan pelanggan yang selama ini setia bersama di sepanjang perjalanan Astro sehingga menjadikan ia sebagai destinasi hiburan #1 pilihan rakyat Malaysia.
Ella, Jaclyn Victor, Haqiem Rusli, Dayang Nurfaizah and Agnes Rozario
Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, berkata, “Sebagai sebahagian dari usaha Astro untuk meraikan rakyat Malaysia selama 25 tahun kami berkhidmat ini, kami begitu teruja untuk membawakan ‘Astro 25 Concert’, yang akan menyaksikan persembahan terhebat dari artis-artis naungan Astro yang mana mereka akan turut digandingan bersama ramai lagi nama-nama hebat di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa. Seiring dengan tema sambutan Astro yang ke-25 tahun iaitu ‘Better Together’, kami percaya bahawa kita semua akan lebih baik jika terus kekal bersama. Konsert ini diadakan istimewa buat setiap pelanggan dan bakat-bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong Astro dalam misi memastikan rakyat Malaysia sentiasa terhibur dan kekal berinformasi di kala kami berusaha melebarkan sayap menjangkaui TV dan radio. Bakal disiarkan di Saluran 100, semua pelanggan Astro boleh menikmati persembahan terhebat yang kami bawakan secara terus ke rumah anda, ditonton dengan selesa bersama keluarga tersayang.”
Dihoskan oleh artis popular tanah air, Nabil Ahmad dan personaliti radio, Ean, Arnold dan Aishah Sinclair, konsert berdurasi tiga (3) jam ini akan menampilkan persembahan hebat dari selebriti berikut: –
Bintang ‘Running Man’, Kim Jong Kook, yang turut dikenali dengan suara balada yang merdu dan penuh melankolik; beliau akan mempersembahkan salah satu lagu popular beliau. Running Man merupakan program variasi Korea pilihan nombor 1 rakyat Malaysia dan disiarkan di ONE HD (Astro Saluran 393) pada setiap hari Jumaat.
Kumpulan Gen Z yang kini begitu digilai ramai, TOMORROW X TOGETHER, merupakan kumpulan terbaharu dan popular dari Seoul kerana memilik suara yang merdu dan mampu menyampaikan persembahan yang cukup hebat. Muzik mereka dianggap cukup dekat dengan generasi hari ini kerana diinspirasikan dari kisah-kisah tauladan dan sesuai dengan remaja di seluruh dunia.
Pemenang anugerah Grammy sebanyak dua (2) kali, Jason Mraz, pemuzik dari Amerika, Pink Sweat$, penyanyi serta penulis lagu, Bazzi, dan alumni program The Voice UK, Jamie Miller.
Barisan penghibur tersohor negara termasuklah nama-nama legenda tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Ella, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Datuk M. Nasir, Datuk Syafinaz, Erra Fazira dan Anuar Zain ke Ernie Zakri, Datuk Hattan, Misha Omar, Mugen Rao, Syamel, Zee Avi, Shio Yee, Liza Hanim, Hael Husaini, Datuk Aznil Hj Nawawi dan Zynakal.
Kumpulan lelaki Cantopop Hong Kong sensasi, Mirror, bintang Hong Kong Ruco Chan, dan pemenang TVB Stars Academy yang baru sahaja berusia 15 tahun, Gigi Yim.
Kumpulan popular Indonesia, Dewa 19, yang turut merupakan kumpulan rock yang begitu disegani ramai khususnya di Indonesia, Once Mekel, bekas penyanyi utama kumpulan Dewa 19, Slam, kumpulan rock tanah air, dan pemenang Singapore Idol, Taufik Batisah.
Pelawak dan hos terkemuka negara, Harith Iskander, bersama pemain komedi, pelakon dan pengacara TV popular Singapura, Kumar.
Bintang-bintang dari program terbitan Astro seperti Amir Masdi, Siti Nordiana, Naqiu, Yoke Chen, Sarah Suhairi, Santesh, Nicole Lai, Azharina, Han Byul, Noryn Aziz, Vanessa, Vince Chong dan Aina Abdul.
Barisan artis sensasi tanah air seperti Lil J, Orga, TUJULOCA, MK K-Clique, Haqiem Rusli, Yonnyboii dan Abigail – figura generasi hari ini, yang mana popular dan menempa nama menerusi platform media sosial umumnya.
‘Astro 25 Concert’ akan bersiaran pada hari Sabtu, 25 September, pada jam 8:30 malam di Astro 25 (Saluran 100) dan boleh juga distrim menerusi Astro GO. Siaran ulangan atau ‘encore viewing’ juga boleh ditonton menerusi platform On Demand, selepas berakhirnya konsert. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Astro 25 Concert’, teruskan bersama kami di Facebook @Astro, Twitter @astroonline and Instagram @astromalaysia.
