Tag Archives: Fahrin Ahmad

Uyaina Dinobat sebagai Nona Manis 2015

Uyaina Dinobat sebagai Nona Manis 2015 | Pencarian Nona Manis, segmen istimewa dalam program majalah wanita terbitan TV3, Nona bertujuan mencari satu ikon generasi muda masa kini telahpun melabuhkan tirainya pada hari Ahad yang lepas. Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, Pencarian Nona Manis Akhir telah mengumumkan Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang Undang dari Universiti Malaya sebagai Nona Manis 2015 sekaligus membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai RM 15,000 dan hadiah-hadiah lumayan.

Debaran lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir menanti keputusan
Debaran lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir menanti keputusan

Setelah tujuh minggu mengharungi pelbagai cabaran yang menguji kebolehan mereka dalam dunia penyiaran, keusahawanan dan program khidmat masyarakat, hanya lima finalis sahaja yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Siti Maryam Binti Hussin (Maryam), Nurul Arifah Binti Abdul Rashid (Yuyu), Nur Shaqira Edora Binti Ghaffar (Edora), Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), dan Balqish Banu Binti Mohd Hussni (Balqish).

Balqish, Edora, Maryam, Uyaina dan Yuyu perlu mempersembahkan tugasan akhir mereka dengan topik-topik yang dipilih. Selepas itu, mereka perlu berhadapan dengan sesi soal jawab secara langsung yang dikendalikan oleh panel juri profesional di pentas akhir. Antara topik yang dipersembahkan oleh kelima-lima finalis Nona Manis ialah Kesan Kaunseling Dalam Memperbaiki Hubungan Suami Isteri (Balqish), Generasi Tunduk (Edora), Barah Payudara (Yuyu), Perkosaan Dalam Rumah Tangga (Uyaina) dan Kecantikan Dari Kacamata Lelaki (Maryam).

Lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir dalam sesi soal jawab bersama panel juri profesional

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 & TV9, “Pencarian Nona Manis berjaya mencapai objektifnya dengan menyediakan platform untuk mengasah bakat baharu gadis-gadis muda ini. Penglibatan mereka selama tiga bulan ini pasti dapat memberi pendedahan dan pengalaman yang berharga kepada para finalis kami terutama mereka yang tidak mempunyai asas dalam bidang penyiaran. Kami berharap agar mereka dapat menggunakan ilmu yang diperoleh dan juga kemahiran baharu ini untuk mencapai cita-cita mereka nanti.”

“Selain itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penaja kami iaitu Blossom Box Store dan Aidijuma yang sudi menaja hadiah lumayan kepada barisan pemenang selain menaja pakaian dan tudung ketika 10 peserta menjalankan tugasan sepanjang program ini,” tambah Sherina lagi.

Uyaina
Uyaina

Siaran langsung Pencarian Nona Manis Akhir ini telah dihoskan oleh tiga wanita anggun iaitu Fouziah Gous, Fara Fauzana dan Dayah Bakar. Majlis tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian hebat daripada Altimet, Azmil Mentor Legend dan Hafiz Suip.

Pemenang Nona Manis 2015 ini telah dinilai oleh lima juri profesional yang diketuai oleh Hajah Nurfarahin Jamsari, Pengurus, Pengurusan Imej Media Prima Berhad dan disertai oleh Haliza Hashim, koresponden TV3 di London; Jovian Mandagie, pereka fesyen terunggul Malaysia; Mahani Awang, Pengerusi Persatuan Pereka Bumiputera serta Fahrin Ahmad, pelakon popular tanahair.

Edora
Edora

Pencarian Nona Manis ini ditaja oleh Blossom Box Store dan Aidijuma. Uyaina yang dinobatkan sebagai Nona Manis 2015 telah menerima hadiah daripada Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad. Hadiah yang diterima adalah berupa trofi, hadiah wang tunai RM15,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM15,000 daripada Habib.

Edora sebagai naib juara pula menerima hadiah wang tunai RM10,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM10,000 daripada Habib.

