Tag Archives: Hard Rock Cafe Melaka

World Burger Tour Kembali Di Hard Rock Café

Pastinya fanatika burger di seluruh Negara sentiasa menanti peluang untuk merasai keenakan burger di seluruh dunia apatah lagi ianya hanya di sajikan di Hard Rock Café.  Anda kini berpeluang untuk menikmati hidangan makanan itu dengan kembalinya Hard Rock World Burger Tour.

Penny Lam selaku Pengurus Jualan di Hard Rock Café Melaka berkata, promosi burger itu akan diadakan selama dua bulan di seluruh dunia bermula 2 Mei sehingga 29 Jun depan.

“Kali ini kita membawakan empat jenis burger iaitu Datei Burger dari Dubai, Hollywood Burger, Santiago Quinoa Burger dari Santiago Chile dan Spinach & Chickpea Burger daripada New Delhi India.

“Empat jenis burger ini sudah pasti mampu memenuhi selera para peminat burger tempatan yang sememangnya ingin mencuba hidangan antarabangsa ini,” katanya kepada media ketika ditemui di Hard Rock Café Melaka pada 11 Mei lalu.

Selain itu katanya, sempena dengan World Burger Tour itu, Hard Rock Cafe juga akan memperkenalkan minuman cocktails bertaraf antarabangsa termasuklah Passion Fruit Mai Tai, Southern Style Lemonade dan Passion Fruit Punch.

“Pelanggan yang datang untuk mencuba minuman itu mempunyai dua pilihan yang mana mereka boleh membawa balik gelas cocktails yang diminum mereka atau sebaliknya dengan tawaran dua harga yang berbeza.

“Pastinya gabungan burger antarabangsa dan cocktails akan memberikan nikmat yang berbeza kepada para pelanggan yang datang,” ujarnya lagi.

 

Bumiputra Rockers Buktikan Mereka Tetap Unggul

Selepas ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1985 kumpulan Bumiputra Rockers atau lebih sinonim dengan BPR akhirnya merayakan ulangtahun penubuhan 30 tahun mereka di Hard Rock Café Melaka pada 28 Oktober yang lalu.  BPR yang terdiri daripada Joey sebagai penyanyi, Awang pemain gitar juga merupakan seorang komposer lagu dan penerbit album. Mali sebagai keyboard atau gitar II, Yem Bai sebagai bass dan Enal sebagai drummer berjaya membuktikan bahawa mereka masih punya peminat apabila lebih 700 penonton membanjiri Hard Rock Café Melaka.

Seawal jam 3.00 petang lagi peminat sudah mula membanjiri lokasi persembahan yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang di anjurkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.  Antara aktiviti yang di anjurkan adalah seperti Kempen Pencegahan Jenayah, Pameran Dadah, Persembahan Kawad Kaki dan lain-lain lagi.

Bumiputra Rockers tampil di atas pentas sekitar jam 4.30 petang dengan mempersembahan lagu pertama yang berjudul Barah Berbisa.  Lagu yang dipetik daripada album “Bisa” ini ternyata memikat ratusan rockers untuk memenuhi ruang di hadapan pentas.

“Terima kasih kerana sudi hadir ke persembahan berbayar kami, kami sungguh terharu dan menghargai sokongan anda semua yang tidak jemu-jemu mendengar lagu-lagu kami”, ujar Joey selaku vokalis utama.

BPR kemudiannya tampil dengan lagu kedua, 1511 yang di beri nafas yang lebih segar dengan susunan muzik yang lebih padat bersesuaian dengan citarasa pendengar masakini.  Setelah melangkau masa BPR kemudiannya membawa peminat melatari melodi serta lirik yang berkisar tentang ketuhanan melalui lagu Maghrib.

Peminat seakan tersentak apabila lagu Aku Hanya Serangga dipersembahkan.  Lagu yang dipetik daripada album “Bisa” ini turut membawa ratusan peminat melontarkan vokal mereka sekaligus merubah lokasi persembahan menjadi bingit seketika.  Rata-rata peminat yang hadir pada hari itu  sudah berkeluarga membuktikan bahawa mereka adalah peminat setia BPR sekaligus adalah pencinta muzik rock sejati.

Persembahan kemudiannya di hentikan seketika bagi memberi ruang kepada acara cabutan bertuah yang turut di senaraikan bagi menyambut ulangtahun BPR ke 30 tahun.  BPR kemudiannya menyampaikan lagu yang berjudul Sudah Sampai di Sini yang dipetik dari album “Kelab Jiwa Luka”.  Mereka mendendangkannya  dalam versi akustik

“Saya merasa bersyukur kerana muzik rock kini telah diterima umum walaupun satu ketika dahulu masyarakat mengecam peminat mahupun pemuzik yang minat muzik rock.  Asal mereka tengok rockers jer mulalah di kaitkan dengan elemen negatif”, ujar Joey menceritakan pengalaman beliau kepada hadirin.

