Tag Archives: Ernie Zakri

EMPAT LIVE IN KUALA LUMPUR 2025: SIMBOL CINTA, SUARA & KELUARGA

Kuala Lumpur, 18 Oktober 2025 – Malam yang dinanti akhirnya tiba. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 berlangsung megah di Mega Star Arena, menyatukan empat nama besar – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel – dalam persembahan yang menggamit jiwa seluruh penonton.

Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena menampilkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Lebih daripada sekadar konsert, Empat Live menjadi lambang kasih sayang dan kekeluargaan dalam industri seni tempatan. Dengan konsep yang belum pernah dilakukan, konsert ini diiktiraf sebagai konsert keluarga pertama di Malaysia, menandakan detik bersejarah yang memperlihatkan keharmonian dalam muzik dan hubungan manusia.


Satu Keluarga, Satu Jiwa, Satu Sejarah

Sepanjang dua jam persembahan, lebih 21 lagu termasuk medley dilantunkan dengan penuh emosi. Dari “Madah Berhelah” hingga “Sedetik Lebih”, setiap nota membawa nostalgia tersendiri. Sokongan padu 4,500 penonton menjadi nadi utama kejayaan malam itu, membuktikan cinta peminat terhadap Empat bukan sekadar di pentas, tetapi di hati.

 Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena menampilkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Turut hadir memeriahkan acara ialah barisan artis ternama seperti Misha Omar, Dato’ Hattan, Noryn Aziz, Edry KRU, Dato’ Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani, menjadikan suasana semakin meriah dan eksklusif.

Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena menampilkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Persembahan Penuh Emosi & Tenaga

Dibimbing oleh Sze Wan selaku Pengarah Muzik dan Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert, setiap susunan muzik diolah dengan rapi. Antara lagu yang menjadi sorotan termasuk “Hamba Cinta”, “Aku Cinta”, “Gundah”, “Lelaki Ini” dan “Perpisahan” — disampaikan dengan tenaga dan penghayatan luar biasa oleh setiap ahli Empat.

 Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena menampilkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Barisan pemuzik profesional turut memainkan peranan besar dalam menghidupkan magis pentas ini, termasuk Lee Sze Wan (Musical Director/Keyboards), Ken Chung (Bass), Derrick Siow (Drums), Wan Gigi dan Marcus Leong (Gitar) serta persembahan menggetar jiwa daripada string section dan penyanyi latar Jad Lobo, Baby Akmal, dan Widy.

Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena menampilkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Empat: Legasi Yang Diteruskan

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur bukan sekadar persembahan — ia adalah kenangan kolektif dan manifestasi cinta terhadap seni. Ia menandakan permulaan era baharu dalam penganjuran konsert tempatan yang menekankan nilai kekeluargaan, keikhlasan dan perpaduan dalam muzik.

Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena menampilkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Dengan sambutan hangat dan sold-out crowd, Empat telah mengukir satu lagi sejarah dalam dunia hiburan Malaysia. Satu keluarga, satu jiwa – Empat menjadi bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati tanpa batas generasi.

Kredit Foto : ANUAR ZAIN NETWORK

EMPAT LIVE IN KUALA LUMPUR 2025

Kuala Lumpur, 1 Mei 2025 – Industri hiburan Malaysia akan menyaksikan detik bersejarah apabila empat tokoh seni tanahair yang mempunyai hubungan kekeluargaan bergabung untuk pertama kalinya dalam konsert tunggal. Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse berbangga mengumumkan penganjuran “Empat Live In Kuala Lumpur 2025” yang bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Konsert ini menampilkan gabungan istimewa adik-beradik ternama Anuar Zain dan Ziana Zain bersama anak saudara mereka Ernie Zakri serta suaminya Syamel. Penganjuran konsert ini memenuhi permintaan ramai peminat yang telah sekian lama menanti kolaborasi keluarga berbakat besar ini.

“Projek ini amat menggembirakan kerana tidak pernah terlintas di fikiran kami bahawa suatu hari nasib akan menghimpunkan saya, kakak saya Ziana, anak saudara kami Ernie dan suaminya Syamel dalam industri yang sama sebagai penghibur di atas satu pentas,” ujar Anuar Zain.

Beliau menambah, “Konsert ini sebenarnya telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, namun kami terpaksa mencari masa yang sesuai memandangkan jadual kerja dan komitmen keempat-empat penyanyi yang terlibat. Alhamdulillah tahun ini menyaksikan hasrat ini akhirnya menjadi kenyataan.”

