Tag Archives: Elizad Sharifuddin

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi Suami’. Drama ini akan bersiaran di saluran Astro Prima (105) mulai 2 Disember 2024, setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 petang.

Meneruskan kejayaan slot drama petang terdahulu, ‘Berbahagi Suami’ tampil berani membincangkan isu poligami yang sering menjadi perbualan hangat dalam masyarakat. Selain menawarkan hiburan, drama ini turut mengetengahkan aspek pendidikan tentang tanggungjawab suami sebagai ketua keluarga, hak-hak isteri, peranan ibu, dan konsep keadilan dalam berpoligami.

Drama 65 episod ini dihasilkan oleh Radius One di bawah arahan Uchee Fukada, pengarah yang pernah mengarahkan drama popular seperti ‘Malang Si Puteri’ (2024) dan ‘Dendam Seorang Isteri’ (2022). Lagu tema drama ini, “Berbagi Hati”, dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Khai Bahar dan Wany Hasrita.

Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh berkata, “Astro bukan sekadar mahu menghasilkan drama yang menghiburkan, tetapi juga membawa mesej yang bermakna kepada penonton. ‘Berbahagi Suami’ membincangkan isu poligami secara menyeluruh, merangkumi aspek keadilan, pengurusan emosi keluarga, kesan-kesan poligami, dan ciri-ciri suami yang bertanggungjawab. Perlu diingat, drama ini bukan bertujuan menggalakkan poligami, sebaliknya memberi pencerahan tentang perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan dalam perkahwinan sebegini.”

Drama ini mengisahkan Dhani (Amar Baharin) dan Bella (Elizad Sharifuddin) yang kehidupan rumahtangga mereka berubah apabila Dhani memperkenalkan Aishah (Sharifah Husna) sebagai isteri kedua. Walaupun keluarga Dhani cuba menentang Aishah, Bella mengejutkan semua pihak dengan menyokong keputusan suaminya. Bella kini berdepan dilema: sama ada menerima Aishah sebagai madunya atau berhadapan dengan pembongkaran rahsia silam yang disaksikan oleh Aishah.

Penonton boleh menonton ‘Berbahagi Suami’ melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box dan aplikasi Astro GO serta sooka. Pakej Astro One boleh dilanggan sekarang. Untuk maklumat lanjut, layari www.astro.com.my atau WhatsApp 03 9543 3838.

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember | Di hari pernikahan, hatinya berkata, dengan nama Allah, dia tetap akan memilih Rizman, iaitu abang angkat yang terlalu membenci dirinya untuk menjadi imamnya. Demi Allah, Qasya tetap dengan pilihannya itu walaupun perlu berdepan dengan kebencian dari suaminya sendiri mahupun keluarga angkatnya.

Menyusuli “Dhia Sofea”, nantikan drama bersiri baharu “Aku Pilih Kamu” lakonan Hafidz Roshdi (Rizman), Dayana Roza (Qasya Azara), Fazreen Rafi (Adam), Ryzal Jaafar (Farouk), Elizad Sharifuddin (Nadiya), Sasqia (Isabel), Zila Bakarin (Datin Rosnaida), Arash Mohd. (Dato’ Mizal), dan Rahhim Omar (Tan Sri Zainal), setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam, bermula pada 3 Disember 2015. Drama bersiri 15 episod arahan oleh Zul Huzaimy Marzuki ini merupakan hasil nukilan skrip oleh Rozie Rashid.

Hidup Qasya Azara berubah dalam sekelip mata selepas ibu kandungnya meninggal dunia. Ayahnya, Zainal seorang pengusaha eksport import jarang berada di rumah kerana urusan perniagaan di luar negara. Qasya yang baru berumur 12 tahun terpaksa berpisah dengan kakaknya kerana Zainal tidak mampu menjaga kedua-duanya. Kakak Qasya telah dihantar ke kampung untuk dijaga oleh nenek mereka.

Selepas Zainal berkahwin semula, Qasya tinggal bersama ibu tiri dan adik tirinya yang selalu menderanya sehingga dia dihalau dari rumah oleh ibu tirinya. Qasya membuat keputusan untuk tidak balik ke rumahnya lagi.

Dia kemudian dijadikan anak angkat oleh Dato’ Mizal dan Datin Rosnaida. Walaupun dikasihi oleh Dato’ Mizal serta anak pertama mereka Adam, Qasya membesar dengan penuh kebencian daripada ibu angkatnya serta dua lagi abang angkatnya iaitu Farouk dan Rizman. Penghinaan, cercaan dan kekasaran daripada Datin Rosnaida, Farouk dan Rizman terhadap Qasya hampir berlaku setiap hari.

Namun kesakitan yang dirasai terubat dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Adam dan ayah angkatnya, yang mana perkara itu tidak ada di rumah ayah kandungnya. Layanan-layanan itu dihadapi oleh Qasya sehinggalah mereka meningkat dewasa.

Dato’ Mizal mengarahkan Qasya dan Rizman menikah dengan alasan supaya Qasya mampu merubah Rizman. Dengan modal harta dan jaminan untuk melepaskan Rizman yang ditangkap kerana dadah, keputusan Dato’ Mizal dituruti oleh ahli keluarganya. Dalam hati Qasya tetap berkata, itu jodohnya, dengan nama Allah dia berjanji suami yang membencinya itu akan tetap menjadi pilihannya.

Poster Aku Pilih Kamu

Perkahwinan itu membuatkan hati Adam terluka. Adam yang sememangnya memasang niat ingin bernikah dengan Qasya sangat kecewa dan membuat keputusan untuk meninggalkan rumah dan merantau mencari kekuatan diri. Rizman tetap tidak dapat menerima Qasya kerana firasatnya Qasya bernikah dengan Rizman supaya dengan mudah dapat menguasai harta Dato’ Mizal.

Perkenalan keluarga Dato’ Mizal dan Tan Sri Zainal membawa kepada pernikahan Farouk dengan Nadiya. Sejak itu, Isabel, anak tiri kepada Tan Sri Zainal mula rapat dengan Datin Rosnaida. Datin Rosnaida sangat sukakan Isabel berbanding Nadiya kerana Isabel mempunyai perangai yang mirip dengannya yang moden dan gilakan wang. Datin Rosnaida yang sememangnya membencikan Qasya mencari jalan untuk memutuskan hubungan Qasya dan Rizman. Dia telah berpakat dengan Isabel untuk memerangkap Rizman.

Qasya sedih melihat pernikahan suaminya dengan wanita lain. Hidup bermadu sangat menyakitkannya, diseksa perasaannya saban hari oleh Rizman dan Isabel. Sebenarnya Qasya maklum yang Tan Sri Zainal ialah ayah kandungnya, tetapi dia mendiamkan perkara itu kerana Tan Sri Zainal tidak pernah mencarinya.

Qasya terima sahaja setiap perlakuan Isabel dan Nadiya walaupun sentiasa menyakitinya kerana dia tahu mereka berdua ialah saudara kandung dan saudara tirinya. Dia tabah menghadapi semua dugaan demi janjinya dengan nama Allah supaya Rizman menjadi suami mithali tercapai. Demi Allah, Rizmanlah pilihan pertama hatinya. Bagaimanakah Qasya mengatasi rintangan dan cabaran yang hadir dalam hidupnya? Saksikan “Aku Pilih Kamu” menerusi slot Samarinda TV3 pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam bermula 3 Disember 2015.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.