Lagu Sillaturrahim kemudiannya diperdengarkan kepada hadirin. Turut kelihatan beberapa rakan artis yang hadir memberi sokongan kepada showcase 30 tahun BPR di HRC Melaka adalah Datuk Ramli Sarip, Bagio Damasutra dan Din FOR.

“Selama 30 tahun kewujudan BPR Datuk Ramli Sarip adalah individu yang bertanggungjawab membawa BPR ke persada seni hiburan tanahair. Malah nama BPR diilhamkan oleh beliau,” ujar Joey lagi.

BPR kemudiannya telah berkolaborasi dengan Datuk Ramli Sarip melalui lagu Kamalia. Pentas kemudiannya diserahkan kembali kepada BPR, lantas mengalunkan lagu Harum Subur Dihati dan Bersyukurlah yang dipetik daripada album “Selamat Pagi Malaysia”.

Setelah berehat selama 20 minit BPR kembali beraksi di atas pentas dengan mempersembahkan lagu Selamat Pagi Malaysia, lagu dipetik daripada album pertama yang telah diriliskan pada tahun 1987. Tanpa lagu Dari Sinar Mata mungkin showcase BPR tidak akan berseri, sekali lagi seluruh lokasi persembahan bergema dengan lontaran vokal peminat yang turut sama bernyanyi. Sebuah lagu yang berentak fast, Pudar Seri Primadona kembali mengembalikan energi peminat.  BPR sekali lagi mangajak peminat bernyanyi bersama melalui lagu Air Mata Jernih, Dajal dan Pontianak Gua Musang.

Demi meredakan situasi yang agak tegang dengan lagu lagu yang berentak laju, mereka kemudiannya mendendangkan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin.  Sekali lagi atmosfera di Hard Rock Café Melaka bergema dengan lontaran vokal di kalangan peminat.  Sebuah lagu saduran daripada kumpulan Deep Purple yang berjudul Smoke On The Water turut dipersembahkan oleh kumpulan Bumiputra Rockers.

Lagu Yakjud dan Makjud menjadi penutup showcase 30 tahun ulangtahun penubuhan kumpulan Bumiputra Rockers yang di lihat masih mampu mengundang peminat untuk hadir ke konsert-konsert berbayar.

*Kredit photo Azlan Yaacob

Pelbagai Genre Muzik Bersatu Di Hard Rock Café Melaka

Pentas Hard Rock Café Melaka sekali lagi bakal bergegar dengan pelbagai genre muzik arus bawah tanah, dan apa yang pasti ianya satu penanda aras yang baik buat peminat serta penggiat muzik sedemikian kerana di beri ruang dan peluang untuk beraksi di pentas yang cukup eksklusif ini.

Sebanyak 6 buah kumpulan yang berpaksikan nuansa muzik masing-masing akan mempamerkan kehebatan di atas satu pentas.  Colourful Bullet, Hayagriva, The Dirty Dxxx, Inhuman, Hidden Silence dan Puakerysm adalah kumpulan yang akan memeriahkan siri “Live Music” yang akan di adakan pada 11 November ini.  Persembahan akan bermula sekitar jam 3 petang dan berakhir pada jam 7 malam ini pastinya akan meninggalkan momen indah buat peminat serta pemuzik itu sendiri.

Peminat-peminat tegar muzik underdround pada lewat tahun 80an, pastinya masih ingat lagi dengan sebuah nama kumpulan Colorful Bullet yang berpusat di Butterworth, Pulau Pinang. Justeru itu, kepada peminat muzik keras yang baru serta muda remaja mungkin berpeluang kembali menikmati hidangan muzik keras dari Colorful Bullet. Dan kini, setelah lebih 30 tahun menyepikan diri, Colorful Bullet bakal beraksi di Hard Rock Café Melaka pada 11 November ini.

Colourful Bullet

Nama Colorful Bullet seakan sudah sebati buat penggemar yang pernah membaca hirarki penubuhan mereka di fanzine mahupun melihat mereka secara live di gigs yang pernah mereka sertai. Colorful Bullet secara seriusnya telah di abadikan pada tahun 1986 dan ditubuhkan oleh Jeff (bassis), Faizal aka Ordil Jay Sven (gitaris), Zaiful (drum) dan Am (vokalis).  Malah kewujudan mereka lebih akronim dengan pergerakan underground ‘Empayar Meriam Timbol’ yang menjadi medan perantara diantara kumpulan-kumpulan muzik keras yang lain seperti, ZAF, Look Luck, EMT, Black Smith, The Missionary dan banyak lagi.

