Tag Archives: Dewan Plenary KLCC

Konsert ‘CINTA LUAR BIASA’ ANDMESH KAMALENG Di KL

Siapa yang tidak kenal dengan pelantun lagu viral senusantara ‘Cinta Luar Biasa’, anak kelahiran Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, penyanyi-penggubah lagu popular yang banyak memenangi anugerah dan pengiktirafan, Andmesh Kamaleng bakal bertandang ke tanah air pada bulan Jun ini bagi mengadakan konsert pertamanya di Malaysia anjuran syarikat penganjur acara yang semakin popular, Kharisma Music.

“Tidak sabar rasanya hendak menghiburkan peminat di Malaysia pada bulan Jun ini dalam sebuah konsert istimewa yang bertemakan cinta.

“Ini merupakan konsert pertama saya di Malaysia dan sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di sana,” jelas pemilik nama sebenar Jeandmesh Antonio Kamaleng, 25 tahun.

 

Berasal dari sebuah keluarga pemuzik, Andmesh memperoleh bakat semulajadinya dari mendiang bapanya yang merupakan seorang pemain keyboard profesional.

“Sewaktu kecil, saya sering mengikuti ayah membuat persembahan di pentas dan minat dalam bidang muzik lahir secara semulajadi dari situ.

“Kemudian, pada tahun 2016 saya beranikan diri menyertai sebuah program pencarian bakat di Indonesia iaitu ‘Rising Star Indonesia Musim Ke-2’ dan rezeki ternyata berpihak pada saya apabila dinobatkan sebagai juara,” jelas Andmesh.

Lagu ‘Cinta Luar Biasa’ yang diambil dari album pertamanya dengan judul yang sama berjaya melonjakkan lagi namannya sehingga dikenali ramai di rantau Asia Tenggara, bukan itu sahaja lagu tersebut mendapat perhatian global apabila turut dinyanyikan semula dalam pelbagai bahasa, antaranya Inggeris dan juga Korea.

Kini, Andmesh dan pemuzik dari Indonesia bakal hadir di Malaysia dalam sebuah konsert yang ditunggu-tunggu peminatnya di sini, kata Andmesh dalam nada yang teruja, “Sesungguhnya ini merupakan impian saya dari dahulu lagi untuk menghiburkan peminat di Malaysia, saya sudah persiapkan ‘team’ yang rapi agar semuanya berjalan dengan lancar.

“Seramai 6 orang pemuzik profesional dari Indonesia bakal mengiringi saya ketika konsert itu nanti yang dijangkakan berlangsung selama 2 jam dengan kurang lebih 15 buah lagu yang dipersembahkan.

“Konsep konsertnya nanti bertemakan cinta, saya mahu kesemua penonton konsert yang hadir merasakan ‘cinta’ melalui muzik, lirik dan nada yang saya bawakan.

Setakat ini, segala persiapan menuju konsert sedang dijalankan dan ‘team’ Andmesh memastikan  setiap pengunjung konsert merasai pengalaman yang maksimal.

“Istimewanya pada konsert itu nanti, susunan muziknya juga akan mengalami perubahan, khas untuk peminat-peminat di Malaysia, jadi rugi bagi siapa tidak menghadirkan diri. Pastinya ada juga kejutan yang dipersembahkan nanti dan kalau hendak tahu kenalah beli tiket konsert nanti.

“Saya berharap agar pengunjung konsert terkesan dengan lagu-lagu yang saya persembahkan, merasakan cinta dengan karya-karya saya, dan pulang ke rumah dengan memori yang indah.

“Jangan lupa dengan janji kita pada Jun tahun ini, salam sayang dari Andmesh Kamaleng,” akhiri Andmesh.

Tiket-tiket bakal dijual bermula 30 Mac ini pada jam 2 pm di andmesh.ubertickets.asia

Selepas Dua Dekad, BLUE Masih Berbisa!

Malam konsert quartet Inggeris yang popular di sekitar awal tahun 2000 ‘Blue 20th Anniversary: Heart & Soul Tour’ semalam ternyata menghiburkan dengan aksi bertenaga tanpa henti oleh ahli kumpulan tersebut seperti Duncan James, Lee Ryan, Simon Webbe dan Antony Costa.

Ruang Dewan Plenary KLCC dipenuhi seramai 2,900 peminat yang hadir bagi menyaksikan konsert istimewa itu yang bermula pada jam 8:00 malam dan telah dibawakan khas oleh penganjur acara terunggul masa kini, Hitman Solutions dan Happymoon.

Menurut Encik Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, “Seperti yang kami (Hitman Solutions & Happymoon) jangkakan jualan tiket laris dalam masa yang singkat dengan rata-rata umur pembeli dalam lingkungan lewat 20-an dan pertengahan 40-an.

Kami sangat terharu dengan respon yang amat memberangsangkan oleh peminat kerana percaturan membawa boy band dari UK iaitu Blue ternyata membuahkan hasil.”

Walaupun selepas dua dekad, Blue masih lagi berbisa dengan aksi lincah mereka di atas pentas menyanyikan lagu-lagu hit terfenomena seperti ‘One Love’, ‘All Rise’, ‘Sorry Seems To Be Hardest Word’ yang dinyanyikan bersama penyanyi legendaris, Elton John dan lain-lain, mengimbau nostalgia zaman-zaman muda remaja dahulu.

Selain itu, Blue juga turut menyanyikan lagu-lagu dari album terbaharu ‘Heart & Soul’ mereka seperti tajuk albumnya sendiri, ‘Dance with Me’, ‘Ultraviolet’, ‘Paradise’ dan banyak lagi dengan jumlah 17 buah lagu kesemuanya yang dipersembahkan

Encik Kesavan Purusotman yang mesra dengan nama KC, Pengarah Urusan Happymoon turut kongsi, “Kami amat berterima kasih kepada Blue kerana sudi menerima pelawaan mengadakan konsert di Malaysia, walaupun mereka pernah beberapa kali datang ke sini, kebanyakan peminat masih teruja untuk melihat mereka beraksi terutamanya apabila mengetahui ada album baharu yang telah dilancarkan.

Kata salah seorang ahli kumpulan Blue, “Peminat di Malaysia merupakan salah satu penonton yang tergempak yang pernah mereka saksikan. Semangat yang ditunjukkan serta nyanyian bersama tanpa henti sangat menakjubkan!”

Walaupun konsert tersebut berdurasi selama 75 minit, terdapat beberapa kejutan bagi mereka yang berpeluang hadir, pelakon popular tanah air, Diana Danielle tampil membuat persembahan pembukaan dengan sorakan yang padu.

Tambah Encik Rohit, “Konsert malam tadi menandakan kejayaan berterusan dengan Happymoon, dan kami sangat gembira dengan kolaborasi yang bernas ini.

“Kami juga tersentuh dengan kesungguhan kesemua ahli kumpulan Blue dalam membuat persembahan, sama seperti nama konsertnya ‘Heart & Soul’ kerana setiap ahli memberikan yang terbaik dan berjaya menghiburkan peminat.”

Encik KC juga berkata, “Happymoon dan Hitman Solutions sedang merancang festival muzik kolaborasi pertama kami yang bakal kami umumkan tidak lama lagi. Oleh itu, nantikan pengumuman kami yang seterusnya.