Tag Archives: Filem OLABOLA

Filem OLABOLA Kutip RM2.5 JUTA Dalam Masa 4 Hari

Filem OlaBola yang telah membuka tirai pada 28 Januari 2016 menerusi 126 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei, ternyata telah mencipta gelombangnya tersendiri apabila berjaya meraih RM2.5 juta dalam tempoh 4 hari.

IMG_4102

Filem yang diarahkan oleh pengarah tersohor, Chiu Keng Guan ini turut mendapat sokongan dan reaksi positif daripada semua rakyat Malaysia. Malah, OlaBola turut memberikan impak besar di laman-laman sosial dan menjadi trending di laman Twitter sebanyak 6 kali. Istimewanya, rata-rata tweet di laman Twitter dibanjiri oleh pemilik akaun dari pelbagai lapisan rakyat Malaysia.

IMG_5089

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, “Filem fiksyen OlaBola bukan hanya memaparkan sukan bola sepak sahaja, tetapi ia menonjolkan semangat dan perpaduan yang ada di Malaysia. Filem ini juga memiliki jalan cerita yang sesuai ditonton oleh semua lapisan rakyat di mana peminat sukan bola sepak boleh menikmati aksi bola sepak dan semangat berpasukan, manakala penonton yang meminati aksi komedi pasti akan terhibur dengan gelagat lucu yang ditampilkan. OlaBola juga turut membawa penonton mengimbau kembali era tahun 80-an menerusi pakaian, rambut, pesta karnival dan stadium pada ketika itu. Filem ini telah menerima pujiaan dari sudut kualiti produksi, muzik skor dan sinematografi.”

OB4

“Pihak kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menonton filem ini dan menguar-uarkan serta mengajak sahabat dan kaum keluarga yang masih belum menonton untuk ke pawagam menyaksikan filem ini,” tambah Henry Tan lagi.

Untuk mengikuti info terkini tentang OlaBola, sila layari www.olabola.com.my, www.olabola.tv,   www.youtube.com/astroshaw, www.facebook.com/astroshaw dan www.instagram.com/astroshaw.

‘ARENA CAHAYA’ Lagu Tema Filem OLABOLA

Selepas kejayaan filem The Journey pada tahun 2014, kini pengarahnya Chiu Keng Guan kembali dengan buah tangan terbarunya, OlaBola. Judulnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan penonton sedia maklum tentang intipati penceritaannya adalah sukan bola sepak. Bagi menambahkan sintimen emosi dalam filem ini, sebuah lagu telah dihasilkan untuk dijadi pelengkap. Istimewanya, penyanyi dan penulis lagu yang kini sedang menempah nama di negara Amerika Syarikat, Zee Avi telah diangkat sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola yang bertajuk ‘Arena Cahaya’.

Arena Cahaya telah dihasilkan oleh Zee bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi yang juga kini berada di Amerika Syarikat. Zee bukan sahaja menyanyikan lagu ini tetapi dia turut terbabit dalam susunan muzik.

Menurut Zee, beliau berasa teruja dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan pengarah berbakat besar, Chiu. “Sememangnya saya amat meminati hasil-hasil karya Chiu. Apabila Chiu menghubungi saya melalui laman sosial Facebook dan meminta saya untuk menghasilkan lagu tema utama filem beliau, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang”.

“Lagu ini telah ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa. Saya berharap agar lagu ini mampu memupuk semangat dan mengembalikan sorak juang rakyat Malaysia,” tambah Zee lagi.

Pengarah filem OlaBola, Chiu Keng Guan berkata pemilihan Zee sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola adalah kerana bakatnya dalam menghasilkan lagu yang segar dan mengikuti trend semasa. Tambahan pula, kehadiran Zee dalam industri muzik tanah air sememangnya diterima oleh peminat di Malaysia. Chiu juga mengkagumi perjalanan karier Zee dalam industi muzik di mana Zee bermula hanya dengan video nyanyian menerusi laman YouTube sehingga berjaya menjadi artis Malaysia pertama yang menembusi carta US Billboard Hot 200 dan itu ternyata menjadi inspirasi buat semua.

Sewaktu sesi pembikinan lagu ini, Zee telah pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Chiu bagi menonton dan menghayati filem OlaBola. Meskipun hanya menyaksikan sedutan klip dari filem itu, Zee akui bahawa filem ini berjaya membuat hatinya tersentuh dengan jalan cerita serta lakonan mantap oleh setiap pelakon dan itu memberi dorongan buatnya untuk menulis sebuah lagu yang mampu menterjemahkan sentimen filem tersebut.

Pembikinan lagu Arena Cahaya ini mengambil tempoh masa satu bulan dan lagu ini dihasilkan dengan lirik yang penuh makna dan mampu menyentuh emosi. Menariknya, apabila kali pertama Chiu mendengar lagu ini setelah ia dihasilkan, Chiu terus berpuas hati tanpa ada perubah lirik serta alunan muzik dan merasakan lagu ini sememangnya sinonim dengan filemnya.

Zee Avi

Zee yang juga merupakan salah seorang peminat pasukan bola sepak negeri Sarawak, yakin bahawa filem OlaBola bakal menjadi sebuah filem terbaik dan mampu mencipta fenomenanya tersendiri. Dia juga berharap agar lagu Arena Cahaya akan diterima bukan sahaja oleh peminat filem ini malah semua seluruh rakyat Malaysia.

Lagu Arena Cahaya akan mula dimainkan di radio bermula pada hari ini menerusi radio ERA FM, Sinar FM, hitz FM, MIX fm, Lite FM, THR Gegar, THR Raaga, MY FM dan MELODY FM.

OlaBola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini memaparkan semangat juang sebuah pasukan bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam kesungguhan untuk mengharumkan nama negara. Filem bergenre drama ini juga turut mengetengahkan nilai-nilai perpaduan yang mampu mendorong rakyat Malaysia sama-sama mencapai impian.

OlaBola bakal menemui penonton di layar perak pada awal tahun 2016. Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan produksi oleh Woo Hoo Pictures. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.olabola.tv dan ikuti Instagram olabola.tv untuk berita dan informasi terkini.