“Kehadiran kami adalah sebagai penyeri untuk persembahan di HRC Melaka nanti, kembalinya kami adalah sekadar memberi informasi kepada peminat muzik tempatan bahawa Colorful Bullet juga merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah muzik bawah tanah yang berkembang di Malaysia sejak tahun 1988 lagi” ujar Ordil Jay Sven yang juga merupakan gitaris kumpulan ini.

“Memang benar kami tidak pernah menghasilkan sebarang demo namun Colorful Bullet berjaya memahat memori di ruang hati rakan-rakan di Kuala Lumpur. Colorful Bullet beraksi di Metallica Lounge, Pertama Complex, Kuala Lumpur pada lewat tahun 80an dan terus terpahat menjadi sebutan dan memori didalam lipatan sejarah era muzik bawah tanah Malaysia”, ujarnya lagi.

Hidden Silence

Namun seperti resam kumpulan muzik yang lain, angota kumpulan juga turut silih berganti kerana komitemen dan kehendak masing-masing. Panji-panji Colorful Bullet kemudiannya di kibarkan oleh Sham (gitar), Rahim Rahman (bass) dan Lan Dinggo (drum) dan masih setia genre crossover/hardcore punk seterusnya menjadikan mereka antara kumpulan yang cukup disegani ketika itu.

InHuman juga tidak harus diperlekehkan kewibawaan serta kehebatan mereka.  Apa yang pasti mereka bukanlah sebuah kumpulan yang baru ditubuhkan, malah jentera yang memperjuangkan wirama ekstrim metal ini telah ditubuhkan sekitar tahun 1991 serta pernah beraksi bersama jentera-jentera hebat  di awal kemunculan mereka.

The Dirty Dogs

InHuman pernah beraksi di Ipoh sewaktu siri konsert “The Gathering..” bersama-sama kumpulan Infectious Maggots, Langsuyr, Social Infection dan Parasite yang mana konsert ini telah di adakan pada tahun 1993.  Setelah itu mereka terus mendapat undangan untuk beraksi di Warp Disco (KL Live) pada penghujung tahun yang sama bersama-sama kumpulan Modar, Rator, Parasite, Langsuyr dan beberapa kumpulan lagi.

Inhuman juga pernah mendapat tawaran untuk merakamkan album serta menyertai sebuah kompilasi terbitan Dark Journey Records, namun semuanya terpaksa di tolak kerana atas sebab-sebab tertentu.  InHuman akhirnya terpaksa di bubarkan pada tahun 1995 kerana anggotanya memilih untuk berdikari dan memberi komitmen yang jitu kepada keluarga.

Inhuman

“Tahun 2017 seakan menyedarkan kami dari lena yang panjang apatah lagi ketika ini terlalu banyak band yang ditubuhkan, namun kehadiran kami sekadar memberi warna kepada arus muzik bawah tanah”, ujar Ehsan Yusoff selaku gitaris.

“Demi membuktikan kewujudan semula InHuman, kami telah meriliskan sebuah EP yang berjudul ‘Awakend At World’s End’, dimana EP ini telah menemui peminat pada tahun 2015”, ujarnya lagi

“untuk persembahan di HRC Melaka nanti InHuman masih lagi mengekalkan 2 anggota asal iaitu saya dan Fendi serta di bantu oleh 2 tenaga baru yang cukup untuk memberi tamparan hebat pada hari tersebut.  Kami juga merasa bertuah kerana pemain dram asal iaitu Ad akan turut serta”, tambah Ehsan.

Puakerysm yang ditubuhkan sekitar tahun 1998 juga tidak kurang hebatnya, biarpun di awal kemunculan mereka lebih gemar membawakan irama rock sebagai batu loncatan untuk aktif bermain muzik. Malah lagu-lagu saduran daripada kumpulan SYJ, Rusty Blade, Wings dan XPDC menjadi taruhan.

Puakerysm

Namun segalanya berubah apabila mereka menerima vokalis baru yang lebih terarah kepada muzik metal, lantaran itu konsep rock yang ditunjangi beralih kepada metal yang di rasakan lebih bersesuaian maka lahirlah Demo yang berjudul “Bad Time Tales”.  Demo yang mengandungi 2 buah lagu “Curse Of Dragon” dan “Kill The Machine”. Atas kelahiran demo ini mereka menukarkan nama kepada “Puakerysm” dan terus merangka beberapa aktiviti selepas itu.

Gig pertama Puakerysm adalah pada tahun 2004 bertempat di Kelab Mawar Biru, KL bersama-sama kumpulan Antacid, Samartary, Kilatus & Beast Petrify.

Menjelang 2012 Ejai kembali ke posisi lead guitar, R’man (bass), Adhy (drum) manakala di posisi vocalist diisi oleh rakan R’man iaitu Zan. Beberapa siri gig disertai oleh mereka dan Ep pertama mereka yang berjudul “Conspiracy Of Madness” diterbitkan pada 2013. Pada 2016 terdapat sedikit perubahan lineup di mana Rani kembali ke posisi bass, R’man rhythm guitar manakala yang lain tiada perubahan line up ini kekal sehingga kini. Seterusnya Ep kedua Puakerysm diterbitkan pada April lalu yang berjudul “Deprived Of Tranquillity”.

