Tag Archives: eira syazira

BAWANG MERAH BAWANG PUTIH SATUKAN EIRA SYAZIRA & NABILA MAHARANI

Kuala Lumpur , 22 September 2025 – Dunia hiburan Malaysia dan Indonesia disatukan melalui single terbaharu berjudul Bawang Merah Bawang Putih yang dilancarkan oleh dua nama besar, Eira Syazira dan Nabila Maharani. Lagu ini boleh didapati di semua platform digital serta saluran rasmi YouTube Trisna Music bermula hari ini.

Eira Syazira & Nabila Maharani berduet dalam single terbaru Bawang Merah Bawang Putih

Projek ini membawa sentuhan eksklusif daripada Trisuaka sebagai pencipta lagu, manakala susunan muzik diolah oleh Ardy Goliath. Proses rakaman berlangsung di Studio Trisna Music, Jogjakarta – menandakan gabungan kreatif antara pemuzik hebat Nusantara.


KERJASAMA DUA NEGARA

Kolaborasi ini dijayakan oleh ES Arjuna Management (Malaysia) bersama Positif Art Entertainment (Indonesia), melambangkan jalinan erat Malaysia-Indonesia dalam industri hiburan. Menurut pengurus projek, Azad Jazmin, kerjasama ini bukan sekadar duet, malah menjadi jambatan budaya yang menyatukan kedua-dua negara melalui muzik.

“Kolaborasi ini bukan sahaja mempertemukan dua suara hebat dari dua negara, malah menjadi jambatan budaya yang menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui muzik,” – Eira.


KONSEP MUZIK VIDEO & JALAN CERITA

Muzik video turut dirakam di Jogjakarta dengan mengetengahkan kisah klasik Bawang Merah Bawang Putih. Naratifnya menonjolkan watak Bawang Putih yang tabah menghadapi penindasan ibu tiri serta saudara tirinya, sebelum menemui keadilan. Visual sinematik yang penuh emosi ini dijangka mampu menyentuh hati penonton.

Menurut Eira dalam sesi temu bual, konsep video muzik ini dekat dengan masyarakat Malaysia dan Indonesia kerana kisahnya serupa – antara kezaliman dan keberanian. Beliau menegaskan kolaborasi ini lahir secara ikhlas tanpa agenda mengejar viral, sebaliknya demi berkongsi karya seni.


KENAPA NABILA?

Eira mengakui beliau merupakan peminat Nabila sejak awal kemunculannya bersama Trisuaka. “Saya memang ikut perkembangan mereka sejak zaman viral di jalanan Yogyakarta. Nabila seorang ibu yang fokus pada keluarga, profesional, dan berbakat besar. Itu yang membuatkan saya yakin untuk bekerjasama dengannya,” jelas Eira.

Eira juga menolak dakwaan menunggang populariti artis Indonesia. Baginya, kolaborasi ini adalah opportunity sharing – peluang untuk berkongsi bakat dan peminat di dua negara.


HARAPAN UNTUK NUSANTARA

Nabila pula menyifatkan projek ini sebagai sesuatu yang bersejarah:

“Semoga Bawang Merah Bawang Putih menjadi kolaborasi dua negara yang diterima ramai, bukan hanya di Indonesia tetapi juga Malaysia. Tujuan kami hanya untuk menghibur dan memberi pengalaman baharu kepada peminat,” kata Nabila.


SOKONGAN PENAJAAAN

Projek ini turut mendapat sokongan penuh Candyta selaku penaja utama produk penjagaan rambut, selain rakan strategik lain seperti Batik Air, Le Méridien Putrajaya, Kaki Jersey, dan Perabot Jati Awish.


PROFIL ARTIS

Eira Syazira – Pelakon, penyanyi dan personaliti TV Malaysia sejak awal 2000-an. Popular dengan drama serta filem tempatan, beliau juga aktif dalam bidang nyanyian dengan single seperti Say, Kau Yang Ku Sayang, dan Jebakan (duet bersama Dodhy Kangen Band). Eira kini pengasas jenama rambut terkenal Candyta.

Nabila Maharani – Penyanyi muda berbakat dari Indonesia, mula mencuri perhatian melalui kolaborasi dengan Tri Suaka. Hits popularnya termasuk Bila Nanti dan Ayang yang mencecah jutaan tontonan di YouTube. Dengan vokal merdu dan emosi yang kuat, Nabila kini dianggap antara bintang generasi baru paling berpengaruh di platform digital.

50 Selebriti Bakal Meriahkan MEGA BAZAAR 2014

 

MEGA BAZAAR WEB BANNER 500X300 MIX E-1

Bayangkan, bukan setakat pelakon popular seperti Neelofa, Yana Samsudin dan Hanez Suraya saja bakal berada di sana sepanjang dua hari berlangsungnya bazaar nanti, malah pelakon komedi terkenal seperti Afdlin Shauki, Sharol Shiro, Sharifah Shahora dan dramatis Eira Syazira akan turut memeriahkan bazaar ini dengan menjual pelbagai barang mereka.

Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia seperti Adira, Adam, Afiq dan Fitri akan turut serta bersama bintang popular lain termasuk Yatt Hamzah, Heliza Helmi, Fiza Elite, CatrionaRoss dan ramai lagi.Kepada anda semua yang sudah pun membeli booth dan ruang niaga masing-masing, ini adalah peluang terbaik untuk anda bukan saja menjana keuntungan malah ia satu platform terbaik bagi membina jenama produk perniagaan masing-masing kerana pengunjung yang dijangka hadir adalah luar biasa.

