Tag Archives: Fazreen Rafi

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember | Di hari pernikahan, hatinya berkata, dengan nama Allah, dia tetap akan memilih Rizman, iaitu abang angkat yang terlalu membenci dirinya untuk menjadi imamnya. Demi Allah, Qasya tetap dengan pilihannya itu walaupun perlu berdepan dengan kebencian dari suaminya sendiri mahupun keluarga angkatnya.

Menyusuli “Dhia Sofea”, nantikan drama bersiri baharu “Aku Pilih Kamu” lakonan Hafidz Roshdi (Rizman), Dayana Roza (Qasya Azara), Fazreen Rafi (Adam), Ryzal Jaafar (Farouk), Elizad Sharifuddin (Nadiya), Sasqia (Isabel), Zila Bakarin (Datin Rosnaida), Arash Mohd. (Dato’ Mizal), dan Rahhim Omar (Tan Sri Zainal), setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam, bermula pada 3 Disember 2015. Drama bersiri 15 episod arahan oleh Zul Huzaimy Marzuki ini merupakan hasil nukilan skrip oleh Rozie Rashid.

Hidup Qasya Azara berubah dalam sekelip mata selepas ibu kandungnya meninggal dunia. Ayahnya, Zainal seorang pengusaha eksport import jarang berada di rumah kerana urusan perniagaan di luar negara. Qasya yang baru berumur 12 tahun terpaksa berpisah dengan kakaknya kerana Zainal tidak mampu menjaga kedua-duanya. Kakak Qasya telah dihantar ke kampung untuk dijaga oleh nenek mereka.

Selepas Zainal berkahwin semula, Qasya tinggal bersama ibu tiri dan adik tirinya yang selalu menderanya sehingga dia dihalau dari rumah oleh ibu tirinya. Qasya membuat keputusan untuk tidak balik ke rumahnya lagi.

Dia kemudian dijadikan anak angkat oleh Dato’ Mizal dan Datin Rosnaida. Walaupun dikasihi oleh Dato’ Mizal serta anak pertama mereka Adam, Qasya membesar dengan penuh kebencian daripada ibu angkatnya serta dua lagi abang angkatnya iaitu Farouk dan Rizman. Penghinaan, cercaan dan kekasaran daripada Datin Rosnaida, Farouk dan Rizman terhadap Qasya hampir berlaku setiap hari.

Namun kesakitan yang dirasai terubat dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Adam dan ayah angkatnya, yang mana perkara itu tidak ada di rumah ayah kandungnya. Layanan-layanan itu dihadapi oleh Qasya sehinggalah mereka meningkat dewasa.

Dato’ Mizal mengarahkan Qasya dan Rizman menikah dengan alasan supaya Qasya mampu merubah Rizman. Dengan modal harta dan jaminan untuk melepaskan Rizman yang ditangkap kerana dadah, keputusan Dato’ Mizal dituruti oleh ahli keluarganya. Dalam hati Qasya tetap berkata, itu jodohnya, dengan nama Allah dia berjanji suami yang membencinya itu akan tetap menjadi pilihannya.

Poster Aku Pilih Kamu

Perkahwinan itu membuatkan hati Adam terluka. Adam yang sememangnya memasang niat ingin bernikah dengan Qasya sangat kecewa dan membuat keputusan untuk meninggalkan rumah dan merantau mencari kekuatan diri. Rizman tetap tidak dapat menerima Qasya kerana firasatnya Qasya bernikah dengan Rizman supaya dengan mudah dapat menguasai harta Dato’ Mizal.

Perkenalan keluarga Dato’ Mizal dan Tan Sri Zainal membawa kepada pernikahan Farouk dengan Nadiya. Sejak itu, Isabel, anak tiri kepada Tan Sri Zainal mula rapat dengan Datin Rosnaida. Datin Rosnaida sangat sukakan Isabel berbanding Nadiya kerana Isabel mempunyai perangai yang mirip dengannya yang moden dan gilakan wang. Datin Rosnaida yang sememangnya membencikan Qasya mencari jalan untuk memutuskan hubungan Qasya dan Rizman. Dia telah berpakat dengan Isabel untuk memerangkap Rizman.

Qasya sedih melihat pernikahan suaminya dengan wanita lain. Hidup bermadu sangat menyakitkannya, diseksa perasaannya saban hari oleh Rizman dan Isabel. Sebenarnya Qasya maklum yang Tan Sri Zainal ialah ayah kandungnya, tetapi dia mendiamkan perkara itu kerana Tan Sri Zainal tidak pernah mencarinya.