Hayagriva jentera yang tidak perlu di perkenalkan kepada umum, nama mereka sentiasa menjadi perhatian para peminat muzik ekstrim metal. Malah sejak kewujudan mereka sekitar tahun 1993 sentiasa menjadi ikutan peminat apatah lagi mereka tampil dengan imej, lirik serta melodi yang di hasilkan cukup sesuai bagi mereka yang meminati nuansa muzik sedemikian.

Kelahiran Ep pertama ‘Silverian Art” pada tahun 1997 membuktikan bahawa Hayagriva begitu serius dengan karier muzik mereka.  Berita kehebatan Hayagriva juga turut tersebar ke Singapura yang mana ianya membawa kepada sebuah kerjasama di antara As Sahar dan Hayagriva, maka terhasillah sebuah EP berkembar berjudul “Beyond Firmament” yang telah diriliskan oleh Memories Records.

Hayagriva juga terlibat dalam kompilasi “Ipoh Metal Militant” sebuah album kompilasi yang diterbitkan oleh Ultra Hingax Production pada tahun 1999.  Setelah itu banyak juga studio album yang telah mereka hasilkan.  Setelah beberapa tahun mereka menghilangkan diri kini Hayargiva tampil secara eksklusif di Hard Rock Café Melaka buat pertama kalinya.

Selain Hayagriva, Colorful Bullet, InHuman dan Puakerysm, anda juga boleh menyaksikan kehebatan kumpulan Hidden Silence dan The Dirty Dxxx.  Peminat boleh mendapatkan tiket masuk berharga RM40 (termasuk minuman ringan) di pintu masuk Hard Rock Café Melaka atau hubungi 06-2925188.

 

 

Sweet Child Sambut Ulangtahun ke 22 di Hard Rock Café Melaka 13 Mei Ini

Mungkin ramai yang cukup peka malah pernah melontarkan alunan suara di karaoke menerusi lagu-lagu yang pernah di popularkan oleh kumpulan Sweet Child seperti Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan, Mainan Perkasihanmu dan Terlarang Itu Godaan.

Berapa ramai pula di antara kita yang masih mengingati malah mengenali kumpulan yang dibarisi oleh Acong, Lan, Ijan, Pat dan Yem yang telah di tubuhkan sekitar tahun 1995 di Kuala Lumpur.  Sweet Child juga tidak kurang hebatnya kerana mereka pernah tampil dengan 3 buah album yang berjaya menempatkan nama mereka di arena muzik tanahair antaranya ialah Berapinya Imaginasiku, Anak-anak Seni dan Meraih Juara.

Selepas album “Meraih Juara” diriliskan kumpulan Sweet Child tiba-tiba hilang daripada radar industri muzik tempatan, kehilangan mereka adalah untuk memberikan komitmen terhadap kehidupan masing-masing namun bertitik noktah tidak sama sekali.  Buktinya pada tahun lepas Sweet Child telah melahirkan 2 buah single iaitu Lepaskanmu dan Doa Dariku untuk membuktikan bahawa mereka masih lagi bernadi.

Tahun 2017 genaplah 22 tahun penubuhan Sweet Child, lantaran itu mereka ingin menyambutnya bersama para peminat setia yang tidak pernah kenal erti jemu memberikan sokongan terhadap mereka.  Hard Rock Café Melaka bakal menjadi saksi ‘kewujudan semula’ Sweet Child di samping Syamel AF dan Dato’ Amir daripada kumpulan Pearl yang akan turut berkongsi nostalgia itu nanti.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan eksklusif Sweet Child pada 13 Mei nanti boleh mendapatkan tiket yang berharga RM55 sahaja. Persembahan akan bermula pada jam 4 petang.  Untuk tempahan tiket anda boleh hubungi 06-2925188 atau dapatkan di pintu masuk Hard Rock Café Melaka.

Showcase sempena ulangtahun ke 22 kumpulan SweetChild khas utk para peminat yg sentiasa menyokong kami selama ini. Tiket berharga Rm55 utk seorang. Untuk tempahan tiket sila hubungi no. telefon 06-2925188 atau dapatkan di pintu masuk Hard Rock Cafe Melaka.

 

4 Pemacu Genre Muzik Bawah Tanah Bakal Gegar Hard Rock Cafe Melaka 30 Disember Ini

Jika sebelum ini pentas Hard Rock Café Melaka pernah di warnai oleh jalur muzik berat seumpamanya yang di bawa oleh kumpulan tempatan.  Ternyata kehebatan aksi- aksi kumpulan tersebut berjaya mendapat sokongan di kalangan pencinta muzik berat apatah lagi ianya sedikit sebanyak membuka ruang untuk kumpulan lain beraksi di pentas yang sama.