Vince Chong, Nicole Lai, Taufik Batisah dan Mugen Rao
Dalam pada itu, penonton Astro juga boleh menantikan tayangan perdana dua dokumentari istimewa, Tanah Tumpahnya Darah Kita dan We Are No Different, juga di Astro 25 (Saluran 100). Kedua-dua dokumentari ini berkisarkan tentang keindahan dan keharmonian kita hidup bersama sebagai rakyat Malaysia – dari seawal kisah sejarah bagaimana bekas perajurit kita berkorban untuk mempertahankan negara tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan budaya sehinggalah kepada kisah bagaimana ada di kalangan rakyat Malaysia yang mengambil dan membesarkan anak angkat tanpa membataskan bangsa masing-masing. Kisah-kisah ini bersama 150 program lain yang mengangkat pelbagai cerita dan filem Malaysia serta serantau terhebat, program-program sepanjang zaman kegemaran rakyat Malaysia dan rancangan realiti kini sedia menanti penonton di Astro 25, Saluran 100. Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan ke-25 Astro ini dan tawaran-tawaran menarik yang disusun khas buat anda semua, layari www.astro.com.my/bettertogether
Juga, mulai September ini, Astro akan membawakan banyak program-program baharu dan siri-siri popular serta rancangan realiti kembali menemui peminat seperti All Together Now Malaysia yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9:00 malam di Astro Ria, Astro Classic Golden Melody 2021 pada setiap hari Sabtu mulai 25 September, jam 8:30 malam di Astro AEC, musim terbaharu Big Boss, mulai 3 Oktober jam 10:00 malam di Star Vijay, program komedi kegemaran ramai, Sepahtu Reunion Live 2021, pada setiap hari Khamis, mulai 23 September, jam 10:00 malam di Astro Warna, drama bersiri Astro Originals, I Tanggang, pada setiap hari Isnin, mulai 13 September, jam 9:00 malam dan drama terbaharu The Hotel, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, mulai 15 September, jam 10:00 malam di Astro Ria. Jangan lepaskan peluang menonton sajian terbaik dan terkini dari kami di Astro!
Meskipun tanpa kelibat pengasas Dewa 19 Ahmad Dhani Prasetyo, Konsert Dewa 19 Reunion – Live In Malaysiayang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Febuari lalu tetap meriah. Setiap detik yang berlalu bagaikan ditemani ‘ruh’ yang sudah cukup menghidupkan suasana konsert sehingga ke detik terakhir.
Konsert Reunion Dewa 19 yang di bawakan oleh Nizra Production telah berjaya menghimpunkan lebih 7,000 Baladewa dan Baladewi. Meskipun ini adalah persembahan mereka yang ke empat di Malaysia, ianya di lihat bagaikan sebuah konsert reunion bukan sahaja untuk setiap ahli kumpulan Dewa 19 tetapi peminat setia mereka di sini.
Selain Once dan Ari Lasso Dewa 19 turut dibarisi oleh Andra (gitar), Yuke (bass), Agung (dram) dan Tyo Nugros (dram) serta Abdul Qodir Jaelani atau Dul yang bertindak selaku kibordis yang menggalas tugas ayahnya Ahmad Dhani yang kini sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan setelah didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.
Tepat jam 8.45 malam, penonton terlebih dahulu di hiburkan dengan rantaian lagu-lagu daripada Andra and The Backbone. Ternyata mereka juga mampu untuk memaku peminat dengan lagu-lagu yang cukup untuk mengajak penonton untuk turut bernyanyi. Antaranya adalah Musnah, Sempurna dan Hitamku.
Tepat jam 9.40 Malam Dewa 19 dengan penampilan Ari Lasso mengambil alih pentas dengan intro yang sudah cukup untuk meniup semangat Baladewa dan Baladewi yang sedari awal sudah memenuhi ruang Baladewa yang terletak di bahagian hadapan pentas. Beliau telah menyampaikan beberapa buah lagu antaranya Restoe Bumi, Manusia Biasa, Aku Di Sini, Satu Hati, Cukup Siti, Takkan Ada Cinta dan Persembahan Dari Surga.
Dul Jaelani yang juga anak kepada Ahmad Dhani, tidak dapat menahan sebak ketika Ari Lasso menyanyikan dua lagu, Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali. Suasana konsert pada mulanya gamat bertukar pilu saat kamera memfokuskan kepada wajah Dul yang sedang bermain kibod sambil menitiskan air mata.
