Puluhan ribu peminat kereta kustom, motosikal modifikasi dan budaya street dijangka membanjiri MAEPS apabila Art of Speed 2026 kembali berlangsung pada 1 dan 2 Ogos ini.
Memasuki edisi ke-15, festival gaya hidup automotif ini terus berkembang sebagai antara acara paling dinanti di Malaysia. Lebih menarik, edisi kali ini turut menyaksikan kembalinya SoundCircus Festival, festival muzik yang menghimpunkan lebih 50 pemuzik dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.

Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung boleh menikmati pameran automotif, seni kustom serta persembahan muzik secara langsung dalam satu festival besar.
SOUNDCIRCUS KEMBALI DENGAN LEBIH 50 PEMUZIK
Selepas dua tahun tidak dianjurkan, SoundCircus Festival kembali sebagai salah satu tarikan utama Art of Speed 2026.
Festival muzik ini akan berlangsung di kawasan seluas kira-kira empat ekar dengan enam pentas persembahan. Ia menghimpunkan artis dari pelbagai genre muzik alternatif, indie dan rock Nusantara.

Antara artis yang bakal tampil termasuk Tenxi, Cokelat X Ella, Masdo dan Iqbal M, selain puluhan lagi pemuzik dari Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival, Asep Ahmad Iskandar, berkata festival ini terus menjadi ruang penting untuk komuniti kreatif.

“Festival ini bukan sekadar hiburan. Ia menjadi platform yang menghimpunkan komuniti automotif, muzik dan seni kreatif dalam satu acara besar,” katanya.
KOLABORASI ARTIS NUSANTARA JADI TARIKAN
Edisi kali ini turut menampilkan beberapa persembahan istimewa yang menggabungkan artis dari generasi berbeza.
Antaranya kolaborasi Cokelat X Ella menerusi konsep Takhta Ratu Nusantara yang menghimpunkan dua ikon rock wanita dari Indonesia dan Malaysia dalam satu pentas eksklusif.

Selain itu, konsep Legends X Renegades bakal mempertemukan Jemson dan Def Gab C, manakala kumpulan Slatan akan meraikan ulang tahun mereka melalui persembahan khas Hari Slatan.

Festival ini turut menampilkan elemen budaya tempatan menerusi persembahan Dikir Kustom oleh Issey bersama The Clique yang menggabungkan muzik tradisional dengan budaya kustom moden.
FESTIVAL AUTOMOTIF PALING IKONIK MALAYSIA
Sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu, Art of Speed berkembang menjadi festival budaya automotif terbesar di Malaysia.

Acara ini menghimpunkan komuniti kereta kustom, motosikal modifikasi, seni ilustrasi automotif, streetwear dan budaya kreatif dalam satu festival gaya hidup yang unik.
Penganjuran tahun ini turut mendapat sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik dalam mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan acara.

Dengan gabungan budaya automotif dan muzik alternatif, Art of Speed 2026 dijangka sekali lagi menjadi antara festival paling meriah di negara ini.
Selebriti Online Portal Hiburan Dan Gaya Hidup Malaysia