Ruang litup Hard Rock Cafe Melaka sekali lagi bakal bergema dengan penampilan jentera hebat seperti Athotorgh, Larrong, Malex dan Narsamum.  Keempat-empat mereka sudah pasti mampu untuk menghimpunkan fanatika mereka pada 30 Disember nanti.Athotorgh, jenama yang tidak perlu dirungkaikan lagi kehebatan serta kewibawaan mereka.  Apatah lagi band yang bergenrekan retro death/thrash 80an ini sentiasa menjadi ikon kepada kumpulan-kumpulan baru yang berjinak dengan irama sedemikian.

15241796_1352353118128441_5202447115442083361_n

Sekitar penghujung tahun 80an, Anator diguna pakai sebagai nama band mereka malah lebih gemar dengan wirama yang dibawakan oleh kumpulan Possessed, Sodom dan Slayer. Masalah pertukaran anggota adalah biasa bagi sesebuah band.  Akhirnya kumpulan yang berasal dari Ipoh, Perak secara rasminya menggunakan nama Athotorgh pada tahun 1992.Kewujudan mereka dalam kancah muzik bawah tanah tempatan terus diperkukuhkan setelah hadir dengan demo “The Rites” yang telah diriliskan pada tahun 1994.  Athotorgh yang dibarisi oleh Promaster, Dreamstone dan Old-T akhirnya tampil dengan sebuah EP yang berjudul “Promaster Dieyana” yang telah diriliskan oleh Ultra Hingax Productions pada tahun 1995.

Rata-rata individu yang berada di dalam barisan penggempur Athotorgh bukanlah pemuzik sebarangan.  Mereka sebelum ini pernah mengganggotai beberapa kumpulan lain, antaranya adalah Universal Doctrine, MassGrave, Necrotic Chaos dan sebagainya.  Inilah istimewanya Ipoh Metal Militan.Lantaran sambutan yang cukup memberangsangkan terhadap Ep “Promaster Dieyana”, pihak Morbid Invasion Red dengan kerjasama Gempita Records telah meriliskan kembali EP ini dalam bentuk Vinyl dalam tahun 2009.  Athotorgh juga terlibat dalam siri kompilasi Ipoh’s Metal Militant Supremacist terbitan Ultra Hingax Production yang telah diterbitkan pada tahun 1998.

Athotorgh
Athotorgh

Larrong pula adalah salah sebuah band yang bertunjangkan genre ektrim metal, ianya telah ditubuhkan pada penghujung tahun 1991 di daerah Matu, Sarawak. Ketika itu Larrong di barisi oleh Hadi – Bass, Mail –Gitar dan Aziz – Gitar/Vokal.  Berpaksikan muzik dambaan Slayer, Massacre, Morbid Angel dan Napalm Death akhirnya membuahkan idea untuk menghasilkan lagu ciptaan sendiri, maka lahirlah Reh/Demo pertama yang berjudul “Curse Of Devastation”.Reh/Demo yang telah diriliskan pada tahun 1993 ini ternyata membawa tuah buat Larrong kerana berjaya menarik peminat muzik ekstrim metal di Malaysia serta di beri peluang untuk beraksi di gig-gig yang di anjurkan sekitar Sarawak ketika itu.

Kehangatan yang didambakan akhirnya menemui jalan buntu apabila Mail memutuskan untuk tidak lagi bersama Larrong kerana meneruskan kerjayanya di Semenanjung Malaysia.  Namun semuanya bersifat sementara apabila Tazudin memutuskan untuk bersama dan menggalas tugas sebagai vokalis dan gitaris.  Semangat Larrong kembali bernyala lantas mengabdikan sebuah single yang berjudul Blasphemous Mantra, ianya diriliskan pada tahun 1994.Pada tahun 2000, Alphi tampil untuk menggalas tugas sebagai vokalis untuk EP “Dakan Perana Tada”.2011, Larrong mengeluarkan split album dengan band Zorboothusdeath metal band dari Medan, Indonesia di mana lagu EP “Dakan Perana Tana serta beberapa lagu live mereka dimasukkan ke dalam split album ini.

Larrong
Larrong

Tahun 2012, Larrong memasuki studio semula dan merakamkan 3 lagu baru serta sebuah lagu cover dari Celtic Frost. EP bertajuk “Nuclear Armageddon” ini dikeluarkan di bawah label Muzik Box Production. Pada tahun yang sama Larrong membuat jelajah sulung mereka di Indonesia iaitu di Medan, Jakarta & Bandung.Oktober 2016, Larrong mengeluarkan semuala EP “Nuclear Armageddon” dalam format kaset dan kini dalam proses pra-rakaman album terbaru mereka.  Larrong kembali aktif hingga kini dan telah meriliskan beberapa material serta terlibat dalam beberapa siri kompilasi antaranya ialah Curse Of Devastation-Demo (1993), The Eastern Shaman- Promo (1996), DakanPeranaTana EP (2000) Hellbangers Dominion Compilation (2008),  Angkatan Metal Malaysia Compilation (2010), Split Album Larrong/Zorboothus 2011) dan Nuclear Armageddon EP (2012).