Maryam
Maryam

Manakala pemenang ketiga iaitu Maryam menerima hadiah wang tunai RM5,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM5,000 daripada Habib. Sementara itu, pemenang sagu hati iaitu Yuyu dan Balqish juga turut menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan barangan kemas bernilai RM2,000 daripada Habib.

Sepuluh peserta yang terpilih ialah Siti Maryam Binti Hussin (Maryam), Nurul Nabila Humaira Binti Kamaruzaman (Maira), Nurul Arifah Binti Abdul Rashid (Yuyu), Nur Syadanar Binti Mohd. Zahari (Syadanar), Nur Shaqira Edora Binti Ghaffar (Edora), Nur Rafiza Binti Abdul Talib (Jaja), Nor Azween Binti Mohd Noor (Aween), Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), Fatihin Husna Binti Bahrom (Fatihin), dan Balqish Banu Binti Mohd Hussni (Balqish). Hanya lima finalis terbaik yang berentap di Pencarian Nona Manis Akhir yang telah berlangsung pada 2 Ogos 2015 iaitu Maryam, Yuyu, Edora, Uyaina dan Balqish.

Shell mendedahkan mitos popular penjimatan bahan api di Malaysia

Pelajar Shell Eco-marathon Asia belajar keputusan kaji selidik dari duta Shell FuelSave Fahrin Ahmad

Kajian baharu yang dikeluarkan hari ini mendedahkan usaha yang sanggup diambil oleh rakyat Malaysia untuk menjimatkan bahan api dan mengurangkan kos pemanduan mereka. Laporan Shell FuelSave Fakta atau Fiksyen, yang telah menganalisis tingkah laku 1,000 orang pemandu Malaysia yang berusia antara 18 hingga 40, menunjukkan bahawa walaupun 90%[1] melihat kecekapan bahan api sebagai sesuatu yang penting, 81% mengakui bahawa mereka tidak tahu bagaimana.

Sebagai contoh, 68% daripada pemandu percaya bahawa memanaskan enjin sebelum memulakan perjalanan akan menjadikan penggunaan bahan api kenderaan mereka lebih cekap, manakala 64% berpendapat mengisi minyak pada waktu malam yang lebih sejuk suhunya boleh menjimatkan bahan api. Ramai juga pemandu yang berpendapat mereka boleh menjimatkan bahan api jika mereka membiarkan enjin beroperasi bagi mengelakkan enjin dihidupkan dengan kerap (53%), sentiasa meninggikan dan merendahkan gear (53%), dan memandu secara perlahan sepanjang masa (42%). Lebih menghairankan, lebih satu pertiga (35%) percaya bahawa usaha mengenjutkan kereta boleh membantu melepaskan poket-poket udara di dalam tangki bagi menjimatkan bahan api.

Mengulas tentang penemuan penyelidikan, Tuan Haji Azman Ismail, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, berkata: “Laporan Shell FuelSave Fakta atau Fiksyen, sebagai sebahagian daripada program mobiliti pintar kami, menunjukkan betapa pentingnya penjimatan bahan api bagi para pemandu, selain pelbagai cara yang mereka cuba untuk meningkatkan kecekapan bahan api. Sesetengah kepercayaan yang didedahkan oleh kajian sebenarnya membazirkan bahan api dan bukannya membantu untuk berjimat, dan di sinilah Shell boleh membantu rakyat Malaysia.”

Bagi membantu membezakan fakta daripada fiksyen, Shell mengorak langkah untuk mengubah para pengikut mitos yang salah kepada pakar kecekapan bahan api – iaitu melalui penggunaan bahan api seperti Shell FuelSave yang direka secara saintifik untuk tahan lebih lama dan dengan menunjukkan cara yang lebih berkesan bagi memandu secara bijak. Mereka juga digalakkan untuk menggunakan Shell FuelSave 95 dan Diesel, bahan api yang direka untuk tahan lebih lama – pilihan yang sesuai bagi mereka yang mementingkan penggunaan bahan api berekonomi. Bahan api ini guna diiringi dengan Shell V-Power 97 dan Shell V-Power Racing, yang direka untuk memberi prestasi lebih baik.