Qasya terima sahaja setiap perlakuan Isabel dan Nadiya walaupun sentiasa menyakitinya kerana dia tahu mereka berdua ialah saudara kandung dan saudara tirinya. Dia tabah menghadapi semua dugaan demi janjinya dengan nama Allah supaya Rizman menjadi suami mithali tercapai. Demi Allah, Rizmanlah pilihan pertama hatinya. Bagaimanakah Qasya mengatasi rintangan dan cabaran yang hadir dalam hidupnya? Saksikan “Aku Pilih Kamu” menerusi slot Samarinda TV3 pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam bermula 3 Disember 2015.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

7 Suami – Mampukah Bahagia Dikecapi Buat Kali Terakhir?

7 Suami-Ihsan

7 suami drama yang bersiaran di slot ratu setiap Selasa dan Rabu yang diterajui oleh pelakon hebat Izreen Azminda bakal berakhir pada 25 Mac ini.  Kisah benar yang diangkat menjadi drama ini merupakan hasil arahan Heykal Hanifah dan diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. 7 Suami turut diwarnai dengan kehadiran 7 lelaki berbeza untuk menguatkan jalan cerita ini iaitu Aiman Hakim Ridza, Kaza, Yuswaisar, Esma Daniel, Azhar Sulaiman, Fazreen Rafi dan Azhan Rani.

Biarpun hatinya kian kali diguris luka hanya kerana bahagia yang ingin dikecapi Yah tabah mengharungi segala dugaan.  Perkahwinan dengan Haji Dollah yang musnah telah membawa Yah jauh ke Kuala Terengganu dan cintanya bersama Budi bertaut. Namun cinta mereka tidak bertahan kerana sikap Budi yang suka berjudi. Perjalanan Yah mencari bahagia diteruskan lagi apabila Yah sudi untuk menerima cinta Dato’ Naza yang ikhlas mencintai dan sanggup menjadi isteri kedua.  Kerana cemburu, Yah dimusuhi isteri pertama sehingga Yah keguguran. Dato’ Naza tidak sanggup Yah dikasari lagi, lalu Yah diceraikan.

7 Suami-Yah 2

Hampir setahun Yah menjanda, sehingglah sekali lagi dia yang menjadi pembantu di kedai makan Kamal mula rapat dan akhirnya mereka disatukan.  Malang sekali lagi menimpa apabila Kamal lumpuh dan akhirnya pergi meninggalkan Yah selama-lamanya. Yah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya.  Kepulangan semula Yah tidak disenangi Suri yang sudah sah menjadi isteri Ihsan. Suri pula menabur fitnah apabila dia telah memerangkap Yah dengan Azli sehingga mereka dituduh berkhalwat.  Azli yang berasa kasihan sanggup untuk berkahwin dengan Yah. Perkahwinan mereka yang tidak disulami rasa cinta membuatkan Azli semakin berputus asa dan menceraikan Yah.

Yah kembali mencari Kak Timah, kakak Kamal yang sedang sakit.  Tanpa Yah duga, arwah Kamal ada meninggalkan sejumlah wang untuk Yah dan Yah menggunakan wang peninggalan Kamal untuk membuka kedai runcit. Yah berkenalan dengan Luqman, kerana sikap Luqman yang romantik dan penyayang Yah berkahwin untuk kali keenam.  Kali ini Yah telah bersumpah, jika perkahwinan mereka tidak berjaya Yah tidak akan berkahwin lagi.  Tanpa Yah sedari, Luqman adalah seorang bapak ayam dan jahat di belakang Yah.  Ihsan yang kembali menjejaki Yah semenjak kematian Suri mendapat tahu mengenai keburukan Luqman melalui Ah Keong, tetapi Yah tidak mahu percaya mengenai kejahatan Luqman.

7 Suami-Ihsan2

Mungkinkah Yah akan terus buta dengan kejahatan Luqman yang berselindung disebalik kebaikannya terhadap Yah? Bagaimana cinta dihatinya yang hanya untuk Ihsan setelah dia bersumpah untuk tidak berkahwin lagi?  Saksikan kesudahan episod akhir 7 Suami ini pada hari Selasa, 25 Mac 2014, jam 8.30 malam di TV9. Untuk maklumat lanjut sila layari www.tv9.com.my dan www.tonton.com.my untuk siaran ulangan.