Malex ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2000, namun begitu secara umumnya setiap anggota yang membarisi Malex bukanlah pemuzik yang harus di pandang rendah.  Malah kesemuanya pernah membarisi kumpulan-kumpulan rock sekitar tahun 80an. Malik selaku gitaris pernah menganggotai kumpulan Aces yang di tubuhkan pada tahun 1987, selain beliau Allahyarham Syed Hassan ( bassis kumpulan Sweet Charity) juga turut serta di dalam kumpulan Aces.

“Euphoria” adalah judul abum pertama kumpulan Malex yang relah diriliskan pada thun 2002. Ternyata album pertama yang dihasilkan telah mendapat reaksi positif di kalangan pencinta muzik rock sejati.  Tahun 2004 Malex tampil dengan album kedua yang berjudul “Euphoria 2”.  Kehadiran Malex umpama gunung berapi yang kembali memuntahkan laharnya.  Buktinya, nama mereka terus dikenali malah turut di undang untuk beraksi sebagai opening act ketika Steve Vai dan Joe Satriani mengadakan persembahan di Singapura.  Selain itu mereka juga turut di undang untuk mengadakan persembahan di Anugerah Planet Muzik pada tahun 2007.

Malex
Malex

Lantaran sambutan yang cukup menggalakkan serta sokongan yang tiada putusnya. Tahun 2007 Malex tampil dengan album “Wira Cosmo”, dengan genre yang lebih bertenaga Malex seakan lari daripada genre rock yang mereka bawakan sebelum ini.  Ternyata di bawah panji power/speed metal Malex telah melebarkan sayapnya hingga ke luar negara serta beraksi Indonesia, Thailand dan Malaysia.

“Khayalan Illusi” terus menjadi penanda aras bahawa Malex tidak pernah mati, album yang diterbitkan pada tahun 2014 ini turut mendapat kerjasama Muzik Box Production sepertimana album “Wira Cosmo”.

Narsamum bukanlah nama yang asing buat penggemar muzik underground tempatan.  Band yang ditubuhkan pada tahun 1990 ini terlebih dahulu menggunakan nama Blaspherion.  Namun ianya terpaksa di tukar kerana nama yang sama turut di guna oleh kumpulan yang berasal daripada Belgium.

Bagi membuktikan bahawa kewujudan mereka bukanlah hanya sekadar memeriahkan persada muzik bawah tanah tempatan, maka pada tahun 1993 Narsamum mengeluarkan demo pertama mereka yang berjudul ‘Blasphemy..Revenge..Reincarnation”. Tidak hadir dengan demo pertama, malah Narsamum turut mengukir sejarah tersendiri kerana menjadi antara kumpulan terawal daripada Johor yang berjaya melahirkan demo.

‘Blasphemy..Revenge..Reincarnation” seakan membuka ruang litup penggemar muzik bawah tanah tempatan khususnya dan fanatika ekstrim metal di Johor khasnya kerana jenama Narsamum terus mendapat liputan yang luas di dalam fanzine tempatan dan luar negara malah turut mendapat undangan untuk beraksi di gigs-gigs yang di adakan di Malaysia dan Singapura.

Narsamun
Narsamun

Dengan jolokan Dewa Death Metal Selatan, kewujudan Narsamum telah dihidu oleh pihak Muzik Box Production.  Sebuah album mini yang berjudul “Dream Of Death” telah dihasilkan pada tahun 2000.  Apa yang lebih membanggakan, Narsamum turut diberi peluang sebagai opening act untuk beraksi di konsert Napalm Death yang telah di adakan pada 1 April 2001.

Narsamum juga turut terlibat dalam beberapa siri kompilasi yang telah diriliskan oleh label tempatan, antaranya adalah Panggilan Pulau Puaka 2 (Psychic Scream 1999), Sengatan Selatan (Muzik Box Production 2002), Metalik Klinik Asia (Rotorcops 2003) dan Tribute To Cromok (EMI 2007).

Penghujung tahun 2016 ini Athotorgh, Larrong, Malex dan Narsamum bakal beraksi di atas satu pentas di Hard Rock Cafe Melaka pada 30 Disember.  Peminat yang ingin menyaksikan kehebatan jentera pelbagai genre ini boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 yang kini telah mula di jual.