Ziana Zain pula menyifatkan konsert ini sebagai sebuah temasya meraikan cinta antara beberapa generasi bersama para peminat. “Kami tidak menjanjikan sesuatu yang luar biasa, tetapi hadirlah dan nikmatilah Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaik-baiknya. Saya mahu peminat pulang dengan kenangan indah dari konsert penuh magis ini,” jelasnya.

Bagi Ernie Zakri, peluang bekerjasama dengan Ziana dan Anuar Zain dalam skala besar merupakan pencapaian yang membanggakan. “Saya menangis selepas diundang untuk menyertai konsert ini bersama ibu dan bapa saudara yang sangat saya kagumi. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah impian saya yang akhirnya menjadi kenyataan,” katanya dengan penuh emosi.

Syamel turut berkongsi pandangan serupa, menganggap penyertaannya dalam konsert ini sebagai peluang keemasan untuk kerjaya seninya. “Ziana Zain, Anuar Zain, dan Ernie Zakri masing-masing adalah legenda. Dengan gabungan tenaga kami berempat, konsep persembahan yang menarik pasti akan terhasil,” kata Syamel.

Jennifer Thompson telah dilantik sebagai pengarah konsert manakala Sze Wan bertindak sebagai pengarah muzik. Jennifer menyatakan, “Kami telah merancang konsert ini sejak tiga tahun lalu dan sangat gembira ia akhirnya menjadi realiti. Keempat-empat mereka bukan sahaja penyanyi hebat, tetapi masing-masing mempunyai gaya tersendiri yang istimewa.”

Para peminat dijamin bakal menyaksikan banyak momen eksklusif termasuk kolaborasi dan peluang menyanyi bersama lagu-lagu pop terbesar merentasi empat dekad yang hanya boleh dinikmati di persembahan ini.

Tiket konsert berharga:

  • RM288 (Bronze)
  • RM388 (Silver)
  • RM488 (Gold)
  • RM688 (Platinum)
  • RM888 (Diamond)
  • RM1,088 (VIP)
  • RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket)

Penjualan tiket bermula pada 25 April 2025, jam 10.00 pagi melalui laman web rasmi: https://www.ticket2u.com.my/empatkl

Khas untuk golongan kelainan upaya (OKU), talian khas disediakan di +6011-1190 0518 untuk pembelian tiket.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sejarah hiburan tanah air ini dan bermomen bersama artis-artis kesayangan anda. Inilah masanya untuk bersama melakarkan kenangan berharga di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2025.

MAKLUMAT RINGKAS

Acara: Empat Live In Kuala Lumpur 2025
Artis: Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri, Syamel
Tarikh: 18 Oktober 2025
Lokasi: Mega Star Arena, Kuala Lumpur
Penganjur: Anuar Zain Network
Penganjur Bersama & Pengurusan: Altus Prohouse
Laman Web Tiket: https://www.ticket2u.com.my/empatkl
Tarikh Jualan Tiket: 25 April 2025, 10.00 pagi
Talian OKU: +6011-1190 0518

MASING MASING VERSI TRADISIONAL,ERNIE ZAKRI DI KELAS TERSENDIRI

Lagu Masing Masing nyanyian penyanyi terkenal Ernie Zakri terus mendapat sambutan hangat bukan saja dalam negara, tapi juga di luar negara.Lagu ciptaan komposer dari Indonesia Ade Govinda itu turut melakar sejarah tersendiri apabila menduduki carta teratas di stesen radio tempatan dan Indonesia selain ‘trending’ di laman sosial.

Terbaharu, Ernie Zakri telah merakamkan lagu Masing Masing dalam versi tradisional. Ernie berkata, versi baharu itu memberikan pengalaman yang berbeza buat dirinya apatah lagi ini pertama kali beliau merakamkan lagu versi tradisional.

“Pengalaman sudah tentu sangat berbeza sebab ini pertama kali saya merakamkan genre tradisional. Apa boleh dikatakan, ia adalah proses yang tidak susah sebenarnya kerana sejak pertama kali saya dengar muzik Masing Masing versi instrumental yang dibuat khas sempena majlis pelancaran album Aura dan pelantikan duta tudung Ayuwan pada November lalu, saya terus jatuh cinta dan bersetuju jika ia dijadikan juga sebagai versi lain.

