Tag Archives: FTG

Pertempuran FTG dan Sil Khannaz Di Medan Rockstage VI

Impian peminat muzik berat tempatan khususnya pasti akan terus dirialisasikan oleh Rockstage Entertainment.  Fasa pandemic covid 19 yang membelenggu ketika itu merencatkan aktiviti muzik, tidak kira muzik ekstrim mahupun mainstream.

Era peralihan endemik seolah-olah memberi ruang kepada khalayak untuk terus melakukan segala aktiviti yang telah sekian lama membungkam jiwa.  Edisi ke VI Rockstage yang bertemakan Metal Tempur telah mempertaruhkan FTG dan Sil Khannaz sebagai jentera pemusnah selain menggerakkan jentera dominan seperti Langsuir, Farasu, SOG (Sekumpulan Orang Gila), Massacre Conspiracy dan Naratu.

Tema Metal Tempur bakal berlangsung di Chin Woo Stadium, Kuala Lumpur pada 25 Februari nanti.  Konsert yang akan bermula sekitar jam 2 petang itu pastinya menjanjikan kelainan buat penggemar muzik berat.

“Kami pernah mengadakan konsert sebegini di Stadium Chin Woo, lantaran segala fasiliti yang diperlukan menepati kriteria yang diperlukan maka sekali lagi kami memilih untuk mengadakannya di sini.  Selain itu ianya cukup strategik selain mempunyai kawasan parking yang luas”, ujar Talib Othman.

“Siapa tidak kenal FTG dan Sil Khannaz? Rata-rata pencinta genre metal cukup mengenali kedua-dua band berpengaruh ini yang sarat dengan lagu-lagu bertenaga, keras dan padu.  Sememangnya, FTG dan Sil Khannaz mempunyai pengaruh yang besar dalam persada seni muzik tanahair, lebih-lebih lagi keduanya mampu menerobos pasaran mainstream”, tambahnya

Pengarah Urusan Rockstage Entertainment, turut menjelaskan bahawa konsert tersebut turut menjadi saksi pelancaran abum terbaru FTG yang berjudul “Army Of God” dan Sil Khannaz,The  Madness Of Fear.

“Mungkin ramai yang telah sedia maklum, bermula daripada album Kau Jangan Kurang Ajar FTG telah bersama-sama dengan Rockstage.  Kini tibalah giliran Sil Khannaz untuk bernaung di bawah jenama Rockstage”, ujarnya ketika ditemui sewaktu sidang media bersempena konsert tersebut di Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu.

Aksi dua ikon metal ini yang ‘lama berehat’ dan kini kembali beraksi di pentas konsert dilihat mengundang keinginan pecinta muzik berat untuk ikut ‘headbanging’ bersama.  Khususnya pada era penghujung 90-an dan awal milennium apabila pasaran muzik mainstream seolah-olah dikejutkan dengan ‘amukan’ muzik-muzik underground.

“Kami turut berterima kasih kepada Rockstage Entertainment kerana masih mahu bekerjasama dengan FTG meskipun pelbagai karenah ‘orang tua’ yang terpaksa beliau hadapi”, ujar Tajul selaku vokalis

“InshaAllah kami akan memberikan 100 peratus komitmen demi menjayakan konsert itu nanti.  Persediaan fizikal dan mental serta pemilihan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan turut menjadi agenda utama FTG.  Sekiranya anda fan tegar FTG, hadirlah berikan sokongan kepada kami”, tambah Azmi Ibrahim selaku bassis FTG.

Berlainan pula dengan Sil Khannaz yang menyifatkan bahawa pentas Metal Tempur seakan menguji kewibaan mereka sebagai band metal lama yang akan menyuntik jiwa remaja kerana sebahagian lagu-lagu yang bakal dipersembahkan di petik daripada album terbaharu mereka nanti.

“Sudah pasti Sil Khannaz tidak mahu (kalah awal) dalam battle itu nanti, kehandalan ‘line-up’ Sil Khannaz ‘bermain’ dengan instrumen masing-masing, pasti akan menjanjikan memori manis untuk dikenang para penonton ketika konsert itu nanti”, ujar Abdul Ramzee selaku vokalis Sil Khannaz.