Buat julung kalinya keempat-empat jentera ini akan beraksi pada jam 9 malam dan berakhir pada jam 12 malam.  Sebarang pertanyaan mahupun urusan pembelian tiket boleh layari   www.hardrock.com/melaka  atau datang sendiri ke Hard Rock Café Melaka.  Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi enquiries@hardrockcafe-melaka.com atau hubungi talian +606 2925188.  Anda juga boleh menghubungi agen jualan yang sah di 019-7632115 (Fadzilmuzikbox) dan 017-2375671 (Zan Ov Kalort).

 

 

 

FTG dan Necrotic Chaos Bakal Gegar Hard Rock Cafe Melaka

Selepas kejayaan showcase eksklusif Sil Khannaz dan Brain Dead pada 14 November lalu, persada muzik underground tempatan terus mendapat tempat yang cukup istimewa di hati peminat tegar muzik ekstrim. Berita kejayaan kedua-dua kumpulan yang berjaya meletakkan diri mereka sebagai ikon Hard Rock Cafe Melaka terus di canang hingga kini.

Berlanjutan daripada evolusi yang telah ditempa, pentas Hard Rock Cafe Melaka sekali lagi akan menjadi medan tempur muzik ekstrim tempatan. FTG dan Necrotic Chaos bakal meledakkan nuansa thrash dan brutal death metal di pentas yang cukup berprestij itu.

Di bawah program “Live Music”, Hard Rock Cafe Melaka mempertaruhkan 2 jentera yang cukup dikenali di kalangan pemuzik serta pencinta muzik underground tempatan. Kewibawaan, kredibiliti, karisma serta energi dalam muzik genre yang di naungi sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

FTG adalah akronim kepada Freedom Thats Gone yang membawa irama thrash sudah tidak perlu di perkenalkan. Mereka umpama peledak kepada industri muzik berat tempatan kerana berjaya membolosi persada muzik mainstream setelah muncul dengan EP yang berjudul “Freedom Thats Gone” pada tahun 1991 di bawah label Karun Seni. Pada tahun yang sama FTG telah mempertaruhkan 2 buah lagu, Behind This Wall dan Kill Exxl dalam rancangan Muzik-Muzik.

FTG_zpsjhua3yxr

Seterusnya mereka tampil dengan album sulung, After The Promise yang telah diriliskan pada tahun 1992 di bawah label Valentine Sound Production. Sehingga kini FTG mempunyai 10 buah album studio antaranya ialah Spirit To Rebel (1994),To The Front (1996), Aku Tak Peduli (1998),Made In Malaysia (1999), FTG (2000), Made In Malaysia Vol.2 (2001), Reborn (2002),Stop This Madness (2004) dan Kuasa (2006).

Kejayaan demi kejayaan mereka telah lakarkan, kini setelah lebih 25 tahun berada di dalam industri muzik Malaysia FTG telah diberi penghormatan untuk beraksi di Hard Rock Cafe Melaka. Persembahan eksklusif ini hanya akan memperdengarkan rangkaian lagu-lagu daripada EP “Freedom Thats Gone” dan album pertama “After The Promise”. Pastinya penyatuan semula line-up asal FTG iaitu Tajul, Jac, Nizam dan Mie bakal memberi impak yang besar buat peminat pada hari persembahan itu nanti.

Jenama Necrotic Chaos seakan sudah sebati buat penggemar nuansa muzik keras tempatan, apatah lagi band kelahiran Ipoh, Perak ini sememangnya sentiasa menjadi igauan buat penggemar setianya. Irama dan adunan lirik yang dihasilkan sentiasa menjadi perhatian peminat samada di Malaysia mahupun di negara luar.

Kewujudannya sekitar tahun 1992 seolah-olah memberi impak kepada legasi Ipoh Metal Militan. Selepas hadir dengan album studio “Regime Grotesque”, nama Necrotic Chaos sentiasa meniti dari bibir ke bibir peminat yang dahagakan sebuah album yang cukup segala rencah ekstrim metalnya, malah album keluaran Ultra Hingax Production ini mendapat ulasan positif di majalah-majalah muzik tempatan dan luar negara.

Selepas itu mereka muncul dengan EP “Black As Insect” pada tahun 2005. Di bawah bendera Necrotic Chaos yang ditunjanggi oleh penggempur-penggempur hebat seperti Dark-E, Sam Batara, Adek dan Wira sudah pasti bakal mewarnai pentas bersama-sama dengan FTG.

Dua jentera, FTG dan Necrotic Chaos bakal di satukan di Hard Rock Cafe Melaka pada 27 Februari ini. Dengan tiket serendah RM40.00 anda bakal disajikan dengan santapan muzik yang sentiasa malar segar seraya mengembalikan nostalgia sewaktu anda membesar dengan muzik-muzik mereka. Showcase eksklusif ini akan bermula sekitar jam 4 petang dan berakhir pada jam 6 petang.