MEGA BAZAAR WEB PROMO (1)

Menurut Pengarah Urusan Eh Eh Bazaar Sdn Bhd, Iffah Zaimi, bazaar terbesar di Malaysia ini bakal mencipta fenomena tersendiri selain direkodkan sebagai himpunan peniaga online terbesar malah Mega Bazaar 2014 akan menjadi kayu ukur bagi menilai kemampuan kuasa beli rakyat Malaysia.”Saya sebagai penganjur sendiri tidak sangka sambutan yang kami terima setakat ini. Lebih mengejutkan lagi apabila hampir 100 selebriti ternama sudah pun membuat pengesahan mereka untuk sama-sama menyertai jualan online terbesar ini nanti.

Justeru saya yakin Mega Bazaar 2014 akan berjaya menarik ribuan pengunjung untuk membeli barangan pelbagai jenis dan pilihan pada harga paling rendah lebih-lebih lagi semua sedang sibuk membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri.”Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan ruang niaga, kami masih membuka peluang pada saat akhir ini tapi perlu saya ingatkan, kami hanya tingggal beberapa saja lagi booth yang masih kosong kerana lebih 1000 lain sudah lama ditempah. Jangan tunggu lama dan tak perlu fikir lagi. Hubungi kami untuk membina profil keuntungan anda bersama kami,” katanya.

Mega Bazaar 2014 akan berlangsung selama dua hari pada 21 dan 22 Jun depan bertempat di MAEPS Serdang. Jangan lepaskan peluang untuk menghubungi +60 12 292 0131 bagi keterangan lanjut. Jumpa anda di sana!

 

“Janji Jaslina” Isi Slot Azalea

Janji Jaslina (6)

Terbaharu di slot Azalea, terimalah buah tangan daripada pengarah berbakat besar, Emi Suffian, iaitu “JANJI JASLINA” yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.00 petang bermula 31 Mac 2014. Drama bersiri 20 episod terbitan Orangetree Production dan nukilan skrip oleh Azmy Mohd Arif ini menampilkan barisan pelakon handalan tanahair seperti Eira Syazira (Jaslina), Norman Hakim (Johan), Almy Nadia (Rahayu), Nizen Ayob (Dr Arif), Ana Dahlia (Atira), Shaharudin Thamby (Pak Ayob), Fadilah Mansor (Mak Kiah), Mustafa Kamal (Dato Kamal’), Raja Emma (Datin Nora), Erry Putra (Fiq) dan adik Wafiy Irfan Ariffin (Iman).

“JANJI JASLINA” mengisahkan pasangan suami isteri, Jaslina dan Johan yang dianugerahkan 2 orang anak, Nina dan Iman. Jaslina berkahwin dengan Johan pada usia yang muda. Apabila Nina disahkan mengidap penyakit asma pada umur 10 tahun, Jaslina telah berhenti kerja bagi menjaga anaknya tetapi dimarahi oleh Johan. Tanpa diketahui oleh Jaslina, Johan masih menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya, Rahayu.

Janji Jaslina (1)

Rahayu sering bertandang ke rumah Johan. Jaslina tidak menyimpan prasangka buruk terhadap Rahayu. Tambahan pula, Rahayu pandai berlakon dan berpura-pura rapat dengan Nina. Suatu hari, Rahayu dengan sengaja tidak memberikan inhaler kepada Nina yang diserang asma. Tindakannya telah menyebabkan Nina gagal mendapat rawatan segera dan meninggal dunia.

Kematian Nina telah mengakibatkan Jaslina menghadapi tekanan emosi. Tambahan pula, Johan telah berkahwin dengan Rahayu dan tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan adil. Jaslina dibiarkan terkapai-kapai mencari kehidupan sendiri. Penderitaan Jaslina bertimpa-timpa apabila anaknya Iman disahkan mengidap penyakit leukemia. Wang yang diberikan oleh Johan tidak diserahkan oleh Rahayu kepada Jaslina telah menyebabkan Jaslina hidup dalam kesempitan. Johan tidak sedar akan niat sebenar Rahayu berkahwin dengannya.

Janji Jaslina (10)

Ketika menjalankan tugasnya di Sabah, Johan telah diculik dan Jaslina terus hilang punca sumber kewangan. Jaslina terpaksa keluar dari rumah setelah rumahnya dilelong oleh pihak bank. Jaslina terpaksa menumpang di rumah Pak Ayob dan Mak Kiah. Namun, Pak Ayob mengambil kesempatan atas wang yang didermakan oleh orang ramai untuk kos perubatan Iman. Malah, Pak Ayob juga cuba menggoda Jaslina dan ingin mengahwininya.

Akhirnya, Jaslina meninggalkan rumah Pak Ayob dan bertemu dengan Dr. Arif. Apakah bantuan yang diberikan oleh Dr. Arif ikhlas untuk membantu Jaslina? Kepulangan Johan secara tiba-tiba telah menimbulkan pelbagai persoalan sementara Rahayu juga menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya, Fiq. Apakah yang Johan bakal lakukan selepas rahsia Rahayu terbongkar? Siapakah jodoh sebenar Jaslina?

Janji Jaslina (7)

Jangan ketinggalan untuk menonton JANJI JASLINA yang disiarkan bermula 31 Mac 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 4.00 petang di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang drama tersebut, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.