“Apabila ramai peminat minta kami untuk rakam bahagian vokal, saya fikir ini juga menjadi peluang terbaik untuk saya memanjangkan tempoh untuk mempromosikan lagu Masing Masing. Saya harap ramai dapat menikmati lagu ini sebagaimana mereka mendengarkan lagu-lagu lain.

“Namun, apa boleh dikatakan Masing Masing versi tradisional ini sangat berbeza sentuhannya. Versi ini adalah hasil idea dan susun semula daripada Encik Feros dan juga komposer Amy Bong. Saya mengharapkan agar usaha kami untuk tampil dengan sedikit kelainan membuka ruang baharu untuk saya dan rakan-rakan penyanyi lain supaya boleh menghasilkan lebih banyak lagu irama tradisional dan saya fikir kena bermula sekarang,” katanya.

Menurutnya, Masing Masing versi tradisional mendapat maklum balas positif daripada peminat.

“Setakat apa yang sudah dikeluarkan untuk teaser, ramai orang suka. Orang sudah boleh jangka sebab mereka sudah tahu versi asal. Perasaan sedih itu akan lebih dirasai sebab versi tradisional lebih mendayu,” katanya.

Sementara itu, Ade Govinda turut memuji mengenai lagu Masing Masing versi tradisional.

“Pertama kali Encik Feros memperdengarkan kepada saya Masing Masing versi tradisional ini, saya sangat terkejut sebab tempo lagu ini menjadi lambat. Dengan itu, ia boleh ditambah baik dan menjadikan lagu ini lebih berbunyi Melayu, malah lebih ‘deep soul’ lagi.

“Semoga versi lagu ini lebih dikenali dan dapat dipersembahkan pada acara tradisional. Saya sangat menyukai Masing Masing dalam versi ini,” katanya.

Menurut Amy Bong yang juga ‘rearranger’ untuk lagu Masing Masing versi tradisional, susunan lagu itu sudah dibincang antara Feros dan Ade Govinda bagi memberi kelainan kepada kerjaya nyanyian Ernie.

“Kami tahu Ernie boleh menyanyi banyak genre muzik dan banyak mendengar rujukan dari media sosial serta nyanyiannya secara langsung. Irama tradisional Ernie memang hebat, jadi tak salah jika kita angkat semula irama ini dan boleh berikan warna berbeza dalam industri muzik. Sekarang banyak lagu-lagu rancak dan irama tradisional kurang diangkat, jadi disebabkan itu juga kami buat,” katanya.

Lagu Masing Masing adalah single pertama yang dipertaruhkan daripada album Aura. Video muzik rasmi lagu ini sudah mencecah 6.6 juta tontonan. Malah, lagu ini juga mengekalkan kedudukan nombor 1 di carta RIM semalam empat minggu.Lagu Masing Masing (Versi Traditional) boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 24th Mei 2024, lirik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri.

Ernie Zakri laungkan kisah cinta abadi datuk dan nenek sendiri dalam ‘Gundah’

Selepas ‘Ku Bersuara’ menjadi salah satu finalis bagi Anugerah Juara Lagu ke-34, Ernie Zakri muncul dengan single terbaru ‘Gundah’. Lagu dan lirik ‘Gundah’ merupakan hasil ciptaan Ernie sendiri bersama dengan komposer Sharon Paul.

Lagu ‘Gundah’ yang ditujukan khas buat arwah datuk dan neneknya, Haji Mohamed & Hajjah Rokayah. Ia mengisahkan percintaan dua insan yang bercinta sampai ke hujung nyawa dan menggambarkan penderitaan seorang lelaki (iaitu datuknya) yang menderita disebabkan kematian wanita yang dicintai (neneknya). ‘Gundah’ bakal muncul dengan Muzik Video yang dilakonkan oleh pelakon hebat Zamarul Hisham dan Fazlina Ahmad Daud pada hari Jumaat, 27 March 2020 di youtube channel Rocketfuel Network.

Selepas setahun pemergian neneknya, datuknya pula yang meninggal dunia. Bait-bait lirik “Biar rasa ini membunuhku, biar rindu ini menghukumku” adalah lirik yang tepat menggambarkan kesedihan hati lelaki tersebut.

Menurut Feros, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records,

”Lagu Gundah merupakan karya terbaru hasil nukilan Sharon Paul Dan Ernie sendiri dan saya berharap lagu ini dapat menambat hati ramai orang diluar sana dan juga mendapat tempat di hati para pendengar radio .”

Lagu ‘Gundah’ ini boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ‘Gundah’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.