Tag Archives: Helloween

HELLOWEEN LIVE KUALA LUMPUR 2025: SAMBUTAN 40 TAHUN POWER METAL DI ZEPP KL

KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2025 – Legenda power metal antarabangsa, Helloween, bakal menggegarkan ibu kota menerusi konsert mega Helloween Live Kuala Lumpur 2025 sempena sambutan ulang tahun ke-40 mereka. Konsert penuh sejarah ini dijadualkan berlangsung pada 8 Disember 2025 di lokasi eksklusif Zepp Kuala Lumpur, anjuran Rockstage Entertainment.

Konsert ini adalah sebahagian daripada “Helloween 40 Years Anniversary Tour” yang sedang menjelajah dunia dan menerima sambutan hangat di Eropah, Amerika Latin, serta beberapa negara Asia. Kini, giliran peminat di Malaysia pula meraikan warisan metal dunia dalam satu malam yang pasti meninggalkan memori abadi.

Helloween, yang ditubuhkan pada tahun 1984 di Hamburg, Jerman, dikenali sebagai antara perintis genre power metal dengan lagu-lagu ikonik seperti I Want Out, Eagle Fly Free, Forever and One, Power dan banyak lagi. Album seperti Keeper of the Seven Keys Part I & II telah menaikkan nama mereka ke pentas global.

Barisan pemuzik legenda termasuk Michael Kiske, Kai Hansen, dan Andi Deris bakal menyatukan semula tenaga klasik dan moden dalam satu persembahan yang menyentuh emosi peminat setia mereka. Konsert ini bukan sekadar pertunjukan — ia adalah satu penghormatan kepada empat dekad muzik metal yang terus hidup dalam jiwa penggemar muzik keras di seluruh dunia.

Zepp KL, sebuah venue bertaraf antarabangsa di tengah ibu kota, akan menjadi gelanggang rasmi konsert ini. Dilengkapi sistem bunyi canggih dan pencahayaan imersif, Helloween menjanjikan pengalaman audio visual luar biasa.

Tiket konsert boleh didapati di laman rasmi www.myticketempire.com dengan pelbagai pilihan bayaran fleksibel termasuk Atome, PayLater oleh Grab, dan SpayLater oleh Shopee. Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan tinggi dijangka berlaku.

Ikuti laman sosial Rockstage Entertainment untuk pengumuman dan maklumat terkini mengenai Helloween Live Kuala Lumpur 2025.

Helloween Ubati Kemarau Panjang Peminat

Penantian selama lebih 30 tahun berbaloi apabila kumpulan Helloween yang di tubuhkan di Jerman dan mengibar panji power metal itu akhirnya beraksi di hadapan lebih 1500 peminat setia mereka di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Ini adalah persembahan sulung kumpulan yang berasal dari Hamburg, Jerman itu, ianya di adakan bersempena siri konsert bergerak Pumpkins United Tour 2018 Live In Malaysia. Konsert anjuran RSVP Media dan Malaysia Autoshow ternyata memberi impak positif di kalangan pencinta muzik berat tempatan yang dahagakan persembahan bertenaga daripada band pujaan mereka.

Sekitar jam 6 petang lagi para peminat yang rata-rata mengenakan tshirt band ikonik mereka telah mula memenuhi lokasi yang menjadi medan pertemuan empat mata di antara mereka dan Helloween.  Tepat jam 8.30 malam atmosfera di Mega Star Arena mula berubah apabila Michael Kiske (penyanyi), Andi Deris (penyanyi), Michael Weikath (gitar), Markus Grosskopf (bass), Sascha Gerstner (gitar), Kai Hansen ( gitaris/vokalis ) dan Dani Loble (dram) mula menakluki pentas.

Tanpa banyak bicara 7 figura yang mula menakluki dunia melalui album pertama, Wall Of Jericho (1985) memulakan persembahan dengan lagu anthem mereka iaitu Helloween yang cukup untuk menaikkan semangat penonton yang telah lama menantikan kehadiran mereka. Dr. Stein sebuah lagu yang di petik daripada album “Keeper Of The Seventh Key” Part II menambahkan lagi aura serta gabungan vokal di antara peminat dan juga Helloween yang menjadikan ianya lebih harmoni.

“Terima kasih Malaysia, terima kasih semua kerana menjadikan konsert hari ini sebagai satu rialiti.  Kami cukup menghargainya, pertama kali kami berada di Malaysia ternyata kami cukup teruja dengan keindahannya dan apa yang penting sokongan padu yang anda berikan kepada kami”, ujar Andi Deris dan Micheal Kiske selaku duo vokalis kumpulan Helloween sewaktu siri jelajah Pumpkins United Tour 2018.

Usai memberi kata-kata hikmah, Helloween terus membawa peminat terbang bersama lagu I’m Alive yang dipetik daripada album “Keeper Of The Seventh Keys Part I’.  Apa yang boleh dirumuskan penyatuan serta komitmen yang komited di kalangan anggota baru dan lama memberikan lebih ritma serta aura demi menjayakan sesebuah konsert.  Buktinya tiada kompromi di dalam persembahan yang di dambakan.

Seakan tanpa rasa letih, Helloween terus melontarkan beberapa buah lagu lagi antaranya If I Could Fly, Are You Metal, Kids Of The Century, Waiting For A Thunder dan Perfect Gentleman.  Ternyata setiap lagu yang di lontarkan pasti akan disertai dengan lontaran vokal daripada peminat yang juga tiada istilah penat.  Sesuatu yang menarik untuk dikongsikan adalah mengenai video mapping yang melatari setiap lagu malah montaj animasi kartun yang cukup menarik di paparkan apabila sesebuah lagu berakhir.  Limpahan cahaya yang menghiasi pentas serta sistem bunyi yang cukup besar memberikan ‘kehidupan’ kepada konsert yang cukup hebat ini.