Infografik - Laporan Shell FuelSave Fakta atau Fiksyen

Para Profesional Kecekapan Bahan Api Generasi Baru Malaysia Menerajui Langkah

Laporan seterusnya mendedahkan bahawa para pemandu bergantung kepada para saintis (76%) dan jurutera (72%) untuk membantu mereka menjimatkan bahan api dan tenaga di masa akan datang. “Sehubungan dengan penemuan laporan, komitmen berterusan Shell ke arah mobiliti pintar melalui inisiatif utama seperti Shell Eco-marathon Asia merupakan salah satu cara untuk memupuk bakat sains dan kejuruteraan generasi akan datang Malaysia bagi menerajui langkah,” kata Azman.

Mulai 26 Februari – 1 Mac 2015, 14 pasukan daripada institusi pengajian tinggi Malaysia akan ke Manila, Filipina untuk menyertai acara Shell Eco-marathon Asia 2015, yang mencabar pasukan-pasukan pelajar untuk mereka bentuk, membina dan menguji kenderaan ultra cekap bahan api masa hadapan. Mereka akan bersaing dengan lebih 130 buah pasukan dari Asia, Timur Tengah dan Australia dalam peraduan kecekapan bahan api yang terbesar di dunia.

Sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi Shell Eco-marathon, para pelajar baru-baru ini telah menemui Fahrin Ahmad, duta Shell FuelSave, untuk menjadi yang pertama mengetahui tentang keputusan Laporan Shell FuelSave Fakta atau Fiksyen. Para pelajar akan menggunakan penemuan laporan, serta pengetahuan yang diperoleh melalui Shell Eco-marathon Asia, untuk membantu mendidik orang ramai mengenai kecekapan bahan api, bermula dengan keluarga, rakan dan teman universiti mereka.

Menurut Fahrin, “Kini tiba masanya untuk rakyat Malaysia membezakan yang mana fakta dan yang mana fiksyen – dan saya bangga dapat memainkan peranan untuk membantu kita semua menjadi pengguna bahan api yang cekap!” Sebagai duta Shell FuelSave, Fahrin akan bekerjasama dengan Saintis Bahan Api Shell dan pasukan pelajar di Shell Eco-marathon Asia 2015, Manila, untuk menguji beberapa mitos penjimatan bahan api yang paling diketahui umum dan mendedahkan kebenaran tentang kecekapan bahan api. Beliau kemudian akan menguji pengetahuan ini apabila mengambil bahagian dalam Cabaran Memandu Selebriti Shell FuelSave, dan menyertai para bintang terkemuka lain di rantau ini untuk memandu jauh dengan menggunakan jumlah tenaga yang paling kurang.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Shell Eco-marathon serta petua menjadikan bahan api lebih menjimatkan dan tahan lebih lama, sila layari www.shell.com/my.

 

Barisan Telefilem & Filem Hebat Sepanjang Minggu Raya Pertama Di TV3

LogoAnugerahSyawal (2)

Hanya tinggal dua minggu lagi sebelum umat Islam menyambut bulan Syawal. Seperti tahun-tahun lepas, TV3 meneruskan tradisi untuk menyediakan pelbagai program menarik menerusi filem, telefilem, majalah & dokumentari, variasi, muzikal dan program kanak-kanak yang bertemakan ‘Anugerah Syawal’ sepanjang sambutan Hari Raya bermula 27 Julai 2014.

Istimewa buat tatapan penonton setia TV3, drama-drama eksklusif yang merupakan kesinambungan daripada drama bersiri popular akan menghiasi kaca TV sepanjang minggu raya pertama pada waktu perdana bermula 9.00 malam menerusi slot Fiesta Raya. Antaranya, Love You Mr. Arrogant Raya, Sebenarnya Saya Isteri Dia Raya, Kampung Girl Raya dan Yes, Boss! Raya. Selain itu, TV3 turut menyiarkan telefilem baharu iaitu Spain Uools. Tidak ketinggalan juga filem blockbuster iaitu Balistik lakonan Dato’ Rosyam Nor yang merupakan tersebut merupakan siaran pertama menerusi TV3!