“Buat peminat yang dahagakan ‘buah tangan’ dari Sil Khannaz, anda boleh menikmati album terbaru, The Madness Of Fear yang saya boleh janjikan ianya adalah antara hasil terbaik yang pernah kami rakamkan selain menyaksikan ‘air tangan’ Sendat seorang Sound Engineer yang tidak asing lagi di kalangan penggemar muzik bawah tanah”, tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai album tersebut, Hashim Pestilence selaku bassis Sil Khannaz mengatakan bahawa album tersebut akan dikeluarkan dalam 4 format berbeza iaitu kaset, Cd, LP dan juga Digipack.  Pembeli juga bakal mendapat Poster dan poskad yang cukup terhad pengeluarannya.

“Kita berharap peminat muzik metal baru dan lama tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert ini.  Setiap band akan beraksi selama satu jam 45 minit di sebelah siang dan 1 jam pada sebelah malam” tambah Talib.

Tiket berharga RM95 (pembelian awal sah laku sehingga 7 Feb) dan RM110 yang boleh didapati menerusi ubertickets atau di lokasi konsert berlangsung.

FTG, Sil Khannaz dan Amuk Gegar Stadium Chin Woo Mac Ini

Melihatkan sambutan baik yang diberikan peminat kepada siri konsert Rockstage sebelum ini, seolah-olah terus memberi inspirasi buat penganjur.  Malah pelbagai resepi cuba di implimentasikan  agar penonton yang hadir dapat merasai aura ‘konsert’ sebenar sekaligus merasakan setiap wang yang di keluarkan untuk membeli tiket berbaloi dengan nilainya.

Pelbagai tema di terapkan kali ini dengan tema Dominasi King Barbarik, konsert Rockstage V akan menggandingkan Sil Khannaz dan Amuk selain mengekalkan band FTG yang menjadi penanda aras kepada konsert tersebut.

Rockstage V akan berlangsung pada 2 Mac ini dimana ianya bakal berlangsung di Stadium Chin Woo, Jalan Hang Jebat Kuala Lumpur, jam 8 malam.

FTG, Amuk dan Sil Khannaz bukanlah nama asing dalam kalangan peminat muzik berat tanah air. Kredibiliti serta komitmen yang jitu dalam melahirkan karya-karya hebat sememangnya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

Meskipun pernah beberapa kali tampil dalam konsert dan pentas yang berlainan namun karisma yang dimiliki FTG sentiasa menjadi perhatian peminat.  Tidak hairanlah mengapa pihak penganjur, Rockstage Entertainment masih lagi ‘merantai’ kumpulan ini.

Nama Sil Khannaz sememangnya sinonim dengan muzik death metal. Dalam kalangan peminat muzik berat di negara ini, mereka cukup dikenali. Dengan pengaruh yang besar, mereka berjaya merakamkan lima album dan dua buah EP yang mendapat sambutan hangat peminat.

Api Sil Khannaz sememangnya tidak pernah padam, tidak hairanlah jika mereka terus memarakkan api itu dengan album terbaru Tawanan Dosa.   Eksklusif buat mereka yang hadir ke Rockstage V Sil Khannaz yang di barisi oleh Jaie (vokal) Dark-e (gitar), Roi (gitar), Neer Hashirim (bass) dan Afzal (dram) turut menampilkan CD Khanzab yang akan turut mengembeling tenaga demi mewarnakan lagi jalur muzik bawaan mereka.

Bagi penggemar wirama berat acuan melayu, nama Amuk bukanlah asing malah karyaan mereka di terjemahkan dalam melodi dan lirikal yang dihasilkan sentiasa menjadi perhatian peminat muzik rock tempatan.  Amuk bakal menampilkan barisan penggempur yang cukup hebat di posisi masing-masing antaranya ialah Yan Lefthanded (bass), Shahrul Ekamatra (gitar), Kid Search (gitar) dan A Tonk DGC (drum) selain Bandi selaku vokalis.

Wakil penganjur, Talib Othman berkata, Konsert Rockstage V ini adalah kesinambungan daripada konsert Rockstage IV yang di adakan di Pulau Pinang.

“Berikutan sambutan menggalakkan daripada peminat, kami selaku penganjur memberi ruang dan peluang kepada peminat FTG, Amuk dan Sil Khannaz untuk menikmati persembahan yang saya rasakan ianya cukup berbeza daripada siri konsert Rockstage yang di adakan sebelum ini.