Penonton kemudiannya dihiburkan secara medley melalui lagu-lagu seperti Starlight, Ride The Sky, Judas dan Heavy Metal (Is The Law), dimana Kai Hansen telah dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai vokalis dan gitaris untuk segmen ini.

Andi Deris dan Micheal Kiske kemudiannya bergabung melalui lagu Forever and One (Neverland) yang di persembahkan secara santai.  Sebuah lagu yang cukup nuansa ballad namun ianya tidak keterlaluan. Duo mempunyai keunikan vokal tersendiri yang tidak perlu di pertikaikan.  Micheal Kiske kemudiannya mengalunkan sebuah lagu klasik yang berjudul A Tale That Wasn’t Right sebelum mereka kembali berduet melalui lagu Pumpkins United.

Dani Loble juga tidak perlu dipertikaikan kehebatan ketukan dan hentakan yang padu demi memberi impak yang besar terhadap sesebuah lagu.  Selama 3 jam corak permainan Dani tidak menghampakan. Livin Ain’t No Crime / A Little Time kemudiannya di persembahkan oleh Micheal Kiske.  Beberapa buah lagu lagi di persembahkan antaranya Why, Sole Survivor dan Power.

Suasana yang agak muram dengan rangkaian lagu-lagu yang tidak begitu di cerna oleh halwa telinga peminat akhirnya kembali berubah apabila Helloween tampil dengan lagu-lagu seperti How Many Tears, Eagle Fly Free dan Keeper Of The Seventh Key.

Kehebatan Michael Weikath (gitar), Markus Grosskopf (bass), Sascha Gerstner (gitar) selaku penghasil melodi power metal sudah tidak perlu di uji kehebatan mereka.  Setiap aksi mereka sentiasa menjadi tumpuan peminat.  Kehilangan seketika kelibat Helloween di atas pentas terus terubat apabila mereka tampil dengan lagu Future World.

Siri jelajah Pumpkins United Tour 2018 Live In Malaysia pastinya tidak akan lengkap tanpa lagu I Want Out sekaligus menamatkan keresahan, kehausan malah akan hadir rasa rindu untuk bertemu lagi dengan Helloween yang telah mengerah seluruh tenaga dan keringat demi memastikan konsert ini berjalan dengan baik.  Helloween juga membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mereka tampil hebat malah mampu mencipta nama untuk terus kekal di persada muzik power metal antarabangsa.

Teks oleh Nazg

Photo oleh Papadin

Helloween Bakal Adakan Konsert Di Malaysia April Ini

Kumpulan yang memperjuangkan irama power metal dari Jerman, Helloween akan mengadakan konsert di seluruh dunia dan kali ini mereka akan singgah di Malaysia sebagai destinasi untuk siri “Pumpkins United World Tour 2018”

Helloween yang kini sedang mengadakan konsert jelajah dunia akan mengadakan konsert di  Maeps Serdang (Indoor) pada 28 April ini, pukul 8.30 malam.

Sebelum ini pelbagai desas desus telah di perkatakan oleh peminat muzik ekstrim tempatan mengenai konsert kumpulan Helloween, malah berita mengenai kunjungan mereka ke Malaysia telah meledak beberapa tahun dahulu. Di mana ketika itu Helloween hanya beraksi di negara jiran tetangga iaitu Indonesia dan Singapura.

Namun ianya sekadar fantasi, akhirnya tahun 2018 seakan memberi semangat apabila fantasi itu akhirnya akan berubah menjadi rialiti apabila ada penganjur yang sudi untuk membawa mereka ke Malaysia.

Konsert Helloween “Pumpkins United World Tour 2018 Live In Malaysia” yang dianjurkan RSVP Media bersama Malaysia Autoshow itu bakal menyaksikan kumpulan yang menggabungkan anggota asal Helloween itu beraksi dalam persembahan selama dua jam tanpa henti.

Sebelum mengadakan konsert di Malaysia, Helloween akan mengadakan persembahan mereka di Jepun, Rusia dan Ukraine. Konsert jelajah dunia itu turut diadakan di negara-negara seperti Itali, Sweden, Norway, Finland dan beberapa buah lagi negara.

Apa yang menarik mengenai konsert “Pumpkins United World Tour 2018 Live In Malaysia” ialah penggabungan semula anggota asal Helloween iaitu Weikath, Kiske, Hansen, Grosskopf dan ianya turut di bantu oleh Andi & Michi selaku vokalis, Kai & Weiki & Sascha selaku gitaris dan Markus selaku bassis serta Dani yang akanbertindak sebagai pemain dram.

Kumpulan yang pada mulanya dikenali sebagai Gentry, Second Hell dan Iron Fist itu mempunyai pengalaman mengadakan ribuan konsert di seluruh dunia sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu.

Helloween tampil dengan album pertama yang telah diriliskan pada tahun 1985 berjudul Walls Of Jericho.  Setelah itu beberapa buah album lagi telah di hasilkan antaranya Keeper Of The Seven Keys Part 1, Pink Bubbles Go Ape, Chameleon, Master of the Rings, The Time of the Oath, Better Than Raw dan beberapa buah album lagi.

Populariti dan kredibiliti Helloween sebaris dengan kumpulan-kumpulan dari Jerman yang lain seperti Kreator, Destruction dan Sodom.

Peminat boleh mendapatkan tiket yang dijual sekitar RM195 hingga RM800 ( pembelian awal sehingga 18 Mac ) dan RM295 sehingga RM900 iaitu selepas promosi pembelian awal berakhir.  Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket dan konsert tersebut, hubungi 03-78807999 atau layari  www.ticketpro.com.my dan www.soundvalleyfestival.com