Poster Love You Mr Arrogant Raya

Fiesta Raya: Love You Mr Arrogant Raya

Menjelang Raya, 9.15 malam

Kebahagiaan rumah tangga Zara dan Irham bersama anak sulung mereka, Nazriel Iman yang baru berusia setahun kembali teruji. Konflik mula melanda hidup Zara dan Irham apabila Zara membuat keputusan untuk berkerja di pejabat lamanya. Irham dan Farizah (isteri Hardy) mula menerima gambar-gambar yang menunjukkan kecurangan antara Zara dan Hardy.

Pelakon: Azlee Khairi, Zara Zya, Idris Md Diah, Mustafa Kamal, Fadillah Mansor, Norish Karman, Azizul Azman.

Poster SSID Raya

 

Fiesta Raya: Sebenarnya Saya Isteri Dia Raya

Hari Raya Pertama, 9.00 malam

Firash (Izzue Islam) dan Syafa (Tiz Zaqyah) telah dikurniakan sepasang anak kembar yang bernama Errand dan Rieya. Bagaimanakah Firash berhadapan dengan situasi baharu ini?

Pelakon: Izzue Islam, Tiz Zaqyah, Azlee Khairi, El Faezah Al Haq, Watie Saldi 

Kampung Girl Raya

Fiesta Raya: Kampung Girl Raya

Hari Raya Kedua, 9.00 malam

Ain sedang sarat mengandung dan mengidam makanan yang pelik-pelik di kampung. Asyraf cuba memenuhi permintaannya dalam mencari nangka dan daging unta walaupun terpaksa menghadapi pelbagai masalah untuk mendapatkan makanan tersebut.

Pelakon: Akim Ahmad, Nad Zainal.

 Poster Yes Boss! Raya

Fiesta Raya: Yes Boss! Raya

Hari Raya Ketiga, 9.00 malam

Apakah yang akan berlaku apabila Aryana dan Irham bertukar perwatakan selepas mereka berkahwin? Aryana menjadi ‘bossy’ manakala Irham hanya mengikut kehendak Aryana. Aryana enggan berkerja dengan Irham dan lebih selesa menjadi suri rumah sepenuh masa. Irham sering meluahkan masalah kepada pembantu peribadi baharunya, Nisya. Irham mula rapat dengan Nisha yang lemah lembut.

Pelakon: Fahrin Ahmad, Emma Maembong, Nur Risteena.

 

Fiesta Raya: Balistik

Hari Raya Keempat, 10.00 malam

Balistik menceritakan kisah Saga, seorang pembunuh upahan dan ahli kongsi gelap. Dengan keadaan hidup beliau yang berisiko tinggi telah memaksa Saga meninggalkan isterinya Salina dan anak mereka. Selepas enam tahun, semasa menjalankan misi, Saga kebetulan bertemu dengan Salina semula, tetapi dia kini isteri Inspektor Nizam, yang merupakan sahabat baik Saga ketika mereka berada di rumah anak yatim.

Tersepit di antara dua pilihan sama ada kawan baik ataupun tugasnya, Inspektor Nizam telah pun memutuskan untuk menangkap Saga, manakala Saga pula telah diperintahkan oleh ketua kongsi gelap untuk membunuh mana-mana pegawai penguatkuasa undang-undang yang menghalang kegiatan mereka.

Pelakon: Dato’ Rosyam Nor, Adi Putra, Rita Rudaini, Rykarl Iskandar, Jack Lim, Gan Mei Yan.

Spain-Uoolss

Fiesta Raya: Spain Uoolss

Hari Raya Kelima, 9.00 malam

Mak Cun telah memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000 sebagai ibu tunggal terbaik di kampungnya. Dia bercadang untuk memberikan kejutan kepada anak perempuannya yang kini menetap di Sepanyol. Namun, Mak Cun berhadapan dengan masalah di Sepanyol kerana dia telah kehilangan alamat anaknya.

Pelakon: Nora Danish, Shaheizy Sam, Erma Fatima 

Pastikan anda menonton telefilem-telefilem tersebut pada minggu raya pertama di TV3. Layari laman web www.ramadanraya.com.my untuk mengikuti perkembangan terkini #SeindahRamadan dan #AnugerahSyawal.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.