“Walaupun ia berlainan konsep, saya pasti setiap kumpulan mempunyai kelebihan mereka sendiri,” ujarnya.

Talib menjanjikan peminat akan berpuas hati dengan konsep persembahan dan sistem bunyi yang ditampilkan tentunya akan meninggalkan nostalgia tersendiri buat yang hadir.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini berharga RM 75 dan boleh didapati di kaunter jualan di lokasi konsert berlangsung pada hari persembahan.

FTG dan XPDC Bakal Gegar Stadium MABA 7 Oktober Ini

Kumpulan ‘otai’ metal rock XPDC yang terkenal dengan julukan “raja funfair ” akan kembali menggegarkan pentas selepas sekian lama tidak beraksi di hadapan para peminat setianya. Kali ini XPDC yang dibarisi oleh Mael , Jeff Giegel , Zuar  dan Amy  akan beraksi di konsert “Rockstage II” yang bakal berlangsung di Stadium MABA ( Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia), Kuala Lumpur pada 7 Oktober ini.

Konsert “Rockstage II”  ini diadakan khas untuk para peminat kumpulan XPDC dan FTG  yang tidak putus-putus menyokong pembabitan mereka selama lebih 20 tahun di persada seni tempatan. Pastinya XPDC bakal menjanjikan persembahan yang terbaik buat peminat mereka.

Selain XPDC, kumpulan yang bernuansakan genre thrash metal tempatan iaitu FTG juga turut di gandingkan bersama. 2 jenama yang cukup dikenali di kalangan pemuzik serta pencinta muzik underground tempatan. Kewibawaan, kredibiliti, karisma serta energi dalam muzik genre yang di naungi sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kejayaan demi kejayaan mereka telah lakarkan, kini setelah lebih 25 tahun berada di dalam industri muzik Malaysia FTG sekali lagi telah diberi penghormatan untuk beraksi bersama-sama dengan kumpulan yang cukup ramai bilangan peminat setianya. Pastinya penyatuan semula line-up asal FTG iaitu Tajul, Jac, Nizam dan Mie bakal memberi impak yang besar buat peminat pada hari persembahan itu nanti.

Kumpulan yang bernuansakan rock 80an, Metalzonn akan membuka tirai Konsert “Rockstage II” anjuran Rockstage Entertainment.

“Penganjuran Rockstage II ini adalah berlanjutan daripada konsert Rockstage pertama yang telah di adakan pada 4 februari yang lalu dimana ketika itu kami tampilkan kumpulan MAY, SOFEA/SYJ dan Amuk”, ujar Talib selaku penganjur ketika ditemui.

“Lantaran sambutan yang menggalakkan di kalangan peminat ketika konsert pertama maka kami selaku penganjur sekali lagi memberi ruang dan peluang kepada peminat kumpulan FTG dan XPDC khususnya”

“Sungguhpun ianya berlainan konsep namun saya pasti setiap kumpulan mempunyai kelebihan mereka sendiri.  Apa yang boleh saya janjikan buat peminat kedua-dua kumpulan ini adalah dari segi konsep serta sistem bunyi yang pasti memberi impak serta ianya akan tinggalkan nostalgia sewaktu anda menyaksikan persembahan mereka nanti”, tambah Talib lagi.

“jualan tiket hingga kini cukup memberangsangkan malah ada juga peminat daripada Sabah, Sarawak dan Brunai sudah membuat tempahan tiket semata-mata untuk menyaksikan kehebatan kumpulan pujaan mereka”

Konsert “Rockstage II” bakal bermula pada jam 8 malam. Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM75.00 dengan menghubungi 012-2937976 / 019-2407994 / 03-78314276 dan di kaunter jualan Stadium MABA pada hari konsert.

FTG dan Necrotic Chaos Bakal Gegar Hard Rock Cafe Melaka

Selepas kejayaan showcase eksklusif Sil Khannaz dan Brain Dead pada 14 November lalu, persada muzik underground tempatan terus mendapat tempat yang cukup istimewa di hati peminat tegar muzik ekstrim. Berita kejayaan kedua-dua kumpulan yang berjaya meletakkan diri mereka sebagai ikon Hard Rock Cafe Melaka terus di canang hingga kini.