Pastikan janji temu anda bersama mereka, sebarang pertanyaan mahupun urusan pembelian tiket boleh layari   www.hardrock.com/melaka  atau datang sendiri ke Hard Rock Café Melaka.  Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi enquiries@hardrockcafe-melaka.com atau hubungi talian +606 2925188

XPDC 25 Years Anniversary Showcase Live

XPDC

XPDC lahir dari perpecahan kumpulan Tragedy yang dianggotai oleh Mael (Vokalis), Izo (Gitaris), Man Tobey (Bassis) dan Yazid (Drum). Kumpulan Tragedy hanya sempat menyiapkan 50% proses rakamannya apabila dua orang anggotanya iaitu Yazid dan Man Tobey telah menarik diri. Yazid dan Man Tobey telah digantikan dengan Lee Space dan Zuar. Nama kumpulan Tragedy kemudian ditukarkan kepada kumpulan XPDC di atas nasihat penerbitnya J.S.Kevin. Ketika mereka mula merangkak mencipta namanya, pemain drum mereka Lee Space mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan ini. Tempatnya telah diganti oleh Amy bekas anggota kumpulan HANDY BLACK. Lee Space kemudian menyertai kumpulan Def Gab C. Yazid (“wak kang”) yang pernah menjadi drummer XPDC kemudian menggalas tugas sebagai Pengurus kumpulan XPDC secara tidak rasmi.

Kumpulan XPDC mula mencipta nama dengan lagu mengeja “C.I.N.T.A” ciptaan Z.N. Kevin dan lirik oleh J.S.Kevin. Lagu tersebut pernah ke final Juara Lagu 1990 dengan persembahan mantap XPDC.

Pengunduran Mael penyanyi utamanya telah mengundang kontroversi yang paling hebat. Rata-rata peminat dan pengiat seni menjangkakan kumpulan XPDC ini akan berkubur. Namun nama XPDC masih tetap lagi bertahan dan menjadi lebih popular. Lebih uniknya album Brutal (album terakhir Mael bersama XPDC) ini telah terjual melebihi 350,000 unit satu pencapaian jualan album yang terbaik XPDC.

Ketiadaan Mael memberi ruang kepada Ali (bekas penyanyi Terra Rossa). Amy yang mengalami kecelakaan jalanraya tidak berupaya memainkan lagu-lagu rancak lagi telah diganti sementara oleh Lola. Setahun selepas itu Lola secara rasmi menggangotai XPDC apabila Amy mengambil keputusan untuk menarik diri. XPDC dibawah pengurusan baru di bawah En Ahmad Nazri Hj Abdul Rahman bersama penyanyi utama mereka Ali,telah berjaya membina sebuah studio jamming dan latihan serta pejabat pengurusan XPDC di Taman Bukit Mewah, Kajang.

Namun, setelah beberapa lama Lola pula mengundur diri daripada XPDC untuk menyertai Search kerana kecewa dengan pengurusan XPDC dan tempatnya diambil alih oleh Pae (bekas pemain dram Barongan.) Namun Lola juga tidak lama dengan Search kerana akhirnya Yazid (drummer asal Search) kembali bermain untuk Search.

Pemain gitar bass XPDC Zua mengundur diri kerana ingin membawa haluannya sendiri dengan menubuhkan Viper. Percubaan ini juga tidak berjaya dan album gagal, walaupun hasrat Zua untuk merakamkan album dan menyumbangkan vokal tercapai. Yan Lefthanded menggantikan tempat Zua sebagai pemain bass bagi kumpulan XPDC. Beliau bukanlah orang baru bersama XPDC sebaliknya turut berperanan ‘menghidupkan’ XPDC di belakang tabir sejak album Kita Peng-Yu.

XPDC juga pernah muncul dalam filem ‘Nadia’ dan penampilan istimewa dalam filem ‘Getaran.’ Selain itu mereka membintangi telemovie berjudul Apa Nak Dikata dan Sakinah. Di dalam telemovie ini line-up XPDC terdiri daripada Ali, Izo, Yan, dan Lola.

Sehingga kini XPDC aktif mengadakan persembahan pentas di seluruh pelusuk tanah air. Mereka sememangnya sinonim dengan gelaran ‘Raja Funfair’ dimana ini merupakan satu cara bagi XPDC untuk mendekatkan diri dengan peminat-peminat di tapak-tapak ekspo seluruh negara.

www.facebook.com/groups/261073847433603/ / www.facebook.com/pages/We-Support-MAEL-XPDC/127490773933861

For More Information:

Phone: +606 2925188 / +6012 6033757
Email: enquiries@hardrockcafe-melaka.com
URL: www.hardrock.com/melaka
TW: twitter.com/hrcmelaka
FB: www.facebook.com/hardrockcafemelaka?fref=ts