Sebahagian penonton turut terkesan dan dilihat mengesat air mata, berkongsi kesedihan dirasakan anak muda itu. Kepiluan tambah dirasa apabila nyanyian Ari Lasso disulami dengan paparan gambar Ahmad Dhani bersama keluarga dan rakan seperjuangannya dalam kumpulan itu di skrin gergasi.
Ari Lasso kemudiannya meninggalkan pentas dengan Kirana dan Elang sebelum menyerahkan mic kepada Once yang bertindak sebagai vokalis di dalam album kelima, Bintang Lima yang turut dinobatkan sebagai album terlaris di Indonesia pada tahun 2000.
Sebanyak 12 buah lagu telah dipersembahkan oleh Once antaranya ialah Pangeran Cinta, Sayap Patah, Dua Sejoli, Kosong, Angin, Hidup Adalah Perjuangan, Dewi, Cemburu, Risalah Hati, Perempuan, Pupus dan Arjuna.
Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman turut mencemar duli hadir menonton konsert tersebut disamping Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.Masa terus berlalu, kedinginan malam seakan tidak terasa tanpa di duga gabungan duo vokalis ini kembali menghangatkan pentas dengan lagu Roman Picisan, Kangen dan Separuh Nafas yang di temani oleh dua pemain dram yang beraksi sama di posisi instrumen masing-masing.
Tiket early bird Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia habis terjual
Petaling Jaya, 17 November 2018 – Maaf, sudah sold out! Tiket-tiket early bird Dewa 19 Reunion Live in Malaysia yang dijadual berlangsung pada 2 Februari 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam sudah pun terjual habis.
Ia adalah berita gembira dan berita sedih buat Baladewa apabila tiket-tiket early bird dengan potongan 10% telah sold out sebaik ia mula dijual sejak 7 sehingga 11 November lalu.
Berita gembiralah adalah para pembeli early bird sudah tidak perlu bimbang mereka gagal memperoleh tiket konsert sulung gabungan semula formasi lengkap Dewa 19 menerusi Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia kelak.
Berita sedihnya pula adalah Baladewa yang tidak membeli tiket early bird perlu berebut membeli tiket bagi memastikan tidak terlepas menyaksikan momen bersejarah di antara para personal Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani, Ari Lasso, Once, Andra, Yuke dan Agung serta Tyo.
“Melihat keseluruhan tiket early bird terjual dengan begitu laris dan habis dalam tempoh lima hari adalah satu perkembangan yang cukup positif dan memberangsangkan daripada Baladewa.
“Pihak kami yakin konsert ini akan mendapat sambutan luar biasa kelak,” ujar Nik Iruwan dari Nizra Production.
Bagaimanapun, tiket-tiket untuk menyaksikan Dewa 19 Reunion Live in Malaysia masih boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my
Lawati juga laman sosial rasmi konsert ini atau boleh hubungi Info Hotline di talian 0172792118 untuk keterangan lanjut.
Setelah lebih 10 tahun Dewa 19 tidak beraksi di hadapan para peminat setianya kini band yang cukup popular dengan lagu-lagu seperti Elang, Larut, Cemburu, Pupus, Mistikus Cinta dan Sedang Ingin Bercinta itu kembali beraksi untuk menghiburkan ‘Baladewa’ di Malaysia.
Lebih menarik konsert kali ini bakal menampilkan Ari Lasso, Once dan Ahmad Dhani yang bakal beraksi di konsert “Dewa 19 – Reunion Live in Malaysia”. Konsert yang dibawakan oleh Nizra Production itu bakal berlangsung pada 2 Februari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.
Menurut Nik Iruwan, wakil daripada Nirza Production, kumpulan legenda Indonesia itu bakal membawakan hampir 35 buah lagu-lagu popular mereka pada konsert berkenaan.
“Tidak ada yang lebih hebat daripada mendengar kata ‘yes’ daripada Dhani dan kami berjaya membawa sekali Ari Lasso bersama-sama Once buat pertama kalinya bergabung di atas satu pentas di Malaysia.
Sementara itu Ahmad Dhani juga melahirkan rasa berbesar hati untuk kembali bertemu peminat di negara ini selepas sedekad tidak mengadakan persembahan di Malaysia.
“Kami bersedia untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada Baladewa di sini. Sampai ketemu semua,” kata Ahmad Dhani.
Selain Ahmad Dhani Dewa 19 turut membawa tiga lagi ahli kumpulan asal Dewa 19 iaitu, Andra (gitar), Yuke (bass), Agung (dram) dan Tyo Nugros (dram).
Para peminat boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM238 hingga RM888 yang sudah mula dijual pada 7 November lalu.
Maklumat pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.ticketcharge.com.my atau lawati laman sosial rasmi konsert. Info lanjut boleh hubungi Info Hotline di 017-2792118.