Berlanjutan daripada evolusi yang telah ditempa, pentas Hard Rock Cafe Melaka sekali lagi akan menjadi medan tempur muzik ekstrim tempatan. FTG dan Necrotic Chaos bakal meledakkan nuansa thrash dan brutal death metal di pentas yang cukup berprestij itu.

Di bawah program “Live Music”, Hard Rock Cafe Melaka mempertaruhkan 2 jentera yang cukup dikenali di kalangan pemuzik serta pencinta muzik underground tempatan. Kewibawaan, kredibiliti, karisma serta energi dalam muzik genre yang di naungi sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

FTG adalah akronim kepada Freedom Thats Gone yang membawa irama thrash sudah tidak perlu di perkenalkan. Mereka umpama peledak kepada industri muzik berat tempatan kerana berjaya membolosi persada muzik mainstream setelah muncul dengan EP yang berjudul “Freedom Thats Gone” pada tahun 1991 di bawah label Karun Seni. Pada tahun yang sama FTG telah mempertaruhkan 2 buah lagu, Behind This Wall dan Kill Exxl dalam rancangan Muzik-Muzik.

FTG_zpsjhua3yxr

Seterusnya mereka tampil dengan album sulung, After The Promise yang telah diriliskan pada tahun 1992 di bawah label Valentine Sound Production. Sehingga kini FTG mempunyai 10 buah album studio antaranya ialah Spirit To Rebel (1994),To The Front (1996), Aku Tak Peduli (1998),Made In Malaysia (1999), FTG (2000), Made In Malaysia Vol.2 (2001), Reborn (2002),Stop This Madness (2004) dan Kuasa (2006).

Kejayaan demi kejayaan mereka telah lakarkan, kini setelah lebih 25 tahun berada di dalam industri muzik Malaysia FTG telah diberi penghormatan untuk beraksi di Hard Rock Cafe Melaka. Persembahan eksklusif ini hanya akan memperdengarkan rangkaian lagu-lagu daripada EP “Freedom Thats Gone” dan album pertama “After The Promise”. Pastinya penyatuan semula line-up asal FTG iaitu Tajul, Jac, Nizam dan Mie bakal memberi impak yang besar buat peminat pada hari persembahan itu nanti.

Jenama Necrotic Chaos seakan sudah sebati buat penggemar nuansa muzik keras tempatan, apatah lagi band kelahiran Ipoh, Perak ini sememangnya sentiasa menjadi igauan buat penggemar setianya. Irama dan adunan lirik yang dihasilkan sentiasa menjadi perhatian peminat samada di Malaysia mahupun di negara luar.

Kewujudannya sekitar tahun 1992 seolah-olah memberi impak kepada legasi Ipoh Metal Militan. Selepas hadir dengan album studio “Regime Grotesque”, nama Necrotic Chaos sentiasa meniti dari bibir ke bibir peminat yang dahagakan sebuah album yang cukup segala rencah ekstrim metalnya, malah album keluaran Ultra Hingax Production ini mendapat ulasan positif di majalah-majalah muzik tempatan dan luar negara.

Selepas itu mereka muncul dengan EP “Black As Insect” pada tahun 2005. Di bawah bendera Necrotic Chaos yang ditunjanggi oleh penggempur-penggempur hebat seperti Dark-E, Sam Batara, Adek dan Wira sudah pasti bakal mewarnai pentas bersama-sama dengan FTG.

Dua jentera, FTG dan Necrotic Chaos bakal di satukan di Hard Rock Cafe Melaka pada 27 Februari ini. Dengan tiket serendah RM40.00 anda bakal disajikan dengan santapan muzik yang sentiasa malar segar seraya mengembalikan nostalgia sewaktu anda membesar dengan muzik-muzik mereka. Showcase eksklusif ini akan bermula sekitar jam 4 petang dan berakhir pada jam 6 petang.

Pastikan janji temu anda bersama mereka, sebarang pertanyaan mahupun urusan pembelian tiket boleh layari   www.hardrock.com/melaka  atau datang sendiri ke Hard Rock Café Melaka.  Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi enquiries@hardrockcafe-melaka.com atau hubungi talian +606 2925188